November 15, 2026
Info X Reporters
Suasana pilu iringi pengebumian Mohd Soberi
KOTA KINABALU: Hujan renyai-renyai mengiringi perjalanan terakhir Allahyarham Mohd Soberi Bakri, 31, yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas, di sini, petang tadi. Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan apabila lebih 200 ahli keluarga, saudara-mara, sahabat handai dan kenalan hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham. Pemergian Allahyarham yang maut akibat ditikam dalam kejadian di Sulaman Sentral, Manggatal, kelmarin, meninggalkan kesedihan mendalam kepada keluarga serta mereka yang mengenalinya. Hujan renyai-renyai yang turun ketika urusan pengebumian berlangsung menambahkan lagi suasana sayu, terutama ketika jenazah Allahyarham disemadikan buat selama-lamanya. Kehadiran ahli keluarga dan kenalan yang mengiringi jenazah sehingga ke tanah perkuburan menjadi tanda kasih serta penghormatan terakhir buat Allahyarham. Jenazah Allahyarham selesai menjalani proses bedah siasat kira-kira jam 12.30 tengah hari sebelum dibawa ke kediaman datuknya pada jam 2.45 petang. Jenazah kemudian dibawa ke Masjid Jamek Kampung Likas untuk disolatkan selepas solat Asar sebelum diiringi ahli keluarga dan kenalan ke tanah perkuburan. Jenazah tiba di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas kira-kira jam 4 petang sebelum urusan pengebumian selesai pada jam 4.33 petang. Pihak keluarga turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang hadir memberikan penghormatan terakhir serta mendoakan kesejahteraan Allahyarham. Terdahulu Allahyarham dilaporkan maut selepas ditikam ketika cuba menghalang seorang lelaki daripada mengejar penjual makanan dalam kejadian di tingkat satu Sulaman Sentral, Manggatal, kira-kira jam 4.30 pagi, Jumaat lalu. Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, Likas, oleh abangnya sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 6 pagi. Kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara suspek berusia 38 tahun dengan seorang penjual makanan di sebuah kafe berhampiran lokasi kejadian. – Info X
November 15, 2026
Info X Reporters
Lelaki warga asing dipercayai pengedar dadah ditahan polis
PENAMPANG: Kegiatan seorang lelaki warga asing yang dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah terbongkar selepas ditahan polis dalam operasi di Putatan, di sini, tengah malam tadi. Suspek berusia 23 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang ketika berada berhampiran sebuah premis dobi 24 jam, kira-kira jam 12.30 tengah malam. Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pemeriksaan terhadap suspek membawa kepada penemuan sejumlah dadah disyaki syabu yang dibungkus dalam beberapa paket plastik. Katanya, suspek kemudian ditahan sebelum dibawa ke pejabat BSJND Penampang bersama barang rampasan untuk siasatan lanjut. “Hasil pemeriksaan menemukan 11 paket plastik lut sinar pelbagai saiz mengandungi ketulan hablur jernih disyaki syabu. “Keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan seberat 59.64 gram dengan nilai pasaran kira-kira RM6,000,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup berserta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan. Beliau berkata, polis akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah berkenaan. “Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terbabit dalam sebarang kegiatan berkaitan dadah serta menyalurkan maklumat mengenai kegiatan pengedaran dadah kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – Info X
November 15, 2026
Info X Reporters
Motosikal terbabas masuk parit lelaki cedera
KOTA BELUD: Seorang lelaki cedera selepas motosikal ditunggangnya terbabas sendiri sebelum terjatuh ke dalam parit di Jalan Bypass Ranau menghala ke Kampung Narinang, di sini, awal pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, mangsa berusia 41 tahun ditemui dalam parit sebelum dikeluarkan oleh pasukan bomba. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Kanan Penguasa Bomba Elgie Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.34 pagi. Katanya, seramai sembilan anggota bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikerahkan ke lokasi kejadian. “Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati sebuah motosikal terbabas sendiri sebelum terjatuh ke dalam parit. “Anggota bomba kemudian menjalankan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan pengusung sebelum memberikan rawatan awal,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, mangsa seterusnya diserahkan kepada pasukan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dibawa ke Hospital Kota Belud bagi mendapatkan rawatan lanjut. “Operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.25 pagi selepas pemeriksaan mendapati tiada bahaya lain di lokasi kejadian,” katanya. – Info X
November 15, 2026
Info X Reporters
Polis buru Kusdino susulan kes bunuh di Manggatal
KOTA KINABALU: Polis kini sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes pembunuhan yang berlaku di Sulaman Sentral, Kuala Manggatal, di sini, awal pagi semalam. Lelaki terbabit dikenali sebagai Kusdino Paad, 38, yang dipercayai mempunyai maklumat berkaitan kes pembunuhan berkenaan. Dalam kejadian itu, mangsa, Mohd Soberi Bakri, 31, maut selepas ditikam ketika cuba menyelamatkan individu lain. Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya memohon kerjasama orang ramai untuk membantu mengesan lelaki berkenaan. Katanya, lelaki terbabit diperlukan bagi membantu siasatan kes bunuh yang kini dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. “Polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan lelaki berkenaan supaya tampil membantu siasatan. “Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di talian 088-529222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya dalam kenyataan media, pagi ini. Syed Lot turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan kes berkenaan. Sementara itu, usaha mengesan lelaki terbabit diteruskan bagi membantu polis melengkapkan siasatan berhubung kejadian pembunuhan berkenaan. Terdahulu, Mohd Soberi maut selepas ditikam ketika cuba menghalang suspek daripada mengejar seorang penjual makanan di sebuah kafe berhampiran Sulaman Sentral, kira-kira jam 4.30 pagi semalam. Kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara suspek berusia 38 tahun dengan penjual makanan terbabit sebelum mangsa cuba campur tangan. Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas oleh abangnya sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 6 pagi. – Info X
November 14, 2026
Info X Reporters
Lelaki dihanyutkan arus sungai disahkan meninggal dunia
TUARAN: Lelaki yang dihanyutkan arus sungai ketika melakukan aktiviti mandi-manda di Kiulu, petang tadi, disahkan meninggal dunia. Mangsa berusia 28 tahun ditemukan orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian. Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.15 petang. Menurutnya, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 25 kilometer dari balai. “Ketika tiba di lokasi pada jam 4.46 petang, pasukan bomba mendapati mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas ditemukan orang awam. “Pasukan bomba kemudian memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dalam usaha menyelamatkan mangsa,” katanya ketika dihubungi. Bagaimanapun, katanya mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada jam 5.11 petang. “Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tuaran menggunakan ambulans untuk tindakan lanjut,” katanya. Operasi yang turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.21 petang. – Info X
November 14, 2026
Info X Reporters
16 pakej 1B Lebuhraya Pan Borneo Sabah dahului jadual di bawah GRS – Azrul
KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menafikan dakwaan kegagalan kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memastikan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dilaksanakan mengikut jadual. Ketuanya, Datuk Azrul Ibrahim, sebaliknya berkata sebanyak 16 daripada 19 pakej kerja bagi Fasa 1B dilaporkan mendahului jadual sejak dimulakan pada 2024 berikutan komitmen kerajaan GRS memastikan projek itu dilaksanakan dengan lancar. Katanya, adalah tidak adil untuk menuduh kerajaan GRS gagal memastikan kelancaran projek itu berdasarkan kelewatan projek Fasa 1A yang membabitkan 16 pakej dengan hanya empat pakej dilapor siap sepenuhnya sejak dimulakan kira-kira 10 tahun lalu. Beliau berkata, pembinaan Fasa 1A bermula di bawah kerajaan terdahulu, termasuk ketika penamatan kaedah Rakan Penyampai Projek (PDP) pada 2018 sebelum pelaksanaannya dilakukan secara konvensional sehingga sekarang. “Untuk rekod, dalam pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah bagi Fasa 1B (Fasa 1A berlaku lebih awal), kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor memastikan ia berjalan bermula pada 2024 dan 16 pakej mendahului jadual, ini adalah rekod Kerajaan GRS. “Jika ada isu kelewatan, kita juga perlu adil melihat dalam konteks pelaksanaan Pan Borneo ini di bawah Kerajaan GRS, di mana banyak pakej Fasa 1B mendahului jadual,” katanya. Beliau menjelaskan perkara itu pada sidang media selepas Mesyuarat EXCO dan Ketua-Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, di sini, pada Sabtu. Mengulas mengenai persoalan kenapa Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak berjalan lancar dan kini siap sepenuhnya berbanding di Sabah walaupun sama-sama menamatkan kaedah PDP, Azrul berkata perkara itu perlu dijawab oleh pemimpin dalam kerajaan terdahulu yang terbabit dalam penamatan kaedah itu. “Kita mendengar ada pemimpin tertentu yang mempersoalkan pelaksanaan PDP Sabah dan Sarawak batal untuk Pan Borneo tetapi Sarawak diteruskan dan kini berada pada progres yang positif, manakala di Sabah batal dan tidak dapat disiapkan lebih awal. “Soalan ini wajar dipulangkan kembali kepada mereka kerana pada masa PDP itu dibatalkan, mereka berkuasa. Mereka yang wajar memberikan penerangan mengapa mereka gagal memastikan Pan Borneo diteruskan walaupun kaedah pelaksanaan PDP ditamatkan dan digantikan dengan kaedah konvensional,” katanya. Beliau berkata, apa yang diharapkan ketika ini ialah memastikan kontraktor projek itu dapat mengejar jadual yang ditetapkan bagi memastikan jalan raya di Sabah dalam keadaan selamat dan efisien untuk dilalui.-Info X
November 14, 2026
Info X Reporters
Azrul perjelas isu peruntukan besar RM18.7 bilion kepada Sabah
KOTA KINABALU: Persoalan mengenai peruntukan besar RM18.7 bilion kepada Sabah yang disebut dalam Belanjawan 2027 perlu difahami dengan betul berdasarkan realiti sebenar yang berlaku. Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Datuk Azrul Ibrahim, berkata jumlah itu menjadi besar disebabkan pengiraan peruntukan keseluruhan yang dibuat kerajaan Persekutuan untuk dibentangkan dalam belanjawan tahunan, berbanding hanya peruntukan pembangunan yang disebut sebelum ini. “Beberapa tahun kebelakangan ini, sekitar tiga empat tahun lalu, pengumuman dalam belanjawan tahunan di peringkat Persekutuan memasukkan jumlah keseluruhan peruntukan kepada Sabah. “Kalau sebelum ini hanya dimasukkan peruntukan untuk pembangunan. Sebelum 2022, diumum peruntukan kepada Sabah hanya RM4 bilion, RM5 bilion, RM6 bilion, itu khusus kepada pembangunan. “Tapi dalam empat ke tiga tahun kebelakangan ini, peruntukan pembangunan termasuk peruntukan mengurus dan hal-hal lain juga dimasukkan dalam peruntukan itu, sebab itu nampak besar seperti untuk 2027 sebanyak RN18.7 bilion,” katanya. Beliau menjelaskan perkara itu pada sidang media selepas Mesyuarat EXCO dan Ketua-Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, di sini, pada Sabtu. Azrul berkata, berdasarkan semakan dan pengiraan pihaknya, bukan semua peruntukan itu diserahkan kepada negeri, sebaliknya diuruskan oleh kementerian dan agensi Persekutuan yang ada di Sabah. Katanya, perkara itu perlu dijelaskan bagi membetulkan kekeliruan rakyat negeri ini mengenai dakwaan peruntukan yang besar kepada Sabah dalam belanjawan tahunan, namun masih banyak masalah berkaitan infrastruktur asas tidak selesai. Azrul berkata, kekeliruan itu yang ditimbulkan pemimpin pembangkang perlu dijelaskan dengan betul, termasuk mengenai peruntukan pembangunan yang sebenarnya hanya sekitar RM6 bilion dan bukan RM18.7 bilion. “Peruntukan pembangunan yang berjumlah sekitar RM6 bilion bukan semua projek baharu, tapi lebih banyak dana adalah untuk meneruskan projek sedia ada termasuk pembinaan Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 2027, pembinaan sekolah, projek air luar bandar dan jalan luar bandar. “Jadi kita mahu rakyat Sabah jelas bahawa peruntukan Persekutuan yang diberikan setiap tahun dan dalam konteks tahun 2027 sebanyak RM18.7 bilion itu adalah agihan kepada peruntukan pembangunan, peruntukan mengurus dan belanja lain oleh kementerian dan agensi Persekutuan di Sabah,” katanya.-Info X
November 14, 2026
Info X Reporters
Cuba selamatkan orang lain punca lelaki maut ditikam
KOTA KINABALU: Lelaki yang maut ditikam di tangga bersebelahan sebuah premis perniagaan di Sulaman Sentral, Kuala Manggatal, di sini, awal pagi tadi dipercayai menjadi mangsa selepas cuba menghalang suspek daripada mengejar seorang penjual makanan. Mangsa berusia 31 tahun dipercayai cuba membantu penjual makanan berkenaan yang sebelum itu bertengkar dengan suspek berusia 38 tahun akibat perselisihan faham berkaitan perniagaan. Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman berkata, siasatan awal mendapati suspek pada mulanya bertengkar dengan penjual makanan terbabit sebelum cuba menikamnya menggunakan sebilah pisau lipat. Bagaimanapun, katanya, penjual makanan berkenaan sempat mengelak dan melarikan diri sebelum dikejar suspek. “Mangsa warga tempatan yang ketika itu berada di sebuah pusat snuker bersama rakannya dipercayai cuba menghalang suspek daripada terus mengejar penjual makanan terbabit. “Suspek kemudian dipercayai mengambil sebilah pisau pemotong daging sebelum terserempak dengan mangsa di kawasan tangga tingkat satu berhampiran sebuah premis perniagaan. “Suspek dipercayai menikam mangsa di bahagian dada kanan sebelum mangsa cuba melarikan diri, namun rebah di kawasan parkir berhampiran,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, ahli keluarga mangsa kemudian bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan memaklumkan kejadian itu. Katanya, mangsa yang berada dalam keadaan kritikal kemudian dibawa oleh ahli keluarganya ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, Likas, untuk mendapatkan rawatan kecemasan. “Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 6.44 pagi selepas usaha menyelamatkannya oleh pasukan perubatan gagal,” katanya. Mengulas lanjut, beliau berkata, motif kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap penjual makanan terbabit berhubung kegiatan perniagaan di kafe berkenaan. “Pasukan polis sedang giat menjalankan usaha mengesan dan menangkap suspek, manakala usaha mengesan saksi lain yang berada di sekitar lokasi turut diteruskan,” katanya. Beliau berkata, pemeriksaan pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah turut menemukan beberapa barang kes untuk analisis lanjut. “Mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) bagi tujuan bedah siasat yang dijadualkan esok. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini termasuk lokasi suspek, diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Hotline IPD Kota Kinabalu di talian 088-529222 atau mana-mana balai polis berhampiran. “Polis juga menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan,” katanya. Terdahulu, seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia selepas ditikam dalam pergaduhan di kawasan premis perniagaan berkenaan, manakala suspek melarikan diri selepas kejadian. – Info X