KOTA BELUD: Yayasan Bank Rakyat menyalurkan peruntukan RM3 juta bagi menyediakan bantuan kepada pelajar kurang mampu menerusi Program Pembangunan Pendidikan Sabah 2025 di tiga kawasan Parlimen di utara negeri itu pada tahun depan.
Mengumumkan perkara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata peruntukan itu akan disalurkan di Parlimen Kota Belud, Kudat dan Kota Marudu.
Katanya, ia adalah antara inisiatif bagi membantu menoktahkan kemiskinan melalui pendidikan di Sabah sejajar dengan keperluan di negeri ini berikutan kadar kemiskinannya yang dikenal pasti tertinggi di negara ini.
“Selain itu, inisiatif ini juga bertujuan meningkatkan mutu pendidikan di kalangan pelajar yang kurang bernasib baik terutamanya mereka yang berada di kawasan luar bandar.
“Bantuan ini membabitkan kumpulan individu dalam kalangan asnaf dan B40 di kawasan Kota Belud, Kota Marudu dan Kudat. Dijangkakan lebih 65,000 pelajar akan menerima manfaat daripada inisiatif yang dijalankan ini,” katanya pada Program Santuni Madani Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Bersama Komuniti Kota Belud, di sini, hari ini.
Inisiatif Program Pembangunan Pendidikan Sabah 2025 itu disempurnakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada program berkenaan yang diadakan di Kadamaian Square, Taginambur, dekat sini.
Majlis ini turut dihadiri Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang; Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani; Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd Mukhti Abd Rahman; Ketua Bahagian Pentadbiran Korporat YBR, Khairul Na’im Arifin dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
Ewon turut berterima kasih kepada YBR yang sentiasa menyokong meningkatkan tahap pendidikan golongan kurang bernasib baik dalam mendapatkan pendidikan yang terbaik terutama bagi pelajar di pedalaman.
“Melalui peruntukan RM3 juta bagi tahun 2025 ini, ia akan dimanfaatkan untuk bantuan pendidikan melalui tuisyen dan seminar kepada calon SPM 2025, bantuan persekolahan, bantuan awal pengajian, bantuan engangkutan ke sekolah dan program asrama desa,” katanya.
YBR menyatakan komitmennya akan terus memberi sokongan bagi meningkatkan pembangunan modal insan di Sabah khususnya dalam kalangan pelajar melalui bidang pendidikan.
Sepanjang 2024, YBR memperuntukkan sebanyak RM20.4 juta bagi program pembangunan pendidikan dan pembangunan masyarakat di seluruh negara.
Melalui bantuan awal pengajian dan bantuan persekolahan saja, seramai 30,572 murid dan pelajar serta 226 sekolah menerima manfaat daripada inisiatif itu. – Info X