SEMPORNA: Cubaan menyeludup rokok tidak bercukai berjaya digagalkan Pasukan Polis Marin (PPM) dalam operasi awal pagi di perairan Laut Balimbang, di sini, awal pagi tadi.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, sepasukan anggota PPM Semporna mengesan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, pasukan terus mengejar bot berkenaan sebelum suspek bertindak membuang beberapa objek ke laut bagi mengelak dikesan.
“Bot suspek kemudian melarikan diri ke kawasan cetek di Laut Balimbang sebelum menuju ke arah Laut Tanjung Manimpa dan berjaya melepaskan diri.
“Hasil pemeriksaan ke atas barang yang dibuang menemui dua karung guni berisi rokok dipercayai tidak bercukai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, anggaran sebanyak 400 kotak rokok jenama LASA warna putih dirampas membabitkan kira-kira 8,000 batang dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM9,600.
“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan suspek yang terbabit.
“Tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan dan pelanggaran undang-undang negara,” katanya. – Info X