Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

May 6, 2026

Info X Reporters

KPDN Labuan tumpas dua kegiatan seleweng diesel

LABUAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan menumpaskan dua kegiatan penyelewengan diesel tanpa permit menerusi Ops Tiris 4.0 dengan jumlah rampasan keseluruhan dianggarkan RM83,806. Dalam serbuan pertama berhampiran Saguking Warehouse, Jalan Tuanku Sharif Kedah, seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun ditahan untuk pemeriksaan. Hasil pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan jenis ‘single cab’ menemukan kira-kira 1,000 liter diesel disimpan dalam lima tong bersama hos dan pam elektrik. Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain berkata, pemeriksaan lanjut mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang permit atau kebenaran bertulis bagi memiliki bahan api berkenaan. “Nilai keseluruhan rampasan bagi kes pertama dianggarkan RM53,720,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang lelaki berusia 39 tahun turut ditahan di sebuah stesen minyak selepas disyaki mengisi diesel ke dalam gelen 20 liter secara berulang sebelum dikumpulkan di dalam sebuah kenderaan milik syarikat perindustrian. Katanya, suspek juga gagal mengemukakan dokumen kebenaran sebelum minyak diesel bersama kenderaan terbabit dirampas dengan nilai keseluruhan RM30,086. Menurutnya, kedua-dua kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun. “KPDN akan terus mempergiat operasi dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam penyelewengan barang kawalan,” katanya. – Info X

May 6, 2026

Info X Reporters

Penolong jurutera kanan disyaki guna syarikat keluarga buat projek RM2.6 juta

LABUAN: Seorang penolong jurutera kanan sebuah agensi kerajaan direman enam hari selepas disyaki menyalahgunakan kuasa dengan melantik syarikat milik keluarganya bagi kerja penyelenggaraan bernilai kira-kira RM2.6 juta. Turut direman bersama lelaki itu ialah adik dan adik iparnya bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Labuan. Perintah reman sehingga 12 Mei terhadap ketiga-tiga suspek lelaki berusia lingkungan 30 hingga 40-an itu dikeluarkan Majistret Dr Melissa Chia selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Labuan, pagi tadi. Menurut sumber, semua suspek ditahan antara jam 4 hingga 6 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Labuan. “Hasil siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan berkenaan pada 2025. “Suspek utama yang juga penolong jurutera kanan dipercayai menggunakan lesen syarikat kontraktor utama untuk melantik syarikat subkontraktor milik keluarganya bagi menjalankan kerja pengurusan fasiliti dan penyelenggaraan di sebuah kompleks anak yatim di negeri ini. “Nilai keseluruhan kerja yang terbabit dianggarkan kira-kira RM2.6 juta,” katanya. Sumber berkata, dua lagi suspek yang direman adalah adik kandung dan adik ipar kepada suspek utama yang dipercayai mempunyai kaitan dengan syarikat terbabit. Sementara itu, Pengarah SPRM Labuan, Muhammat Azis Malmod ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana menyalahgunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapatkan suapan. – Info X

May 6, 2026

Info X Reporters

Perkasa keselamatan di ESSzone guna teknologi canggih – KM

LAHAD DATU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan pengukuhan keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) akan terus dipacu dengan penggunaan teknologi canggih termasuk kecerdasan buatan (AI). Katanya, langkah itu bagi memastikan kestabilan keselamatan yang menjadi asas kepada pertumbuhan ekonomi negeri. Beliau berkata, kerajaan negeri komited memperkukuh keupayaan keselamatan menerusi pemodenan aset, penggunaan teknologi seperti dron, radar serta analisis data raya (Big data) bagi memastikan pemantauan lebih menyeluruh dan respons yang lebih pantas terhadap sebarang ancaman. “Seiring dengan kerangka Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, kita mahu agensi keselamatan memperkasakan penggunaan AI dalam operasi supaya sistem keselamatan kita bukan sahaja kukuh secara fizikal, tetapi juga dari segi digital,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah SMJ sempena Program Lawatan Tinjauan Keselamatan Ketua Menteri ke ESSZone di Dewan Perdana, di sini, pada Rabu. Hajiji menegaskan bahawa aspek keselamatan tidak boleh dipisahkan daripada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat, malah menjadi prasyarat utama dalam menarik keyakinan pelabur ke Sabah. “Tanpa jaminan keselamatan yang kukuh, keyakinan pelabur akan terjejas, aktiviti ekonomi terbantut dan kesejahteraan rakyat turut terkesan,” katanya. Sehubungan itu, katanya pembangunan di kawasan ESS Zone akan dilaksanakan secara holistik dengan mengimbangi keperluan keselamatan serta pembangunan ekonomi dan sosial. Ketua Menteri berkata, sektor maritim dan Ekonomi Biru dikenal pasti sebagai pemacu pertumbuhan baharu di bawah SMJ 2.0, meliputi industri perikanan moden, pelancongan marin dan pembangunan bandar pesisir dan sempadan. Namun, katanya potensi besar itu hanya mampu direalisasikan sekiranya keselamatan perairan negeri terus diperkukuh tanpa kompromi. “Sabah mempunyai kedudukan strategik dengan garis pantai melebihi 1,400 kilometer dan bertindak sebagai barisan hadapan negara di Borneo serta Laut Sulu. “Pengukuhan keselamatan bukan sahaja melindungi rakyat, tetapi membuka ruang kepada pembangunan bandar sempadan sebagai pintu ekonomi baharu negeri,” katanya. Dalam konteks Lahad Datu, beliau berkata daerah ini mempunyai potensi ekonomi yang besar khususnya dalam sektor perladangan, perikanan, pelancongan dan industri hiliran. “Namun, semua ini hanya dapat direalisasikan sepenuhnya sekiranya persekitaran kekal selamat dan stabil. Pelabur hanya akan datang jika yakin keselamatan perairan kita terjamin,” katanya. Hajiji turut menegaskan bahawa tanggungjawab menjaga keselamatan bukan terletak kepada pasukan keselamatan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak termasuk masyarakat setempat. Beliau menyeru rakyat khususnya di kawasan ESS Zone supaya sentiasa peka dan segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa. “Peranan komuniti amat penting sebagai rakan strategik kepada pasukan keselamatan dalam memastikan keamanan terus terpelihara,” katanya. Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa kebajikan anggota keselamatan akan terus dipelihara melalui kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan, termasuk dari segi kemudahan, perumahan dan logistik. Katanya, sinergi antara semua pihak akan terus diperkukuh bagi memastikan ESSZone kekal aman dan terkawal. Menyentuh Program Lawatan Tinjauan Keselamatan, Hajiji berkata ia menjadi platform untuk menilai kekuatan serta kelemahan sedia ada sebelum merangka penambahbaikan yang lebih berkesan demi keselamatan negeri. – Info X

May 6, 2026

Info X Reporters

KM turun padang pantau kemajuan Pan Borneo di Sukau

SUKAU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor turun padang meninjau sendiri kemajuan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah di laluan antara Kampung Perpaduan Datuk Moh ke Sukau yang termasuk dalam pakej kerja WP25 sepanjang kira-kira 14.96 kilometer, di sini, pada Rabu. Hajiji singgah meninjau perkembangan di pakej kerja WP25 dan mendengar taklimat tapak ketika dalam perjalanan dari Sandakan ke Lahad Datu sempena Program Lawatan Tinjauan Keselamatan ke Eastern Sabah Safety Zone (ESSZone). Hajiji diiringi Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Ariffin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri PlSafar Untong; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab; selain pembantu pembantu menteri dan pegawai kanan kerajaan. Ketua Menteri menegaskan keperluan penyelarasan segera antara agensi bagi memastikan pelaksanaan projek itu mengikut jadual dan tidak terus berdepan kelewatan. Dalam taklimat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), Hajiji dimaklumkan status semasa projek WP25 yang ketika ini mencapai kemajuan fizikal 12.35 peratus berbanding sasaran jadual asal sebanyak 15.30 peratus, manakala kemajuan kewangan mencapai 11.52 peratus. Pelaksanaan pakej kerja itu membabitkan kos RM269.9 juta dan dijadualkan siap dalam tempoh 36 bulan dengan tarikh penyiapan pada Februari 2028. Antara komponen utama pembinaan termasuk persimpangan bertingkat (flyover), hentian bas, jambatan pejalan kaki serta sistem perparitan dan culvert bagi meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya. Hajiji turut dimaklumkan mengenai beberapa kekangan utama di tapak yang menjejaskan kemajuan kerja, termasuk isu pengalihan utiliti, pengambilan tanah serta perobohan struktur sedia ada. Masalah utiliti dikenal pasti antara faktor utama yang memperlahankan kerja tanah, di samping cabaran logistik dan akses sementara di kawasan projek. Selain WP25, Ketua Menteri turut diberi taklimat perkembangan pakej berhampiran, iaitu WP24 yang melibatkan jajaran sepanjang 15.88 kilometer dari Sungai Takala ke Kampung Perpaduan Datuk Moh. Bagi WP24, kemajuan fizikal setakat April 2026 direkodkan sekitar 15.60 peratus dengan sedikit kelewatan berbanding jadual asal. Sehubungan itu, Hajiji menegaskan kepentingan penyelarasan berkesan antara semua agensi terlibat bagi menangani isu di tapak, termasuk mempercepatkan proses pengambilan tanah dan pengalihan utiliti supaya tidak menjejaskan garis masa pelaksanaan projek. Beliau berkata, Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B adalah antara inisiatif strategik kerajaan dalam memperkukuh rangkaian infrastruktur jalan raya, sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi serta menghubungkan kawasan utama di Pantai Timur Sabah. “Kerajaan negeri komited memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan secara terancang, dipantau rapi dan disiapkan mengikut jadual demi manfaat rakyat,” katanya. – Info X

May 6, 2026

Info X Reporters

Dua lelaki didakwa edar 130 kg syabu

TAWAU: Dua lelaki dituduh di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas dakwaan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 130.57 kilogram (kg) pada April lalu. Tertuduh, Ng Chuan Tong, 51, dan Herman Patte, 35, berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama. Jika sabit kesalahan, mahkamah boleh mengenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta maksimum 12 sebatan ke atas tertuduh. Ketika prosiding hari ini, kedua-dua tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama mengedar dadah berbahaya seberat 130,575.18 gram pada jam 9.30 malam di Batu 15, Jalan Apas, di sini, pada 21 April lalu. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Haikal Hazwan Md Yatin. Tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh, manakala 2 Jun depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes. – Info X

May 6, 2026

Info X Reporters

Lelaki hilang selepas bot bertembung di Pulau Mengalum

KOTA KINABALU: Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke laut dalam insiden pelanggaran bot di perairan Pulau Mengalum, di sini. Mangsa dikenali sebagai Nur Amin, 21, dan sehingga kini masih belum ditemui. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Timbalan Penguasa Bomba I Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sabah pada jam 9.30 pagi tadi selepas dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan polis. Katanya, sepasukan dua anggota bersama sebuah Toyota Hilux Vigo digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 9.36 pagi bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR). “Maklumat awal mendapati kejadian pelanggaran bot itu berlaku pada 4 Mei lalu kira-kira jam 9.30 pagi di kawasan perairan Pulau Mengalum. “Pada jam lebih kurang 11.30 pagi hari sama, pengadu dihubungi rakan sekerja mangsa yang memaklumkan kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini. Menurutnya, semasa kejadian, mangsa dipercayai terjatuh ke laut sebelum hilang. Katanya, pengadu bersama rakan-rakan mangsa sudah menjalankan pencarian awal di lokasi kejadian, namun gagal menemui mangsa. “Bot yang terbabit dalam pelanggaran itu dikenal pasti menggunakan nombor pendaftaran JN10172/2/P milik Syarikat Ria,” katanya. Beliau berkata, pihak PDRM sudah mengaktifkan Ops SAR pagi ini dengan pusat operasi ditetapkan di Jeti Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) belakang Suria Sabah. “Operasi SAR kini dijalankan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersama dua bot milik Syarikat Ria. “Pencarian membabitkan radius kira-kira 10 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang,” katanya. Ordine berkata, operasi tamat pada jam 11.12 pagi dan pihak PDRM akan menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sekiranya bantuan tambahan diperlukan. – Info X

May 6, 2026

Info X Reporters

Karnival kewangan, psikologi perkasa kesejahteraan warga PDRM Sabah

KOTA KINABALU: Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah diseru memperkukuh tahap celik kewangan serta menjaga kesejahteraan mental menerusi penganjuran Karnival Pengurusan Kewangan, Harta Pusaka, Kebajikan dan Pengurusan Psikologi Peringkat Kontinjen Sabah 2026. Karnival itu menghimpunkan pelbagai agensi strategik membabitkan sektor perbankan, korporat dan institusi pendidikan bagi memberi pendedahan menyeluruh kepada anggota serta pegawai PDRM Sabah. Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Sabah, Datuk Mohd Azhar Hamin berkata, kepimpinan kontinjen menegaskan kepentingan pengurusan kewangan secara bijak dalam kalangan warga pasukan demi memastikan kestabilan hidup jangka panjang. Menurutnya, pemahaman terhadap instrumen kewangan seperti hibah dan wasiat perlu dipertingkat bagi mengelakkan bebanan kepada waris pada masa depan. “Kegagalan merancang kewangan secara sistematik boleh memberi kesan besar bukan sahaja kepada individu, malah keluarga yang ditinggalkan. “Sehubungan itu, karnival ini menjadi platform penting untuk memberi pendidikan kewangan secara langsung kepada warga PDRM Sabah,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan program berkenaan. Beliau berkata, aspek pengurusan harta pusaka turut diberi perhatian memandangkan isu itu sering timbul akibat kurang pengetahuan masyarakat. Katanya, program berkenaan menampilkan sesi perkongsian daripada institusi kewangan seperti Ambank (M) Berhad, Tabung Haji, Affin Bank, PRU BSN dan Qaizer Consultancy yang berkongsi teknik pengurusan kewangan, kaedah menabung serta perancangan kewangan berstruktur. “Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Kota Kinabalu turut memberi penerangan berkaitan pengurusan hasil dan tanggungjawab percukaian,” katanya. Menurutnya, penyertaan institusi pendidikan seperti UUM Leads, City University Malaysia, Kolej Universiti Saito, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan North Borneo University turut memberi nilai tambah kepada karnival itu. “Institusi berkenaan menawarkan peluang pengajian separuh masa serta konsep bekerja sambil belajar kepada anggota yang ingin meningkatkan kelayakan akademik. “Langkah ini dilihat sebagai pelaburan masa depan bagi memperkukuh laluan kerjaya warga PDRM,” katanya. Selain itu, syarikat telekomunikasi dan penyedia bahan pendidikan seperti Celcom, Unifi dan Grolier Book turut memeriahkan program berkenaan. Mohd Azhar berkata, penglibatan PERKEP serta unit kebajikan PDRM Sabah pula memberi fokus kepada kebajikan anggota dan keluarga. Dalam masa sama katanya, kepimpinan kontinjen turut menekankan kepentingan kesihatan mental dalam kalangan warga pasukan memandangkan cabaran tugas di Sabah memerlukan ketahanan mental yang tinggi. “Stigma terhadap khidmat kaunseling perlu dihapuskan dan anggota digalakkan mendapatkan sokongan psikologi apabila diperlukan. “Kesejahteraan mental menjadi tunjang kepada kecemerlangan tugas serta prestasi organisasi. “Karnival ini juga bertepatan dengan sambutan Hari Polis ke-219 yang mencerminkan komitmen berterusan dalam menjaga kebajikan warga pasukan,” katanya. Beliau berkata, program itu menjadi manifestasi keprihatinan pucuk pimpinan dalam memastikan kesejahteraan menyeluruh anggota PDRM Sabah. – Info X

May 6, 2026

Info X Reporters

Lori siap tangki ubah suai bawa 1,350 liter diesel disyaki seleweng

TAWAU: Taktik menggunakan lori lapan tan yang diubah suai dengan tangki tambahan untuk membawa diesel bersubsidi terbongkar selepas diserbu pihak berkuasa dalam operasi di sini, semalam. Rampasan kira-kira jam 7.30 malam itu membabitkan 1,350 liter diesel bersama sebuah lori jenis Isuzu lapan tan, tong drum besi, hos paip minyak, mesin pam dan beberapa peralatan lain yang dipercayai digunakan untuk kegiatan penyelewengan bahan api. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kes berkenaan diterima menerusi serahan daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14 Tawau. Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM104,256.25. “Susulan itu, KPDN Tawau membuka satu kertas siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. “KPDN memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat supaya sentiasa mematuhi undang-undang ditetapkan,” katanya. Menurut kenyataan itu, individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta bagi kesalahan berikutnya atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Katanya, bagi syarikat pula, denda boleh mencecah RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya. KPDN turut menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain dalam membanteras kegiatan penyelewengan barang kawalan di negeri ini. – Info X