LABUAN: Helah menyembunyikan minuman keras di ruang rahsia bawah bonet belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda yang diubah suai terbongkar apabila dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Wilayah Persekutuan Labuan, baru-baru ini.
Dalam kejadian jam 12.01 tengah hari, pada 27 April lalu, kenderaan berkenaan dikesan ketika menunggu giliran untuk menaiki feri RORO di Terminal Feri Kenderaan Labuan menuju ke Menumbok, Sabah.
Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 72.5 liter minuman keras pelbagai jenama disorokkan dalam ruang khas yang dibina di bahagian bawah bonet belakang kenderaan terbabit.

Pengarah Kastam Wilayah Persekutuan Labuan, Aspalila Ag Tuah berkata, rampasan itu dilakukan hasil pemeriksaan oleh pasukan Cawangan Penguatkuasaan bersama Cawangan Pemeriksaan Penumpang terminal berkenaan.
“Minuman keras itu dipercayai cuba diseludup keluar dari Labuan ke Kawasan Utama Kastam (KUK) tanpa pengikraran dengan cara menyembunyikannya dalam ruang yang telah diubah suai pada kenderaan.

“Nilai rampasan dianggarkan RM128,090, manakala jumlah duti dan cukai sebanyak RM6,066.48, menjadikan keseluruhan nilai rampasan mencecah RM134,156.48,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, modus operandi digunakan adalah dengan menyembunyikan minuman keras di ruang khas yang dibina di bahagian bawah bonet belakang kenderaan yang telah diubah suai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Dua lelaki tempatan yang disyaki terbabit turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 (mana lebih tinggi) hingga maksimum 20 kali ganda atau RM500,000, atau penjara antara enam bulan hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya memandang serius kegiatan penyeludupan yang bukan sahaja merugikan negara dari segi hasil cukai, malah memberi kesan kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
“Orang awam diminta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan melalui talian bebas tol Kastam di 1-800-88-8855 atau mana-mana pejabat Kastam berhampiran,” katanya. – Info X