Search

Seorang melecur, dua rumah terbakar

May 7, 2026

Info X Reporters

BELURAN: Seorang individu dilaporkan melecur di bahagian tangan selepas dua rumah musnah dalam kebakaran di Jalan Sapi Nangoh, Kampung Rancangan, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa dilaporkan sudah dihantar ke klinik oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi, namun identiti mangsa tidak diperoleh.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, PPgB Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 sebelum sepasukan sembilan anggota bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 99 kilometer dari balai.

Katanya, kebakaran membabitkan dua rumah jenis tidak kekal dan kedua-duanya terbakar sepenuhnya.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 61 meter dengan satu pancutan menggunakan sumber air daripada jentera bomba dan kolam berhampiran.

“Pasukan bomba kemudian memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.42 malam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Operasi diketuai PBK I Mohamed Arsad Kadir dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – Info X