Sibuk bekerja, motosikal pula hilang dicuri

November 19, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Ketika sibuk menjalankan tugas harian, seorang lelaki tidak menyangka motosikal miliknya yang diletakkan di garaj belakang pejabat Jabatan Air Bahagian Tawau, Jalan Kuhara, di sini, hilang dipercayai dicuri.

Kejadian pada 2 November lalu kira-kira jam 10 pagi itu menyebabkan mangsa mengalami kerugian dianggarkan RM4,000 selepas motosikal jenis Yamaha 135LC V2 miliknya dilarikan individu tidak dikenali.

Bagaimanapun, polis berjaya mengesan sebuah motosikal yang dipercayai dicuri itu selepas menahan seorang lelaki warga asing berusia 20-an di sebuah rumah kebun di Jalan Kuhara, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, suspek ditahan kira-kira jam 3.30 petang dalam operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bersama Strike Team Balai Polis Tawau.

Katanya, pemeriksaan di lokasi membawa kepada penemuan sebuah motosikal Yamaha 135LC yang dipercayai mempunyai kaitan dengan laporan kehilangan berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati nombor enjin dan nombor casis motosikal itu sudah diganggu.

“Polis turut merampas sebuah lengan ayun (swing arm) dan ekzos motosikal bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Rosdi berkata, siasatan lanjut turut mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Katanya, suspek bersama barang rampasan dibawa untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor.

“Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Beliau berkata, polis akan terus mempergiat operasi membanteras jenayah harta benda, khususnya kes kecurian motosikal di daerah berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya memastikan kenderaan diletakkan di kawasan selamat selain menggunakan kunci keselamatan tambahan bagi mengurangkan risiko kecurian. – Info X