PAPAR: Seramai 19 individu terbabit dalam kemalangan selepas sebuah bas persiaran dipercayai hilang kawalan ketika menuruni bukit sebelum terbabas ke bahu jalan di Jalan Bukit Kimanis – Keningau, di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian itu, empat mangsa dilaporkan tersepit di dalam bas sebelum berjaya dikeluarkan orang awam, manakala 15 lagi mengalami kecederaan ringan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Penolong Kanan Penguasa Bomba Nelson Ponji berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.34 tengah hari.
Katanya, sepasukan enam anggota dari BBP Kimanis bersama dua anggota Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) BBP Papar digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi pada jam 1.58 tengah hari, didapati kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran yang membawa seramai 19 individu.
“Empat mangsa yang dilaporkan tersepit berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba, manakala 15 lagi hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Nelson berkata, pasukan bomba kemudian memberikan rawatan awal kepada mangsa yang cedera dengan bantuan petugas ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Katanya, operasi turut mendapat kerjasama pihak polis dan KKM bagi memastikan semua mangsa diberikan bantuan sewajarnya.
Maklumat lanjut mengenai keadaan mangsa serta punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan. – Info X