Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

September 24, 2026

Info X Reporters

Tuntutan RM29,440 bawa dua pegawai RELA ke mahkamah

TAWAU: Tuntutan elaun penugasan rondaan keselamatan dan pemantauan bencana berjumlah RM29,440 membawa dua pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau, hari ini. Mohamad Ihsan Said, 42, dan Radzmil Saadan, 38, masing-masing berdepan tiga pertuduhan membabitkan pengemukaan dokumen mengandungi butiran matan palsu dan bersubahat melakukan kesalahan berkenaan. Kedua-duanya bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Andi Razalijaya A. Dadi. Mengikut pertuduhan, Mohamad Ihsan didakwa dengan disedarinya memberikan kepada seorang ejen dokumen tuntutan elaun penugasan rondaan keselamatan dan pemantauan bencana ketika Monsun Timur Laut yang mengandungi butiran palsu. Tiga tuntutan berkenaan masing-masing berjumlah RM9,600, RM9,920 dan RM9,920 yang dibuat di Pejabat RELA Daerah Lahad Datu antara Disember 2022 hingga Februari 2023. Sementara itu, Radzmil didakwa atas tiga pertuduhan bersubahat bersama Mohamad Ihsan melakukan kesalahan berkenaan dengan menyemak borang tuntutan elaun terbabit. Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 dan Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama. Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai butiran matan palsu atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi. Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan yang beralamat tetap di Tawau, selain deposit RM3,000. Kedua-duanya turut diarahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis setiap bulan dan tidak menghubungi saksi pendakwaan sehingga kes selesai. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 23 Oktober 2026. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Norsham Saharom, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Nur Hafizah Husna Elahab @ Lahab. – Info X

September 24, 2026

Info X Reporters

Perdagangan karbon: Reputasi dan jenama Sabah akan dilindungi melalui kawal selia kukuh – KM

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri tidak membenarkan sebarang projek berkaitan perdagangan karbon dibuat secara tergesa-gesa dan memasuki pasaran secara spekulatif. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata walaupun peluang pasaran karbon Sabah amat besar, penelitian sewajarnya perlu dibuat terlebih dahulu. Tegasnya, projek yang dirangka dengan lemah, tuntutan iklim yang dibesar-besarkan, sumber yang dinilai terlalu rendah dan peminggiran komuniti pribumi akan menjejaskan keyakinan pelabur terhadap kredit karbon Sabah. “Kita akan melindungi reputasi dan jenama Sabah melalui disiplin kawal selia yang kukuh. Ia adalah demi kepentingan komersial Sabah untuk menegakkan piawaian tertinggi dalam aspek integriti alam sekitar, sosial, kewangan dan tadbir urus. “Pembeli akan menuntut ketelusan sepenuhnya,” katanya dalam ucapan perasmian Forum Pasaran Karbon Sabah: Membuka Peluang Pasaran Karbon untuk Sabah, di sini, pada Khamis. Teks ucapan beliau dibacakankan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun. Hajiji berkata Sabah mempunyai Enakmen Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon Sabah 2025 yang mengiktiraf secara sah pemilikan hak karbon oleh kerajaan negeri serta menetapkan peraturan yang jelas bagi aktiviti berkaitan karbon, termasuk kelulusan projek dan perdagangan kredit karbon. “Majlis Tindakan Perubahan Iklim Sabah (SCCAC) akan menyelia dasar iklim negeri, menyediakan belanjawan karbon negeri untuk kelulusan kementerian dan pewartaan serta menyelaras usaha antara agensi kerajaan negeri dan Persekutuan. “Pusat Pendaftaran dan Inventori Iklim Sabah akan menyediakan sokongan teknikal dan operasi kepada SCCAC. Secara keseluruhannya, rangka kerja ini menyediakan kepada pelabur satu pintu masuk kawal selia setempat yang telus bagi kelulusan projek dan pensijilan hak karbon,” katanya. Hajiji berkata Sabah mempunyai inisiatif kredit karbon disahkan berasaskan alam semula jadi yang pertama di Malaysia menerusi Projek Pemuliharaan Hutan Hujan Kuamut, yang meliputi kira-kira 83,381 hektar hutan tanah rendah yang kaya dengan biodiversiti. Projek itu, katanya dijangka menghasilkan pengurangan pelepasan kira-kira 800,000 tan karbon dioksida (CO2), sekali gus menjadi penanda aras bagi inisiatif pada masa hadapan dan sudah dinilai sebagai antara yang terbaik dalam kelasnya oleh BeZero Carbon, sebuah agensi penarafan kredit karbon global. “Kerajaan negeri juga sedang membangunkan portfolio aset karbon yang dipelbagaikan merentasi sektor ekonomi utama termasuk Ekonomi Biru, Pertanian, Tenaga Boleh Baharu dan Teknologi Hijau serta Pemerangkapan dan Penyimpanan Karbon. “Di bawah sektor Ekonomi Biru, Sabah mempunyai lebih 340,000 hektar hutan bakau, iaitu yang terbesar di Malaysia. Kita berpotensi besar menjadi peneraju serantau ekonomi biru menerusi bioteknologi marin, akuakultur mampan dan pelancongan berasaskan ekosistem marin,” katanya. Dalam sektor pertanian, beliau menjelaskan industri kelapa sawit Sabah meliputi hampir 1.5 juta hektar dan menawarkan peluang besar bagi pemerangkapan metana serta inisiatif mitigasi iklim lain menggunakan sisa pertanian. Katanya, bagi sektor Tenaga Boleh Baharu dan Teknologi Hijau, Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040 menggariskan usaha kerajaan negeri untuk memperluas tenaga solar, hidro, biojisim dan biogas bagi menyediakan tenaga yang boleh dipercayai, mudah diakses dan berpatutan. Dalam sektor Pemerangkapan dan Penyimpanan Karbon, Hajiji berkata lembangan geologi luar pesisir Sabah bersama kawasan maritim negeri, mempunyai potensi jangka panjang bagi penyimpanan karbon secara geologi yang mampu meletakkan Sabah sebagai hab penyimpanan industri yang penting di peringkat nasional dan serantau. Ketua Menteri berkata dengan hampir 30 peratus keluasan tanah Sabah diwartakan sebagai Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA), ia akan menyumbang kepada komitmen Malaysia terhadap pemeliharaan biodiversiti dan sasaran pemuliharaan global 2030 di bawah Kerangka Biodiversiti Global Kunming-Montreal, sekali gus meletakkan Sabah pada kedudukan menonjol dalam peta pemuliharaan global. “Sabah juga adalah penyerap bersih karbon utama Malaysia, atau negeri karbon negatif, berdasarkan data inventori gas rumah hijau. Litupan hutan kita yang luas memperkukuh kapasiti penyerapan karbon keseluruhan Malaysia pada kadar kira-kira 36 peratus. “Menerusi pengurusan hutan yang inklusif dan diwujudkan melalui kerjasama dengan komuniti tempatan, kita berusaha mengimbangi pemuliharaan alam sekitar dengan kesejahteraan sosioekonomi rakyat. Identiti dan masa depan Sabah berakar umbi dalam warisan semula jadi kita,” katanya. Beliaylu berkata, di bawah hala tuju pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), Sabah sedang bergerak dengan tegas ke arah pemuliharaan yang mempunyai nilai, iaitu menjadikan perlindungan aset semula jadi sebagai peluang ekonomi yang bertanggungjawab. “Tugas kita sekarang ialah pelaksanaan, iaitu membangunkan projek yang berwibawa, mewujudkan permintaan pasaran, mendapatkan pembiayaan dan memastikan usaha pemuliharaan memberikan nilai yang berkekalan,” katanya. Hajiji menyeru pemimpin sektor kewangan termasuk CIMB Bank Berhad, Bursa Malaysia, pemimpin industri dan pelabur untuk membangunkan atau bersama-sama membangunkan rangka kerja pembiayaan praktikal yang mampu merapatkan jurang modal bagi projek karbon yang berwibawa serta memenuhi sasaran iklim 2030 di bawah Perjanjian Paris. “Kami menjemput anda untuk bekerjasama dengan kami, melabur di Sabah, menubuhkan operasi teknikal anda di sini dan membuka nilai sebenar modal semula jadi kita,” katanya. – Info X

September 24, 2026

Info X Reporters

Ketua Penolong Pengarah antara dua ditahan SPRM Sabah berkaitan lombong emas

KOTA KINABALU: Seorang Ketua Penolong Pengarah di sebuah jabatan di Sabah dan Pengarah Eksekutif sebuah syarikat swasta ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana disyaki terbabit pemberian dan penerimaan rasuah berkaitan operasi perlombongan emas. Kedua-dua suspek, masing-masing lelaki berusia lingkungan 60-an, dipercayai terbabit dalam beberapa transaksi wang antara mereka bagi memudahkan operasi perlombongan emas syarikat terbabit yang beroperasi di Tawau pada 2024 dan 2025. Siasatan awal mendapati nilai suapan yang terbabit berjumlah RM18,000. Sumber berkata, Ketua Penolong Pengarah berkenaan ditahan kerana disyaki menerima suapan, manakala Pengarah Eksekutif syarikat terbabit ditahan kerana disyaki memberi suapan berkenaan. Menurutnya, kedua-dua suspek hadir di Pejabat SPRM Kota Kinabalu kira-kira jam 10 pagi hari ini bagi membantu siasatan. Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk TPj Mohd Fuad Bee Basrah, ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan. Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan 17(b) Akta SPRM 2009.-Info X

September 23, 2026

BERNAMA

44.5 hektar tanaman tembakau di ranau jana pendapatan hampir RM2 juta setahun — Noraini

RANAU: Tanaman tembakau bagi produk tembakau hiris dan cerut yang diusahakan oleh 118 pekebun tempatan di kawasan seluas kira-kira 44.5 hektar di sini, dapat menjana pendapatan mencecah hampir RM2 juta setahun. Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata hasil pengeluaran tanaman tembakau itu dibeli oleh pemborong tempatan sebelum dipasarkan ke seluruh Sabah. “Potensinya amat besar sekiranya diurus secara baik dengan penekanan kepada kualiti hasil, teknologi penanaman moden dan rangkaian pasaran lebih luas. “Saya berharap industri penanaman tembakau di daerah Ranau akan terus berkembang maju, memberi pulangan menguntungkan kepada para pengusaha dan menyumbang kepada ekonomi tempatan,” katanya sewaktu melakukan lawatan kerja ke kawasan tanaman tembakau di sini, hari ini. Noraini berkata walaupun aspek seperti kawal selia penanaman, pengeluaran dan pemasaran tembakau serta keluaran tembakau di Sabah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, pihak kementerian itu sentiasa terbuka untuk berkongsi kepakaran teknikal, penyelidikan dan pembangunan industri penanaman tembakau di Sabah ni bagi kemajuan sektor itu secara mapan. Di Semenanjung Malaysia, katanya, aspek kawal selia penanaman, pengeluaran dan pemasaran tembakau serta keluarannya melibatkan fungsi kementerian itu serta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara mengikut Akta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara 2009 (Akta 692). Tanaman tembakau hiris di Semenanjung Malaysia melibatkan seramai 170 orang penanam dengan keluasan kawasan seluas 103.7 hektar di Kelantan, Perak dan Negeri Sembilan setakat 31 Ogos lepas. Hasil pengeluaran adalah sebanyak 78.32 tan dengan harga purata RM20 sekilogram, sekali gus membawa kepada nilai hasil RM1,566,420 (RM1.57 juta), kata beliau. Noraini berkata dari sudut perdagangan, nilai eksport produk tembakau mencecah RM150.40 juta dan melibatkan negara seperti China, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Thailand, India, Belize, Singapura, Vietnam, Indonesia, Australia dan Bangladesh. Pada masa sama, nilai import tembakau dan produk tembakau sebanyak RM427 juta adalah dari Indonesia, Filipina, Switzerland, Hong Kong, Singapura, Jerman, Korea, Cuba, Vietnam, Belgium. “Walaupun industri tembakau berpotensi tinggi dari segi ekonomi, kerajaan tidak lagi menyalurkan sebarang bantuan dan insentif kepada penanam tembakau selaras dengan komitmen terhadap Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO-FCTC). “Bagaimanapun, kerajaan menerusi agensi berkaitan tetap komited dalam memberikan khidmat nasihat, kawal selia tanaman tembakau dan keluaran tembakau serta memastikan pematuhan kepada peruntukan yang termaktub di bawah Akta 692,” katanya.–BERNAMA

September 23, 2026

Info X Reporters

Lelaki didapati bersalah bunuh wanita dipenjara 35 tahun, 12 sebatan

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi, di sini, menjatuhkan hukuman penjara 35 tahun dan 12 sebatan terhadap seorang lelaki selepas didapati bersalah membunuh seorang wanita, empat tahun lalu. Hakim Datuk Celestina Stuel Galid menjatuhkan hukuman itu, semalam, terhadap Nul Sadam Jemsi selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara terhadap tertuduh berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap iaitu bermula 23 Februari 2022. Mengikut pertuduhan, Nul Sadam didakwa membunuh Nasfidah Japarah, 25, di sebuah bilik sewa di tingkat tiga, Lot 7, Blok J, Segama, di sini. Kesalahan itu dilakukan antara jam 10 malam hingga 11.45 malam pada 22 Mac 2022. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Berdasarkan fakta kes, pemeriksaan terhadap mayat mangsa mendapati terdapat 222 kecederaan pada tubuhnya, termasuk kecederaan serius di bahagian leher sehingga kepala mangsa hampir terputus. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Dana A Wazani, manakala tertuduh diwakili peguam Jamadi Saleh.-Info X

September 23, 2026

Info X Reporters

Tangkap ikan di kawasan larangan, bot pukat jerut bilis ditahan

LAHAD DATU: Sebuah bot nelayan pukat jerut bilis ditahan selepas dikesan menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan tidak dibenarkan di perairan Kunak, semalam. Bot berkenaan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kira-kira jam 12.35 tengah hari pada kedudukan 0.8 batu nautika timur laut Pulau Burong, Madai. Pengarah Maritim Zon Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, pemeriksaan mendapati bot berkenaan dikendalikan seorang tekong warga tempatan berusia 42 tahun bersama tiga awak-awak warga Filipina berusia antara 21 hingga 41 tahun. Katanya, kesemua mereka mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah. “Bot berkenaan disyaki melanggar syarat sah lesen apabila menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan. “Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Dzulfikhar berkata, Maritim Malaysia akan terus meningkatkan penguatkuasaan bagi memastikan pengusaha dan nelayan mematuhi syarat lesen serta peraturan perikanan ditetapkan. Katanya, tindakan itu juga penting bagi memelihara sumber perikanan dan keselamatan perairan negara. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah maritim atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Lahad Datu menerusi WhatsApp 016-930 5727 atau talian kecemasan 999. – Info X

September 23, 2026

Info X Reporters

Syabu RM6,000 dirampas, lelaki 45 tahun ditahan

PENAMPANG: Seorang lelaki berusia 45 tahun ditahan selepas polis menemukan syabu seberat 52.55 gram bernilai kira-kira RM6,000 dalam satu operasi di Jalan Penampang Lama, di sini, semalam. Suspek ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Penampang kira-kira jam 11 malam selepas polis bertindak atas maklumat. Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, pemeriksaan terhadap lelaki berkenaan menemukan satu paket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki syabu dalam simpanannya. Katanya, ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine. “Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan. “Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana memasukkan dadah ke dalam badan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Sammy berkata, suspek kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut. Beliau turut menasihatkan masyarakat supaya tidak terbabit dalam penyalahgunaan dan pengedaran dadah serta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau dadah kepada polis untuk tindakan lanjut. – Info X

September 23, 2026

Info X Reporters

‘Kami sudah kahwin kampung’, alasan pasangan dicekup khalwat

LAHAD DATU: “Kami sudah kahwin kampung.” Itu alasan diberikan sepasang kekasih selepas dicekup berdua-duaan dalam sebuah bilik hotel ketika operasi penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) di daerah ini, malam Isnin lalu. Bagaimanapun, alasan lelaki berusia 28 tahun dan wanita berusia 19 tahun itu tidak dapat menyelamatkan mereka apabila semakan mendapati kedua-duanya sebenarnya tidak pernah melangsungkan perkahwinan. Pasangan berkenaan dikesan ketika Ops Cegah Jenayah Syariah yang dijalankan penguat kuasa JHEAINS menerusi pemeriksaan di beberapa hotel sekitar Bandar Sri Perdana dan Pekan Lahad Datu. Hasil pemeriksaan di sebuah bilik hotel menemukan lelaki dan wanita terbabit berada berdua-duaan sebelum mereka mendakwa sudah ‘berkahwin kampung’. Semakan lanjut bagaimanapun mendapati dakwaan berkenaan tidak benar sebelum kedua-duanya ditahan untuk tindakan lanjut. Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 84 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995 (Sabah) kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat. Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda maksimum RM2,000 atau dipenjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali. Operasi itu diketuai Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama JHEAINS, Ustaz Rahim Yahya Abd Rahman bersama 20 pegawai penguat kuasa JHEAINS Sabah. – Info X