PETRA diminta tangani isu banjir, hakisan dan elektrik di Sipitang, Beaufort

November 19, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) diminta menangani isu banjir, hakisan sungai dan bekalan elektrik yang membelenggu penduduk Sipitang dan Beaufort sejak sekian lama.

Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah, berkata tiga isu kritikal itu perlu langkah penyelesaian secara tuntas dan menyeluruh.

Sehubungan itu, beliau meminta PETRA menimbangkan peruntukan khas bagi melaksanakan projek tebatan banjir secara menyeluruh dan menaik taraf sistem saliran sedia ada di kedua-dua daerah berkenaan.

Katanya, limpahan Sungai Mengalong dan sistem saliran yang tidak lagi mampu menampung aliran air menyebabkan 17 kampung di Skim Sindumin sering dilanda banjir, malah ada yang mengambil masa lebih seminggu untuk surut.

Katanya, kerja-kerja pengorekan, pendalaman dan pemuliharaan muara Sungai Sipitang serta Sungai Mengalong juga perlu disegerakan.

“Ini penting kerana pemendapan sedimen bukan sahaja menghalang pelepasan air ke laut, malah menyukarkan laluan bot nelayan dan bot operasi agensi ketika air surut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika perbahasan peringkat jawatankuasa belanjawan PETRA di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada Rabu.

Matbali berkata di kawasan DUN Lumadan, penduduknya turut berhadapan dengan banjir dan berlaku sembilan kali sepanjang t2025 akibat limpahan Sungai Padas dan Sungai Bukau.

Antara kawasan terjejas termasuk Kampung Luagan Sanginan, Suasa, Kebajang, Bangkalalak, Mentulud, Bukau dan Lingkungan.

Sementara itu, isu hakisan tebing sungai juga semakin kritikal di banyak kawasan sekitar DUN Lumadan, antaranya di Kampung Lubak, kawasan tanah perkuburan Kampung Lupak dan Beringin serta Kampung Kaundo, Suasa dan Luagan Sanginan.

Bagi bekalan elektrik, Matbali meminta kementerian membina pencawang elektrik baharu di Kampung Lalangut, Suasa, Kukup, Bangkalalak dan Weston, bagi mengatasi susutan voltan yang sekian lama membelenggu penduduk.

“Kita juga meminta kementerian menaik taraf talian kabel elektrik yang tidak bersalut kepada kabel bertebat di Kampung Weston demi menjamin keselamatan, serta menggantikan 150 unit lampu jalan di Zon Lumadan,” katanya. – Info X