LABUAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan menumpaskan dua kegiatan penyelewengan diesel tanpa permit menerusi Ops Tiris 4.0 dengan jumlah rampasan keseluruhan dianggarkan RM83,806.
Dalam serbuan pertama berhampiran Saguking Warehouse, Jalan Tuanku Sharif Kedah, seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun ditahan untuk pemeriksaan.
Hasil pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan jenis ‘single cab’ menemukan kira-kira 1,000 liter diesel disimpan dalam lima tong bersama hos dan pam elektrik.
Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain berkata, pemeriksaan lanjut mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang permit atau kebenaran bertulis bagi memiliki bahan api berkenaan.
“Nilai keseluruhan rampasan bagi kes pertama dianggarkan RM53,720,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang lelaki berusia 39 tahun turut ditahan di sebuah stesen minyak selepas disyaki mengisi diesel ke dalam gelen 20 liter secara berulang sebelum dikumpulkan di dalam sebuah kenderaan milik syarikat perindustrian.
Katanya, suspek juga gagal mengemukakan dokumen kebenaran sebelum minyak diesel bersama kenderaan terbabit dirampas dengan nilai keseluruhan RM30,086.
Menurutnya, kedua-dua kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun.
“KPDN akan terus mempergiat operasi dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam penyelewengan barang kawalan,” katanya. – Info X