November 19, 2026
Info X Reporters
Tebang pokok: YB Likas gesa DBKK libatkan wakil rakyat
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tham Yun Fook, menggesa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) meningkatkan ketelusan dan penglibatan wakil rakyat susulan kebimbangan orang ramai berhubung penebangan pokok di tepi jalan di beberapa kawasan sekitar Likas. Katanya, beliau sudah mendapatkan penjelasan daripada DBKK yang memaklumkan kerja-kerja berkenaan perlu dilaksanakan bagi memberi laluan kepada projek pelebaran jalan, menebang pokok yang telah tua dan reput serta mengelakkan risiko keselamatan awam. Walaupun memahami faktor keselamatan yang dibangkitkan, khususnya ketika angin kencang dan hujan lebat, Tham mempersoalkan mengapa wakil rakyat tidak dimaklumkan terlebih dahulu sebelum kerja-kerja itu dilaksanakan. “Sebagai wakil rakyat Likas, saya tidak dimaklumkan mahupun dirujuk sebelum kerja-kerja penebangan pokok ini dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis. Jelasnya, DBKK turut memberi jaminan penanaman semula akan dilaksanakan dengan menggunakan pokok bersaiz lebih kecil, tanaman hiasan dan pokok berbunga yang lebih sesuai dengan persekitaran. Tham menyambut baik jaminan itu dan berkata beliau akan memantau pelaksanaannya, sambil mengambil maklum kebimbangan penduduk terhadap risiko pokok tua susulan beberapa kejadian pokok dan dahan besar tumbang sebelum ini. Bagaimanapun, beliau berkata isu berkenaan turut menimbulkan persoalan lebih besar mengenai pengecualian wakil rakyat pembangkang daripada Mesyuarat Tindakan Bandaraya yang mungkin membincangkan perkara berkaitan kawasan mereka. “Wakil rakyat tidak sepatutnya diketepikan daripada sebarang perbincangan hanya kerana mereka datang daripada parti politik yang berbeza. Kami mewakili rakyat, bukan semata-mata parti masing-masing,” tegasnya. Sehubungan itu, Tham menggesa DBKK supaya melibatkan semua wakil rakyat tanpa mengira fahaman politik dalam Mesyuarat Tindakan Bandaraya dan proses membuat keputusan yang memberi kesan kepada penduduk. Katanya, penglibatan itu penting bagi memastikan suara dan kebimbangan penduduk dapat diketengahkan serta ditangani sebelum sesuatu keputusan dilaksanakan. Beliau menegaskan keselamatan awam perlu sentiasa diutamakan, namun aspek ketelusan, pemeliharaan alam sekitar dan hak penduduk untuk didengari juga tidak boleh diabaikan. Tham berkata beliau akan terus berhubung dengan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan kepentingan dan kesejahteraan penduduk Likas sentiasa terpelihara. – Info X
November 19, 2026
Info X Reporters
Akta Pendaftaran Ahli Farmasi 1951 dikuatkuasakan di Sabah
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri meluluskan penerimaan pakai Akta Pendaftaran Ahli Farmasi 1951 (Akta 371) bagi memperkukuh kawal selia profesion farmasi di negeri ini. Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki, berkata keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Jemaah Menteri Negeri pada Rabu. Katanya, penerimaan pakai akta berkenaan turut memperuntukkan Sabah satu kerusi tetap dalam Lembaga Farmasi Malaysia (LFM), sekali gus memastikan suara negeri ini diambil kira dalam keputusan di peringkat kebangsaan berkaitan kawal selia dan pembangunan profesion farmasi. “Wakil Sabah akan dicadangkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Negeri,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis. Beliau menjelaskan peluasan Akta 371 ke Sabah membolehkan negeri ini tertakluk kepada peruntukan akta berkenaan, termasuk pengiktirafan kelayakan ahli farmasi, pendaftaran ahli farmasi dan perbadanan berkaitan farmasi, serta tindakan tatatertib bagi kes salah laku profesional. Jelasnya, penerimaan pakai akta itu juga membolehkan institusi pengajian tinggi yang bercadang menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Farmasi dan Diploma Farmasi di Sabah memohon pengiktirafan LFM, selain membolehkan premis latihan bagi Ahli Farmasi Berdaftar Secara Bersyarat (PRP) mendapat pengiktirafan rasmi. Selain itu, katanya ia juga akan memastikan ahli farmasi di Sabah memiliki kelayakan yang diiktiraf serta memenuhi standard kompetensi di peringkat kebangsaan, di samping mengawal penggunaan gelaran ahli farmasi dan istilah farmasi bagi mengelakkan penyalahgunaan. Julita berkata, Akta 371 mula berkuat kuasa di Semenanjung pada 1952 sebelum diperluaskan ke Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pada 2009. Katanya, penerimaan pakai akta itu di Sabah akan membawa negeri ke dalam kerangka kawal selia yang sama. “Penerimaan pakai Akta 371 ini amat bertepatan pada masanya ketika Sabah terus memperkukuh sistem kesihatan negeri. “Akta ini akan memastikan ahli farmasi yang beramal di Sabah memenuhi standard profesional yang diiktiraf, sekali gus memperkukuh perlindungan kepentingan awam dan keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan farmasi,” katanya. – Info X
November 19, 2026
Info X Reporters
PETRA diminta tangani isu banjir, hakisan dan elektrik di Sipitang, Beaufort
KOTA KINABALU: Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) diminta menangani isu banjir, hakisan sungai dan bekalan elektrik yang membelenggu penduduk Sipitang dan Beaufort sejak sekian lama. Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah, berkata tiga isu kritikal itu perlu langkah penyelesaian secara tuntas dan menyeluruh. Sehubungan itu, beliau meminta PETRA menimbangkan peruntukan khas bagi melaksanakan projek tebatan banjir secara menyeluruh dan menaik taraf sistem saliran sedia ada di kedua-dua daerah berkenaan. Katanya, limpahan Sungai Mengalong dan sistem saliran yang tidak lagi mampu menampung aliran air menyebabkan 17 kampung di Skim Sindumin sering dilanda banjir, malah ada yang mengambil masa lebih seminggu untuk surut. Katanya, kerja-kerja pengorekan, pendalaman dan pemuliharaan muara Sungai Sipitang serta Sungai Mengalong juga perlu disegerakan. “Ini penting kerana pemendapan sedimen bukan sahaja menghalang pelepasan air ke laut, malah menyukarkan laluan bot nelayan dan bot operasi agensi ketika air surut,” katanya. Beliau berkata demikian ketika perbahasan peringkat jawatankuasa belanjawan PETRA di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada Rabu. Matbali berkata di kawasan DUN Lumadan, penduduknya turut berhadapan dengan banjir dan berlaku sembilan kali sepanjang t2025 akibat limpahan Sungai Padas dan Sungai Bukau. Antara kawasan terjejas termasuk Kampung Luagan Sanginan, Suasa, Kebajang, Bangkalalak, Mentulud, Bukau dan Lingkungan. Sementara itu, isu hakisan tebing sungai juga semakin kritikal di banyak kawasan sekitar DUN Lumadan, antaranya di Kampung Lubak, kawasan tanah perkuburan Kampung Lupak dan Beringin serta Kampung Kaundo, Suasa dan Luagan Sanginan. Bagi bekalan elektrik, Matbali meminta kementerian membina pencawang elektrik baharu di Kampung Lalangut, Suasa, Kukup, Bangkalalak dan Weston, bagi mengatasi susutan voltan yang sekian lama membelenggu penduduk. “Kita juga meminta kementerian menaik taraf talian kabel elektrik yang tidak bersalut kepada kabel bertebat di Kampung Weston demi menjamin keselamatan, serta menggantikan 150 unit lampu jalan di Zon Lumadan,” katanya. – Info X
November 19, 2026
Info X Reporters
Sibuk bekerja, motosikal pula hilang dicuri
TAWAU: Ketika sibuk menjalankan tugas harian, seorang lelaki tidak menyangka motosikal miliknya yang diletakkan di garaj belakang pejabat Jabatan Air Bahagian Tawau, Jalan Kuhara, di sini, hilang dipercayai dicuri. Kejadian pada 2 November lalu kira-kira jam 10 pagi itu menyebabkan mangsa mengalami kerugian dianggarkan RM4,000 selepas motosikal jenis Yamaha 135LC V2 miliknya dilarikan individu tidak dikenali. Bagaimanapun, polis berjaya mengesan sebuah motosikal yang dipercayai dicuri itu selepas menahan seorang lelaki warga asing berusia 20-an di sebuah rumah kebun di Jalan Kuhara, petang semalam. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, suspek ditahan kira-kira jam 3.30 petang dalam operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bersama Strike Team Balai Polis Tawau. Katanya, pemeriksaan di lokasi membawa kepada penemuan sebuah motosikal Yamaha 135LC yang dipercayai mempunyai kaitan dengan laporan kehilangan berkenaan. “Pemeriksaan lanjut mendapati nombor enjin dan nombor casis motosikal itu sudah diganggu. “Polis turut merampas sebuah lengan ayun (swing arm) dan ekzos motosikal bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Rosdi berkata, siasatan lanjut turut mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah. Katanya, suspek bersama barang rampasan dibawa untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor. “Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya. Beliau berkata, polis akan terus mempergiat operasi membanteras jenayah harta benda, khususnya kes kecurian motosikal di daerah berkenaan. Sehubungan itu, beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya memastikan kenderaan diletakkan di kawasan selamat selain menggunakan kunci keselamatan tambahan bagi mengurangkan risiko kecurian. – Info X
November 19, 2026
Info X Reporters
Warga emas maut dalam nahas ketika perjalanan pulang
PAPAR: Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta dipandunya merempuh sebuah lori dalam kejadian di Kilometer 28, Jalan Kimanis – Keningau, di sini, malam tadi. Dalam kejadian jam 7.40 malam itu, mangsa berusia 64 tahun dalam perjalanan dari Keningau menuju ke rumahnya di Pengalat, di sini. Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, siasatan awal mendapati mangsa memandu kereta jenis Proton Persona, manakala lori jenis Sinotruk dipandu lelaki tempatan berusia 35 tahun datang dari arah bertentangan. Katanya, ketika tiba di lokasi kejadian, lori berkenaan dipercayai membelok ke kanan untuk memasuki satu simpang. “Bagaimanapun, disebabkan jarak yang terlalu dekat, mangsa tidak sempat mengelak sebelum kereta dipandunya merempuh bahagian sisi kiri lori berkenaan. “Akibat perlanggaran itu, mangsa tersepit di dalam kenderaan dan mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Heryan berkata, pemandu lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan itu. Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu untuk proses bedah siasat. “Pemandu lori berusia 35 tahun itu sudah ditahan bagi membantu siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan. “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau membahayakan,” katanya. Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada dan memastikan keadaan benar-benar selamat sebelum membelok atau memasuki simpang, terutama pada waktu malam. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor EL Najeeb Abdul Rhahman di talian 016-881 3880 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – Info X
November 18, 2026
Info X Reporters
19 terbabit kemalangan, bas persiaran hilang kawalan ketika turun bukit
PAPAR: Seramai 19 individu terbabit dalam kemalangan selepas sebuah bas persiaran dipercayai hilang kawalan ketika menuruni bukit sebelum terbabas ke bahu jalan di Jalan Bukit Kimanis – Keningau, di sini, tengah hari tadi. Dalam kejadian itu, empat mangsa dilaporkan tersepit di dalam bas sebelum berjaya dikeluarkan orang awam, manakala 15 lagi mengalami kecederaan ringan. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Penolong Kanan Penguasa Bomba Nelson Ponji berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.34 tengah hari. Katanya, sepasukan enam anggota dari BBP Kimanis bersama dua anggota Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) BBP Papar digerakkan ke lokasi kejadian. “Setibanya pasukan bomba di lokasi pada jam 1.58 tengah hari, didapati kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran yang membawa seramai 19 individu. “Empat mangsa yang dilaporkan tersepit berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba, manakala 15 lagi hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Nelson berkata, pasukan bomba kemudian memberikan rawatan awal kepada mangsa yang cedera dengan bantuan petugas ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Katanya, operasi turut mendapat kerjasama pihak polis dan KKM bagi memastikan semua mangsa diberikan bantuan sewajarnya. Maklumat lanjut mengenai keadaan mangsa serta punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan. – Info X
November 18, 2026
Info X Reporters
Lelaki Filipina didakwa bunuh warga emas di Bongawan
PAPAR: Seorang lelaki warga Filipina dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang warga emas di sebuah rumah di Kampung Gading, Ulu Bongawan, awal bulan ini. Tertuduh, Teddy S Jalao, 33, didakwa membunuh Duin Kittchi, 75, yang juga warga tempatan, di sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan antara jam 1 tengah hari hingga 5.40 petang pada 7 November lalu. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zuraini Ali Musa. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan sekurang-kurangnya 12 sebatan, jika tidak dijatuhi hukuman mati, sekiranya sabit kesalahan. Mahkamah menetapkan 21 Disember depan untuk sebutan semula kes dan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kareena Kaur Gill Karamjit Singh, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Terdahulu, media melaporkan kejadian pembunuhan itu dipercayai berpunca daripada perselisihan berkaitan hutang pembelian barangan runcit antara suspek dengan mangsa. Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian. – Info X
November 18, 2026
Info X Reporters
Op Padu bongkar rangkaian pengedar produk kesihatan haram, rampasan RM500,000
KOTA KINABALU: Lebih 53,000 produk farmaseutikal dan kosmetik disyaki tidak mematuhi peraturan bernilai kira-kira RM500,000 dirampas dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu (Op Padu) di 11 premis sekitar Sabah, hari ini. Rampasan itu adalah yang terbesar di Sabah sepanjang tahun ini hasil operasi menyasarkan rangkaian pengedar produk farmaseutikal tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi. Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Asniza Alias berkata, operasi berkenaan dilaksanakan selepas hampir enam bulan pemantauan dan risikan terhadap pembekal serta penjual produk terbabit. Katanya, sebanyak 27,910 produk farmaseutikal disyaki tidak berdaftar dirampas, selain 2,663 produk disyaki mengandungi racun berjadual dan 23,101 produk kosmetik disyaki tidak bernotifikasi. “Antara produk dirampas termasuk antibiotik, ubat antikulat, ubat penahan sakit, pil perancang keluarga serta produk disyaki mengandungi hidrokuinon dan steroid. “Penggunaan produk ini tanpa pengawasan doktor atau ahli farmasi boleh menyebabkan kesan sampingan termasuk kerosakan buah pinggang, ketidakseimbangan hormon, pendarahan usus dan kerintangan antibiotik,” katanya pada sidang media, hari ini. Asniza berkata, operasi itu membabitkan 60 anggota penguat kuasa farmasi dari seluruh negara bersama kira-kira 50 anggota daripada enam agensi penguatkuasaan lain. Katanya, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti sumber bekalan serta bagaimana produk berkenaan memasuki pasaran Sabah. “Kes disiasat mengikut Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. “Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM25,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama,” katanya. Beliau turut mengingatkan peniaga supaya memastikan produk farmaseutikal mempunyai nombor pendaftaran MAL dan hologram keselamatan Farmatag, manakala kosmetik perlu mempunyai notifikasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). “Orang ramai juga dinasihatkan menyemak status produk melalui aplikasi MyUbat atau laman sesawang Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sebelum membuat pembelian,” katanya. – Info X