KOTA KINABALU: Kerajaan negeri meluluskan penerimaan pakai Akta Pendaftaran Ahli Farmasi 1951 (Akta 371) bagi memperkukuh kawal selia profesion farmasi di negeri ini.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki, berkata keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Jemaah Menteri Negeri pada Rabu.
Katanya, penerimaan pakai akta berkenaan turut memperuntukkan Sabah satu kerusi tetap dalam Lembaga Farmasi Malaysia (LFM), sekali gus memastikan suara negeri ini diambil kira dalam keputusan di peringkat kebangsaan berkaitan kawal selia dan pembangunan profesion farmasi.
“Wakil Sabah akan dicadangkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Negeri,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau menjelaskan peluasan Akta 371 ke Sabah membolehkan negeri ini tertakluk kepada peruntukan akta berkenaan, termasuk pengiktirafan kelayakan ahli farmasi, pendaftaran ahli farmasi dan perbadanan berkaitan farmasi, serta tindakan tatatertib bagi kes salah laku profesional.
Jelasnya, penerimaan pakai akta itu juga membolehkan institusi pengajian tinggi yang bercadang menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Farmasi dan Diploma Farmasi di Sabah memohon pengiktirafan LFM, selain membolehkan premis latihan bagi Ahli Farmasi Berdaftar Secara Bersyarat (PRP) mendapat pengiktirafan rasmi.
Selain itu, katanya ia juga akan memastikan ahli farmasi di Sabah memiliki kelayakan yang diiktiraf serta memenuhi standard kompetensi di peringkat kebangsaan, di samping mengawal penggunaan gelaran ahli farmasi dan istilah farmasi bagi mengelakkan penyalahgunaan.
Julita berkata, Akta 371 mula berkuat kuasa di Semenanjung pada 1952 sebelum diperluaskan ke Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pada 2009.
Katanya, penerimaan pakai akta itu di Sabah akan membawa negeri ke dalam kerangka kawal selia yang sama.
“Penerimaan pakai Akta 371 ini amat bertepatan pada masanya ketika Sabah terus memperkukuh sistem kesihatan negeri.
“Akta ini akan memastikan ahli farmasi yang beramal di Sabah memenuhi standard profesional yang diiktiraf, sekali gus memperkukuh perlindungan kepentingan awam dan keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan farmasi,” katanya. – Info X