August 6, 2026
Info X Reporters
Lelaki melecur di muka akibat kepala dapur gas terbakar
KOTA KINABALU: Seorang lelaki melecur di bahagian muka selepas kepala dapur gas (gas regulator) tong gas terbakar di sebuah restoran di Jalan Cyber City, di sini, tengah hari tadi. Dalam kejadian itu, mangsa berusia 30 tahun dihantar ke hospital oleh rakan sekerja menggunakan kenderaan sendiri untuk mendapatkan rawatan lanjut. Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Zainuddin Saidi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.58 tengah hari sebelum menggerakkan lima anggota bersama jentera ke lokasi yang terletak kira-kira enam kilometer dari balai. Katanya, setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati kebakaran hanya membabitkan kepala dapur gas (gas regulator) pada tong gas LPG di bahagian dapur premis berkenaan. “Kebakaran bagaimanapun berjaya dipadamkan lebih awal oleh pekerja dapur menggunakan alat pemadam api sebelum ketibaan pasukan bomba. “Seorang lelaki mengalami kecederaan melecur di bahagian muka dan telah dihantar ke hospital oleh pekerja premis untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan keselamatan di lokasi bagi memastikan tiada lagi punca nyalaan atau bahaya lain yang boleh mencetuskan kebakaran semula. Katanya, selepas keadaan disahkan selamat, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2 petang. – Info X
August 6, 2026
Info X Reporters
Yayasan Sabah tawar rebat bayaran balik pinjaman hingga 30 peratus dan pengampunan CTOS
KOTA KINABALU: Peminjam Pengajian Yayasan Sabah sekali lagi berpeluang menikmati insentif rebat menarik melalui pelaksanaan Program Rebat Budi Madani 2026 yang akan berlangsung dari 6 hingga 26 Ogos ini. Menerusi satu kenyataan pada Khamis, Yayasan Sabah berkata program itu adalah satu inisiatif khas bagi menghargai peminjam yang komited melaksanakan pembayaran balik pinjaman pengajian serta memupuk budaya pembayaran yang mampan. Melalui program ini, katanya peminjam ditawarkan kadar rebat yang menarik mengikut pelbagai kategori bagi menggalakkan lebih ramai peminjam menunaikan tanggungjawab membuat pembayaran balik pinjaman pengajian. Jelas Yayasan Sabah, bayaran balik pinjaman pengajian penting dalam menyumbang kepada kelestarian dana tajaan pengajian yang ditawarkannya kepada pelajar negeri ini. Katanya, di bawah Program Rebat Budi Madani 2026, tiga kategori rebat ditawarkan, bermula dengan rebat 30 peratus kepada peminjam yang berhasrat untuk melunaskan keseluruhan baki pinjaman mereka, khusus untuk peminjam kategori Aktif Bayar, yakni mereka yang membuat pembayaran secara konsisten. Kedua, katanya tawaran rebat 25 peratus kepada peminjam yang berhasrat untuk melunaskan keseluruhan baki pinjaman mereka, khusus untuk peminjam yang tidak termasuk dalam kategori Aktif Bayar. “Yang ketiga ialah rebat 20 peratus kepada peminjam yang membuat pembayaran secara ansuran biasa,” katanya. Pada tahun lalu, katanya program rebat seumpama itu berjaya memberi impak positif terhadap peningkatan kesedaran dalam kalangan peminjam untuk menunaikan tanggungjawab mereka berdasarkan pencapaian jumlah kutipan pinjaman pengajian tertinggi iaitu RM8 juta sejak Yayasan Sabah ditubuhkan. Pemberian insentif itu juga, katanya adalah sebahagian daripada program sosial Kumpulan Yayasan Sabah untuk meringankan beban kewangan yang ditanggung peminjam. “Selain itu, Program Rebat Budi Madani 2026 adalah satu bentuk penghargaan kepada peminjam yang aktif dan konsisten membuat pembayaran. “Pemberian kadar rebat yang lebih tinggi kepada golongan ini adalah sebagai tanda penghargaan di atas dedikasi mereka mematuhi jadual pembayaran balik yang ditetapkan,” katanya. Sejajar dengan peluncuran Program Rebat Budi Madani 2026 kali ini katanya, Yayasan Sabah akan membuka kaunter khas bermula 6 Ogos 2026 kepada peminjam yang berminat menyertai program berkenaan. Katanya, bagi jelajah pertama, sesi satu diadakan di Foyer Bilik Kapalai & Manukan, Aras 2, Sabah International Convention Centre, Kota Kinabalu, bermula jam 9 pagi hingga 3 petang, 6 Ogos 2026, diikuti sesi kedua Lintasan Deasoka, Kota Kinabalu dari jam 5 petang hingga 10 malam, pada 8 Ogos 2026 (Sabtu). Ia kemudian disusuli jelajah kedua di Tapak Tamu Pekan Papar dari jam 9 pagi hingga 4.30 petang pada 15 – 16 Ogos 2026 (Sabtu – Ahad), manakala jelajah ketiga di Tapak Tamu Pekan Kota Belud dari 9.00 pagi – 4.30 petang pada 22 – 23 Ogos 2026. Selain itu, katanya sebagai salah satu manifestasi keprihatinan, pihak Pengurusan Kumpulan Yayasan Sabah turut menawarkan program pengampunan CTOS. Melalui program itu, jelasnya peminjam ingkar yang disenaraikan dalam CTOS boleh memohon untuk dikeluarkan daripada senarai dengan membayar balik pinjaman tertunggak dalam jumlah yang munasabah. “Program berbentuk pengampunan ini diharap dapat meringankan beban peminjam yang sebelum ini perlu membayar jumlah tunggakan pinjaman yang besar untuk dikeluarkan daripada senarai CTOS. “Di samping itu, sebagai alternatif bagi memudahkan peminjam berinteraksi berhubung kedua-dua program ini, mereka boleh mengunjungi Kaunter Pembayaran Balik Pinjaman Pengajian, Bahagian Pungutan Pinjaman Pengajian di Aras 26, Menara Tun Mustapha, Kompleks Ibu Pejabat Yayasan Sabah. “Untuk maklumat lanjut mengenai Program Rebat Budi Madani 2026 dan Pengampunan CTOS ini sila layari Facebook KYS-Kumpulan Yayasan Sabah atau menghubungi talian 011-33181088 dan emel ke [email protected] mengenai Program Rebat Budi Madani 2026,” katanya.- Info X
August 6, 2026
Info X Reporters
Perwakilan asing perlu dijelaskan situasi keselamatan di ESSZONE – KM
KOTA KINABALU: Perwakilan asing di negara ini perlu dimaklumkan mengenai perkembangan positif di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) sebagai langkah proaktif menurunkan nasihat perjalanan berkaitan tahap keselamatan di kawasan itu. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata situasi di ESSZONE yang kini selamat untuk dikunjungi perlu dijelaskan dengan lebih berkesan kepada pihak kedutaan dan suruhanjaya tinggi asing di negara ini. “Ini penting supaya mereka dapat menilai semula dan seterusnya menimbangkan penurunan tahap nasihat perjalanan ke Sabah Timur berdasarkan perkembangan positif yang mana tiada kes penculikan untuk wang tebusan (KFR) dilaporkan di kawasan terbabit sejak Januari 2020. “Ini akan meningkatkan keyakinan pelancong antarabangsa dan menggalakkan lebih ramai pengunjung datang ke Sabah, khususnya untuk menikmati pelbagai destinasi pelancongan menarik di Pantai Timur negeri ini,” katanya pada mesyuarat Jawatankuasa Bersama ESSZONE di Menara Kinabalu, di sini, pada Khamis. Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Hajiji dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Zainudin Aman dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Dr Awang Alik Jeman. Hajiji berkata, secara keseluruhan, keadaan keselamatan di ESSZONE kini baik dan terkawal, menjadikannya selamat untuk dikunjungi orang ramai, termasuk pelancong asing. Beliau sendiri, katanya meninjau keadaan keselamatan di beberapa pulau di ESSZONE, baru-baru ini untuk melihat secara dekat kawalan pasukan keselamatan dan situasi semasa di kawasan terbabit. “Saya sendiri melawat enam pulau di perairan Sabah Timur untuk meninjau pos-pos kawalan dan melihat tahap kesiapsiagaan anggota keselamatan di lapangan,” katanya. Hajiji berkata, ketiadaan laporan kes KFR sejak enam tahun lalu adalah satu pencapaian penting kepada Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan semua agensi keselamatan. “Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ESSCOM, PDRM, ATM, APMM serta semua agensi keselamatan atas komitmen dan pengorbanan mereka dalam menjaga keselamatan perairan dan daratan Sabah Timur,” katanya. Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan semua agensi berkaitan bagi memperkukuh keupayaan operasi dan aset serta kesiapsiagaan dan kebajikan anggota keselamatan. – Info X
August 5, 2026
Info X Reporters
Tiga wanita tiba dari Kota Kinabalu ditahan di Jakarta, disyaki seludup dadah
JAKARTA: Tiga wanita warga Malaysia ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas disyaki cuba menyeludup pelbagai jenis dadah sebaik tiba dengan penerbangan dari Kota Kinabalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, Isnin lalu. Menurut laporan mStar yang memetik media Indonesia, CNN Indonesia, penahanan itu dilakukan oleh pegawai Kastam Indonesia di Terminal 2F Ketibaan Antarabangsa selepas ketiga-tiga suspek dikesan menunjukkan tingkah laku mencurigakan ketika melalui pemeriksaan keselamatan. Pihak Kastam Indonesia dilaporkan berkata, suspek dikenal pasti oleh pegawai Behavior Detection Officer (BDO) sebelum diarahkan ke laluan merah untuk pemeriksaan lanjut. Hasil pemeriksaan menemukan beberapa bahan disyaki dadah yang disembunyikan di pelbagai lokasi, termasuk dalam beg peralatan mandian di dalam bagasi, dompet, bungkusan ubat, poket jaket serta kasut yang dipakai suspek. Antara bahan yang dirampas ialah serbuk dan abu disyaki kokain seberat 0.5 gram, 0.3 gram dan 2 gram, selain 4.2 gram pil yang disyaki mengandungi MDMA atau ekstasi. Turut dirampas ialah 1.8 gram serbuk disyaki ketamin, rokok gulung dipercayai dicampur ketamin seberat 16.9 gram serta satu kartrij yang disyaki mengandungi bahan sama. Menurut laporan itu, semua bahan yang dirampas telah menjalani ujian awal bagi mengenal pasti kandungannya. Kastam Indonesia kini bekerjasama dengan Unit Siasatan Narkotik Polis Lapangan Terbang Soekarno-Hatta bagi menjalankan siasatan lanjut sebelum tindakan undang-undang diambil terhadap ketiga-tiga suspek. Kes berkenaan dilaporkan berlaku ketika pihak berkuasa Indonesia memperhebatkan usaha membanteras penyeludupan dadah melibatkan warga asing melalui pintu masuk utama negara itu. Terdahulu, seorang juruterbang syarikat penerbangan dari Malaysia ditahan selepas disyaki cuba menyeludup kira-kira 25 kilogram pil ekstasi melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada 29 Julai lalu. Dalam satu lagi kes berasingan pada Isnin lalu, seorang lelaki warga Malaysia berusia 22 tahun turut ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya, selepas disyaki cuba menyeludup hampir satu kilogram syabu dan lebih 1,000 pil ekstasi yang disembunyikan di bawah korset yang dipakainya.- Info X
August 5, 2026
Info X Reporters
Sabah, JAKIM perkukuh kerjasama bangunkan Pusat Pembangunan Industri Halal
KUALA LUMPUR: Kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan memperkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan industri halal menerusi beberapa projek berimpak tinggi yang dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi serta memperkukuh ekosistem halal di negeri ini. Perkara itu dibincangkan dalam kunjungan hormat diketuai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Exco Agama, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif ke atas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan, di sini, semalam. Turut menyertai kunjungan itu ialah delegasi daripada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS), MUIS Holdings dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sabah. Mohd Arifin berkata, lawatan itu bertujuan mengadakan sesi libat urus serta berkongsi perkembangan semasa berkaitan hal ehwal Islam di Sabah, khususnya agenda pembangunan industri halal. Katanya, tiga cadangan utama yang dibentangkan ialah pembangunan Makmal Halal Sabah, Central Cold Storage (pusat penyimpanan sejuk beku) serta kilang pemprosesan, penyimpanan dan pembungkusan beras. “Hasil perbincangan menunjukkan ketiga-tiga cadangan itu mendapat sokongan sebagai usaha memperkukuh ekosistem industri halal di Sabah, sekali gus meningkatkan keupayaan negeri dalam sektor pemprosesan makanan, logistik dan jaminan pensijilan halal,” katanya. Beliau berkata, kerjasama antara Kerajaan Negeri Sabah dan JAKIM turut akan diperkukuh melalui perkongsian kepakaran, bimbingan teknikal serta pertukaran pengetahuan bagi menyokong pembangunan industri halal dan memperkasa tadbir urus halal di Sabah. Menurutnya, kerjasama itu penting bagi memastikan setiap pembangunan yang dirancang memenuhi piawaian serta standard halal yang ditetapkan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. “Keutamaan ketika ini ialah pembangunan Makmal Halal Sabah. Kepakaran dan pengalaman JAKIM melalui fasiliti Makmal Analisis Halal Malaysia (MyHAC) akan dijadikan rujukan dalam aspek perancangan, pembangunan dan pengoperasian makmal berkenaan,” katanya. Beliau berkata, kewujudan Makmal Halal Sabah dijangka dapat mempercepatkan proses analisis dan pengesahan produk halal di negeri ini tanpa perlu bergantung kepada kemudahan di luar Sabah. Dalam pada itu, Mohd Arifin berkata, pembangunan Central Cold Storage dan kilang pemprosesan, penyimpanan serta pembungkusan beras pula dijangka memperkukuh rantaian bekalan makanan halal, meningkatkan kecekapan logistik serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada usahawan tempatan. Katanya, pertemuan itu turut membincangkan pelbagai agenda berkaitan pembangunan hal ehwal Islam, kebajikan umat serta usaha memperkukuh kerjasama antara agensi negeri dan Persekutuan demi manfaat rakyat, khususnya di Sabah. “Kerjasama ini mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam mempererat hubungan, memperkukuh penyelarasan dasar serta memperluaskan kerjasama strategik bagi memperkasakan industri halal dan institusi Islam di Sabah,” katanya. – Info X
August 5, 2026
Info X Reporters
Innoprise Plantations raih pengiktirafan The Edge Malaysia Centurion Club Awards 2026
KOTA KINABALU: Anak syarikat Kumpulan Yayasan Sabah (KYS), Innoprise Plantations Bhd, menerima pengiktirafan The Edge Malaysia Centurion Club Awards 2026. Anugerah berprestij itu diterima pada majlis yang menghimpunkan syarikat berprestasi cemerlang yang tersenarai di Bursa Malaysia di Grand Ballroom, Hilton Kuala Lumpur pada Selasa. Pencapaian itu sekali gus mengukuhkan reputasi Innoprise Plantations sebagai antara syarikat perladangan berprestasi tinggi. Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB), Datuk Jasnih Daya mewakili Innoprise Plantations menerima anugerah berkenaan. Turut hadir ialah Pengarah Urusan (MD) Innoprise Plantations, Datuk Kelvin Tan Aik Pen dan Pengarah Eksekutif (ED), Steven Ong Chu Yaw. The Edge Malaysia Centurion Club Awards diperkenalkan sejak 2019 bagi mengiktiraf syarikat-syarikat terbaik di Bursa Malaysia dengan nilai permodalan pasaran antara RM100 juta hingga RM1 bilion, berdasarkan prestasi kewangan dan penciptaan nilai kepada pemegang saham. Antara kategori utama yang dipertandingkan ialah Pulangan Tertinggi Kepada Pemegang Saham bagi tempoh tiga tahun, Pertumbuhan Tertinggi Keuntungan Selepas Cukai bagi tempoh tiga tahun dan Pulangan Tertinggi Atas Ekuiti (Return on Equity) bagi tempoh tiga tahun. Ia merangkumi pelbagai sektor termasuk perladangan, pembinaan, teknologi, hartanah, tenaga, perkhidmatan kewangan, penjagaan kesihatan, utiliti dan pengangkutan serta logistik. Turut disampaikan pada majlis itu ialah anugerah kecemerlangan kelestarian berdasarkan rangka kerja FTSE4Good Bursa Malaysia, selain pengiktirafan kepada syarikat yang mencatat prestasi keseluruhan terbaik dalam kalangan ahli The Edge Malaysia Centurion Club. Pencapaian Innoprise Plantations akan dipaparkan dalam sisipan khas pasca majlis yang diterbitkan The Edge Malaysia, sekali gus memperkukuhkan lagi kedudukan syarikat itu sebagai antara pemain utama industri perladangan negara. Jasnih menyifatkan kejayaan itu sebagai cerminan komitmen berterusan Innoprise Plantations dalam mengamalkan tadbir urus korporat yang baik, meningkatkan prestasi perniagaan serta menjana nilai mampan kepada pemegang kepentingan, selaras aspirasi KYS untuk terus memacu kecemerlangan dan pembangunan ekonomi negeri. – Info X
August 5, 2026
Info X Reporters
10 kru bot nelayan warga asing ditahan, bot guna lesen tamat tempoh
KOTA KINABALU: Seramai 10 kru bot nelayan warga asing ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas dikesan bekerja tanpa dokumen pengenalan diri yang sah, selain bot dinaiki mereka menggunakan lesen perikanan yang sudah tamat tempoh di perairan Pulau Tiga, semalam. Bot nelayan tempatan itu ditahan dalam operasi penguatkuasaan kira-kira jam 5.36 petang di kedudukan dua batu nautika tenggara Pulau Tiga sebelum diiring ke Jeti Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut. Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan dikendalikan 10 kru termasuk nakhoda membabitkan sembilan warga Filipina dan seorang warga Indonesia berusia antara 23 hingga 53 tahun. “Pemeriksaan lanjut mendapati semua kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah seperti dikehendaki mengikut Akta Imigresen 1959/63. “Selain itu, bot berkenaan turut disyaki beroperasi menggunakan lesen perikanan yang telah tamat tempoh, sekali gus melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, semua kru bersama bot berkenaan kemudian ditahan dan diiring ke Jeti Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut. “Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot nelayan itu dianggarkan hampir RM300,000,” katanya. Mohd Khairulanuar berkata, Maritim Malaysia memandang serius setiap pelanggaran undang-undang di perairan negara dan akan terus memperhebat rondaan serta operasi penguatkuasaan tanpa sebarang kompromi. Katanya, semua pemilik vesel, pengusaha dan kru diingatkan supaya memastikan lesen perikanan, permit operasi serta dokumen pengenalan diri sentiasa sah dan masih berkuat kuasa sebelum menjalankan sebarang aktiviti di laut. “Kegagalan mematuhi syarat yang ditetapkan bukan sahaja satu kesalahan di sisi undang-undang, malah boleh menyebabkan vesel ditahan serta kru ditangkap dan didakwa mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. “Jangan sesekali memandang ringan pematuhan terhadap undang-undang. Maritim Malaysia tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan atau cuba mengambil kesempatan di perairan negara,” katanya. Beliau berkata, tindakan tegas akan terus diambil bagi memastikan keselamatan perairan negara, melindungi sumber perikanan serta mengekalkan kedaulatan Zon Maritim Malaysia. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di talian 088-387774 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera. – Info X
August 5, 2026
Info X Reporters
Jauteh mahu warga PDRM Sabah terbuka terima perubahan
KOTA KINABALU: Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah diingatkan supaya menerima setiap arahan dan perubahan yang diperkenalkan dengan sikap terbuka, selain memanfaatkan kemajuan teknologi bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat. Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, setiap perubahan yang dilaksanakan bertujuan memperkukuh organisasi dan bukannya membebankan warga pasukan. Katanya, anggota dan pegawai tidak seharusnya mewujudkan persepsi negatif terhadap setiap arahan baharu, sebaliknya melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh tanggungjawab. “Jangan memperkatakan arahan baharu itu salah atau tidak sesuai. Saya mahu semua memberi kerjasama dan menerima perubahan yang diperkenalkan demi kebaikan pasukan. “Kita perlu bersatu hati dan bekerja sebagai satu pasukan bagi memastikan setiap dasar yang diperkenalkan dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, di sini, hari ini. Majlis itu menyaksikan Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman menyerahkan tugas sebagai Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu kepada Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain. Dalam pada itu, Jauteh berkata, kemajuan teknologi yang dinikmati ketika ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan kecekapan tugas, khususnya dalam penyiasatan dan penyediaan kertas siasatan. Menurutnya, ketika memulakan kerjaya dalam pasukan, kebanyakan tugasan termasuk penyediaan kertas siasatan dilakukan secara manual dan mengambil masa yang lebih lama untuk diselesaikan. “Dulu saya membuka kira-kira 50 kertas siasatan sebulan membabitkan kes indeks dan bukan indeks. Kini, pegawai penyiasat mampu mengendalikan lebih 200 kertas siasatan setahun dengan bantuan sistem yang lebih moden. “Gunakan kemudahan yang ada untuk mempercepatkan siasatan supaya masyarakat mendapat keadilan dengan lebih cepat. Jangan apabila kerja menjadi lebih mudah, kita pula menjadi malas,” katanya. Beliau berkata, pengalaman mengendalikan kes pembunuhan pada awal perkhidmatannya memperlihatkan keseluruhan proses siasatan ketika itu dilakukan secara bertulis dan mengambil masa sehingga tujuh hari untuk disiapkan. Katanya, keadaan kini jauh berbeza apabila pelbagai sistem digital membantu mempercepatkan penyediaan dokumen siasatan serta urusan operasi. Sementara itu, Jauteh berharap semua pegawai yang mengikuti kursus, peperiksaan atau proses kenaikan pangkat terus berusaha mencapai kejayaan. “Setiap tugasan yang dilaksanakan dengan ikhlas adalah satu amanah dan boleh menjadi amal ibadah jika dilakukan dengan penuh tanggungjawab. “Teruskan memperkukuh semangat kebersamaan, elakkan perbalahan berhubung arahan baharu dan bersama-sama memastikan organisasi terus bergerak ke hadapan,” katanya. – Info X