CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengajak rakyat negara ini memberikan sokongan terhadap inovasi teknologi dan usaha pembangunan digital negara dengan mengundi projek Malaysia yang dicalonkan dalam World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes 2026.
MCMC dalam kenyataan media memaklumkan, anugerah anjuran Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) itu menjadi platform global bagi mengiktiraf projek berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG).
Menurut kenyataan itu, penyertaan Malaysia tahun ini selari dengan tema WSIS 2026 yang menekankan penggunaan ICT untuk mempercepat pembangunan mampan dan membina masa depan digital yang inklusif.
“Penyertaan Malaysia mencerminkan komitmen berterusan negara dalam memanfaatkan teknologi bagi memacu kemajuan, daya tahan dan kemakmuran bersama.
“Malaysia juga meneruskan peranan sebagai Rakan Strategik Platinum, sekali gus menonjolkan sumbangan negara dalam membentuk dialog global berkaitan inovasi teknologi,” menurut kenyataan itu.
Sebanyak 10 projek diterajui Malaysia dengan sokongan MCMC berjaya disenarai pendek dalam pelbagai kategori yang meliputi tadbir urus digital, keselamatan dalam talian, inovasi ICT, teknologi pertanian dan pemerkasaan komuniti.
Antara projek yang dicalonkan ialah ASEAN 5G Skills Framework and Capacity Development Platform, Communications and Infrastructure Disaster Recovery (CIDR) Plan, portal Sebenarnya.my serta Kempen Internet Selamat (KIS).
Turut tersenarai ialah beberapa inisiatif berasaskan kecerdasan buatan (AI) menerusi program AgriNXT yang membantu penternak dan pesawah meningkatkan produktiviti menggunakan teknologi digital.
Menurut MCMC, pencapaian itu menunjukkan pendekatan menyeluruh Malaysia dalam memanfaatkan teknologi untuk pembangunan negara termasuk memperkukuh daya tahan digital, memperkasakan komuniti serta mempromosikan penggunaan internet secara selamat dan bertanggungjawab.
Kenyataan itu memaklumkan, undian awam memainkan peranan penting dalam menentukan pemenang akhir, sekali gus memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk mengetengahkan inovasi tempatan di pentas antarabangsa.
Sehubungan itu, MCMC menggalakkan rakyat negara ini supaya menyokong projek terbabit dengan mengundi melalui platform rasmi WSIS Prizes 2026.
“Menerusi usaha bersama ini, Malaysia dapat memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju inovasi teknologi yang bertanggungjawab serta memacu masa depan digital yang selamat, inklusif dan diyakini,” menurut kenyataan itu lagi. – Info X