Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

September 26, 2026

Info X Reporters

Malaysia tidak boleh pasif hadapi peningkatan aktiviti ketenteraan Filipina: Khaled

KOTA KINABALU: Malaysia tidak boleh kekal pasif berdepan peningkatan aktiviti ketenteraan Filipina, khususnya dalam persaingan strategik yang semakin berkembang di Laut China Selatan. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, walaupun Filipina mempunyai hak untuk memperkukuh keupayaan pertahanan dan meningkatkan penempatan ketenteraan, Malaysia juga perlu mengambil langkah sewajarnya bagi memperkukuh kedudukan pertahanan di Sabah. “Langkah ini penting bagi memastikan sebarang konflik tidak dijangka berlaku di rantau ini tidak melimpah ke wilayah Malaysia. “Ini adalah hak Filipina dan kita memahaminya. Tetapi kita tidak boleh hanya berdiam diri dan tidak melakukan apa-apa,” katanya selepas melancarkan Program Literasi Pertahanan Nasional di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, hari ini. Mohamed Khaled berkata, kedudukan geografi Sabah menjadikan negeri ini amat penting untuk Malaysia memperkukuh keupayaan pertahanan dan daya tahan masyarakat. “Kedudukan Sabah yang berhampiran Filipina serta terdedah kepada perkembangan di Laut China Selatan dan Laut Sulu memerlukan tahap kesiapsiagaan yang tinggi. “Sebarang konflik membabitkan kuasa besar di rantau ini berpotensi memberi kesan kepada Sabah, terutama disebabkan ruang geografi yang agak sempit untuk perkembangan sedemikian berlaku. “Jika berlaku pertembungan yang tidak kita jangkakan, kita bimbang ia boleh melimpah ke kawasan kita,” katanya. Mohamed Khaled berkata, langkah Malaysia tidak harus dilihat sebagai mempersoalkan hak berdaulat Filipina untuk memperkukuh pertahanan negaranya. Sebaliknya, katanya, ia adalah langkah yang perlu diambil bagi melindungi kepentingan dan kedaulatan Malaysia. “Perkembangan persekitaran keselamatan serantau turut menjelaskan mengapa Sabah dipilih sebagai lokasi pertama Program Literasi Pertahanan Nasional. “Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keselamatan negara serta membina daya tahan rakyat dalam menghadapi pelbagai bentuk ancaman,” katanya. Beliau berkata, ancaman moden tidak lagi terhad kepada serangan ketenteraan konvensional membabitkan anggota tentera, kapal perang, pesawat atau aset ketenteraan lain. Sebaliknya, ancaman boleh muncul menerusi serangan siber, penyebaran maklumat palsu, media sosial, bencana alam, kejadian berkaitan perubahan iklim serta pelbagai bentuk gangguan lain. “Pertahanan dan kedaulatan negara adalah tanggungjawab bersama. Rakyat perlu memahami bagaimana cabaran dan ancaman sudah berubah serta mereka juga mempunyai peranan untuk dimainkan,” katanya. Mohamed Khaled berkata, kekuatan angkatan tentera semata-mata tidak mencukupi untuk memastikan daya tahan negara sekiranya masyarakat tidak mempunyai keupayaan menghadapi krisis. Katanya, masyarakat yang berdaya tahan dan bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dapat menyumbang kepada pembentukan keupayaan cegah rintang yang diyakini terhadap mana-mana pihak yang mempunyai niat bermusuhan terhadap negara. “Jika mereka melihat rakyat dan angkatan tentera kita bersedia, kuat dan bersatu, mereka akan berfikir dua kali sama ada mahu menyerang kita,” katanya. Info X

September 26, 2026

Info X Reporters

Perjuangan hak Sabah, tuntutan 40 peratus diteruskan – PBS

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) kekal dengan pendirian untuk terus memperjuangkan hak Sabah, termasuk tuntutan 40 peratus hasil bersih negeri ini selagi perkara itu belum ditunaikan Persekutuan. Pemangku Presidennya, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, berkata perkara itu adalah antara perjuangan PBS di bawah MA63 sejak penubuhan parti itu pada 1985 bagi memastikan Sabah mendapat hak yang sewajarnya dari Persekutuan. “PBS tidak akan meninggalkan perjuangan asalnya. Hak Sabah tetap menjadi teras perjuangan kita dan daripada 29 perkara yang dibincangkan melalui platform rasmi MA63, sebanyak 13 sudah diselesaikan sepenuhnya. “Tapi, selagi masih ada perkara yang belum selesai, perjuangan kita belum selesai. Tuntutan hak 40 peratus hasil Sabah juga mesti terus diperjuangkan melalui kerangka Perlembagaan dan proses perundingan yang tegas. “Hak Sabah bukan hadiah, ia adalah adalah hak yang sudah dipersetujui ketika Malaysia dibentuk,” katanya pada Persidangan Perwakilan Tahunan PBS Ke-41, di sini, pada Sabtu. Beliau berkata, PBS akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri dan Persekutuan apabila kerjasama membawa manfaat kepada Sabah, namun berani menyatakan pendirian apabila kepentingan dan hak Sabah perlu dipertahankan. Sementara itu, bercakap kepada pemberita, Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata gabungan berkenaan akan mengemukakan cadangan kerusi tambahan Parlimen bagi Sabah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas semua cadangan parti komponennya dikumpul. “Kita akan menyerahkan kepada SPR dan SPR yang akan membuat keputusan mengenai kerusi tambahan Parlimen bagi Sabah yang akan dibuat nanti,” katanya. Beliau ditanya mengenai cadangan PBS berhubung kerusi tambahan Parlimen Sabah dan Sarawak bagi mencapai nisbah satu pertiga seperti dipersetujui di bawah tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Bagi PBS, katanya senarai kerusi baharu atau kawasan Parlimen yang boleh dipecahkan sedang diteliti dan akan dikumpul Setiausaha Agung parti. “Kita akan hantar kepada GRS senarai mana-mana kerusi Parlimen yang kita fikir boleh dipecahka dan selepas dibincang dengan GRS barulah dihantar ke SPR dan SPR yang akan memutuskan nanti. “Setakat ini memang sudah ada cadangan dan ia sedang dikumpul oleh Setiausaha Agung PBS untuk disampaikan kepada GRS. Tapi tiada contoh, kita tengoklah nanti,” katanya. – Info X

September 26, 2026

Info X Reporters

Pasang pengesan gempa bumi di Tongod

TONGOD: Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) diminta memasang sistem pengesan gempa bumi di semua kawasan berisiko, termasuk di daerah ini susulan gempa bumi lemah bermagnitud 3.3 pada skala Richter di Kuamut pada jam 5.32 pagi tadi. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, berkata walaupun gempa bumi itu tidak menimbulkan suasana panik di kalangan penduduk tetapi pemasangan sensor Seismik Automatik di kawasan berisiko di Tongod perlu disegerakan berikutan kebimbangan berlaku gempa susulan yang lebih besar. Katanya, MetMalayisa wajar memasang pengesan awal gempa bumi di daerah itu kerana Kuamut pernah digegarkan gempa bermagnitud 3.6 skala Richter di kedalaman 280 kilometer pada 17 Julai tahun ini. Masiung berkata, beliau sudah mengarahkan Pegawai Daerah Tongod, Hadzlan Jablee untuk mengenal pasti kawasan terkesan, termasuk kemungkinan berlaku keretakan pada infrastruktur awam. Bagaimanapun setakat ini katanya, belum ada laporan penuh diterima dari Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Kerja Raya(JKR) dan polis. “Biasanya kejadian gempa akan berulang dan MetMalaysia harus mengambil tanggungjawab segera memasang sensor pengesan awal gempa bumi di Kuamut sebelum bencana itu berulang dengan risiko yang besar,” kata Masiung. Pada 5.32 pagi tadi satu gempa bumi lemah bermagnitud 3.3 pada skala Richter berlaku di Kuamut, Kinabatangan. Menurut MetMalaysia pusat gempa dikesan pada koordibat 5.1 darjah utara dan 116.8 darjah timur. Gempa bumi itu berlaku di kedalaman 118 kilometer barat laut dari Tarakan, Indonesia dan 34 kilometer di barat daya Tongod. – Info X

September 26, 2026

Info X Reporters

Gerakan Belia dan Beliawanis (GBB) platform baharu golongan muda PBS

KOTA KINABALU: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan pindaan perlembagaan Parti Bersatu Sabah (PBS) untuk membuka ruang inisiatif baharu memperkukuh organisasi parti dan membangunkan barisan kepimpinan generasi akan datang. Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Majungki berkata, antara lain pindaan itu membolehkan semua bahagian PBS menubuhkan Gerakan Belia dan Beliawanis (GBB) sebagai platform tersusun golongan muda berusia 18 hingga 25 tahun melibatkan diri dalam aktiviti politik yang sihat, membina dan bertanggungjawab. Beliau berkata, penubuhan GBB tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai penambahan struktur organisasi parti, sebaliknya merupakan satu pelaburan untuk masa depan PBS. “Ini memberi ruang kepada anak-anak muda kita untuk belajar, menyumbang idea, menimba pengalaman serta memahami perjuangan dan prinsip parti dari peringkat akar umbi. “Kita mahu ahli muda kita memahami DNA PBS, menghargai sejarah perjuangan parti serta membina integriti, keberanian dan rasa tanggungjawab yang diperlukan untuk menjadi pemimpin pada masa hadapan,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada Persidangan Perwakilan Tahunan PBS Kali Ke-41 di Hakka Hall, Tanjung Lipat, di sini, pada Sabtu. Julita berkata, mekanisme pelaksanaan GBB akan diperincikan oleh kepimpinan baharu Ahli Majlis Tertinggi yang bakal dipilih oleh perwakilan pada persidangan itu. Katanya, inisiatif itu amat bertepatan ketika PBS memasuki fasa pembaharuan kepimpinan, dengan penekanan yang lebih besar terhadap usaha menyediakan ruang kepada pemimpin muda untuk membangunkan keupayaan dan seterusnya memikul tanggungjawab yang lebih besar dalam parti. “Masa depan PBS bukan hanya bergantung kepada usaha kita mempertahankan legasi yang telah dibina selama lebih empat dekad, tetapi juga kepada keupayaan kita menyediakan generasi baharu untuk meneruskan legasi tersebut. “Kita perlu memberikan mereka ruang untuk mengambil bahagian, belajar dan memimpin, pada masa yang sama memastikan prinsip serta nilai teras PBS terus menjadi pegangan,” katanya. Julita berkata, pindaan Perlembagaan tersebut mencerminkan usaha berterusan PBS untuk memperkukuh organisasi parti di samping menyesuaikan diri dengan perubahan landskap politik dan sosial semasa. Beliau menambah, platform GBB yang baharu itu akan membolehkan PBS mendekati golongan muda secara lebih tersusun serta menggalakkan penglibatan mereka dalam politik melalui aktiviti yang membina dan bermakna. – Info X

September 26, 2026

Info X Reporters

Menara telekomunikasi ‘dijilat’ api

KOTA KINABALU: Sebuah menara telekomunikasi terbakar sehingga 70 peratus di Kampung Rampayan, Manggatal, di sini, pagi tadi. Kejadian jam 9.20 pagi itu sempat dirakam orang awam dengan api kelihatan marak pada bahagian menara berkenaan. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.31 pagi. Katanya, lima anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) digerakkan ke lokasi di AKM Hardware Trading, Kampung Rampayan, Jalan Tuaran Bypass. “Pasukan tiba pada jam 9.40 pagi dan mendapati kebakaran membabitkan sebuah menara telekomunikasi yang dianggarkan terbakar 70 peratus. “Operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran sepanjang kira-kira 30 meter dengan satu pancutan menggunakan sumber air daripada jentera,” katanya. Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 9.56 pagi dan tiada mangsa dilaporkan terbabit. Katanya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.55 pagi selepas pemeriksaan dilakukan bagi memastikan tiada bahaya lain di lokasi. “Punca kebakaran dan jumlah kerugian belum dinyatakan,” katanya. – Info X

September 26, 2026

Info X Reporters

Gempa 3.3 landa Kuamut, bomba periksa bangunan di Kinabatangan

KINABATANGAN: Pasukan bomba menjalankan rondaan dan pemeriksaan di beberapa lokasi di daerah ini susulan gempa bumi lemah bermagnitud 3.3 yang berlaku di Kuamut, awal pagi hari ini. Gempa pada jam 5.32 pagi itu bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kerosakan struktur atau runtuhan berdasarkan pemeriksaan awal pasukan bomba. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Penolong Penguasa Bomba Suriyadi Drawis berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 6.21 pagi sebelum enam anggota digerakkan untuk menjalankan rondaan dan pemantauan. Katanya, pemeriksaan dilakukan di beberapa lokasi termasuk Sedco Kinabatangan, Perpustakaan Bukit Garam dan Bukit Garam Point serta kawasan yang dikenal pasti berisiko. “Hasil pemeriksaan mendapati tiada kerosakan struktur pada bangunan yang diperiksa dan tiada kejadian runtuhan dilaporkan. “Pasukan turut memberikan nasihat keselamatan kepada penduduk supaya sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan gegaran susulan serta segera memaklumkan pihak berkuasa sekiranya terdapat kerosakan atau kecemasan,” katanya. Menurutnya, operasi membabitkan enam anggota BBP Kinabatangan bersama jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT) itu ditamatkan pada jam 7 pagi selepas keadaan didapati selamat dan terkawal. Sementara itu, menurut maklumat Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), gempa bumi lemah bermagnitud 3.3 itu berlaku di Kuamut pada kedalaman 118 kilometer. Pusat gempa dikesan pada koordinat 5.1 darjah Utara dan 116.8 darjah Timur, kira-kira 34 kilometer barat daya Tongod, Sabah dan 223 kilometer barat laut Tarakan, Indonesia. METMalaysia memaklumkan kejadian itu tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia. – Info X

September 25, 2026

Info X Reporters

156 PATI ditahan dalam 15 operasi imigresen di Sabah

KOTA KINABALU: Seramai 156 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam 15 operasi penguatkuasaan di lima daerah di negeri ini, sejak Selasa lalu hingga hari ini. Operasi yang dijalankan di Kota Kinabalu, Tawau, Semporna, Kudat dan Ranau itu menyaksikan seramai 322 individu diperiksa bagi membanteras kehadiran PATI serta mengekang penyalahgunaan kemudahan imigresen. JIM Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan, daripada jumlah yang ditahan, seramai 140 individu adalah warga Filipina, 11 warga Indonesia dan lima warga Pakistan. “Jumlah warga Filipina yang ditahan membabitkan 40 lelaki dewasa, 40 wanita dewasa, 38 kanak-kanak lelaki dan 22 kanak-kanak perempuan. “Bagi warga Indonesia pula, tangkapan membabitkan empat lelaki dewasa, tiga wanita dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan. “Lima lagi yang ditahan adalah lelaki dewasa warga Pakistan,” menurut kenyataan itu. JIM Sabah memaklumkan, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan secara berterusan di lokasi strategik seluruh negeri bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen. Katanya, usaha itu juga bertujuan membanteras kehadiran PATI serta mengekang penyalahgunaan kemudahan imigresen. “Orang ramai diingatkan supaya tidak melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar undang-undang negara. “Sebarang maklumat mengenai kegiatan PATI boleh disalurkan melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) atau Sistem Pertanyaan Online (SPO) JIM,” katanya. – Info X

September 25, 2026

Info X Reporters

12 premis makanan diarah tutup, ada masalah tikus, lipas

KOTA KINABALU: Sebanyak 12 premis makanan sekitar bandar raya ini diarah tutup selepas pemeriksaan mendapati antaranya mempunyai masalah urungan perosak termasuk tikus dan lipas. Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu (PKKK) menerusi kenyataan di Facebook hari ini memaklumkan, tindakan itu hasil Ops Bersepadu Penguatkuasaan Akta Makanan 1983 dan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852). Menurut kenyataan itu, operasi membabitkan 56 anggota dijalankan di beberapa lokaliti sekitar Asia City, Bandaran Berjaya, Api-Api dan Warisan Square. “Sebanyak 62 premis makanan diperiksa membabitkan 56 restoran, empat kiosk atau gerai dan dua bakeri. “Hasil pemeriksaan mendapati 12 premis perlu diambil tindakan penutupan dengan sembilan daripadanya mempunyai masalah urungan perosak seperti tikus dan lipas. “Tiga lagi premis memperoleh markah pemeriksaan kebersihan kurang daripada 65 peratus,” menurut kenyataan itu. Dalam operasi sama, sebanyak 42 Notis Kompaun Seksyen 32B Akta Makanan 1983 dikeluarkan atas pelbagai ketidakpatuhan terhadap Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009. Antara kesalahan dikesan membabitkan kebersihan dan penyelenggaraan premis, kawalan perosak, pengurusan sampah, pakaian dan kebersihan diri pengendali serta kaedah penyimpanan makanan. Selain itu, lapan Notis Borang 2 dikeluarkan bagi penguatkuasaan Akta 852, namun tiada rampasan barangan direkodkan. Pegawai Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu, Dr Nirmal Kaur turut berada di lapangan bagi meninjau pelaksanaan pemeriksaan dan penguatkuasaan berkenaan. Menurut PKKK, operasi itu adalah sebahagian usaha berterusan meningkatkan tahap kebersihan premis makanan serta memastikan makanan disediakan kepada pengguna bersih dan selamat. – Info X