TAWAU: Tembelang seorang penjawat awam yang disyaki terbabit dalam kes pecah rumah akhirnya terbongkar selepas dia diberkas polis di Lahad Datu, semalam.
Suspek lelaki berusia 42 tahun itu ditahan kira-kira jam 10.45 pagi di tepi Jalan Tungku, Felda Sabahat oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan itu susulan laporan dibuat seorang wanita tempatan berusia 61 tahun pada 26 Mac lalu.
Menurutnya, mangsa mendakwa rumahnya di Tanjung Batu Tengah dimasuki individu tidak dikenali selepas pulang pada malam 25 Mac sebelum mendapati jeriji besi jendela belakang dirosakkan.
“Pelbagai barangan dilaporkan hilang termasuk dua komputer riba, televisyen 60 inci, jam tangan, beberapa pasang kasut, beg tangan serta barangan peribadi lain.
“Hasil tangkapan itu, polis turut merampas beberapa barangan dipercayai ada kaitan dengan kes termasuk komputer riba, jam tangan, beg dan sebuah telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada suspek terbabit dalam kes lain.
“Polis memandang serius kes pecah rumah dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan jenayah.
“Orang ramai dinasihatkan meningkatkan tahap keselamatan kediaman serta segera menyalurkan maklumat sekiranya mengesan aktiviti mencurigakan,” katanya. – Info X