Search

1 maut, 4 cedera kemalangan dua kenderaan di Semporna

April 25, 2023

admin

SEMPORNA: Seorang wanita maut manakala empat cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Semporna – Tawau, berhampiran SK Kubang Pinang, di sini, hari ini.

Mangsa Ester Barhulan Stanis, 58, dari kereta jenis Perodua Myvi disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 1.40 tengah hari.

Katanya, kemalangan membabitkan dua kenderaan jenis Toyota Hilux dan Perodua Myvi.

“Terdapat lima mangsa terbabit dan seorang daripada mangsa tersepit di kereta Perodua Myvi.

“Mangsa kemudian dikeluarkan oleh pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Tiga mangsa dalam Perodua Myvi diberi rawatan awal oleh pasukan bomba sebelum dihantar ke hospital menggunakan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan ambulans.

“Pemandu Toyota Hilux lelaki berusia 41 tahun yang turut cedera dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan bomba,” katanya.

Operasi tamat pada 3.17 petang. – Info X