KOTA KINABALU: Sayap Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mahu wakil pemimpin muda dari parti itu turut diketengahkan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum (PRU) dan negeri (PRN) akan datang.
Ketuanya, Datuk Azrul Ibrahim, berkata pihaknya akan memberikan syor dan pandangan kepada kepemimpinan tertinggi parti mengenai perkara itu.
Katanya, beliau yakin kepemimpinan parti, khususnya Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Hajiji Noor akan menimbangkan peluang untuk pemimpin muda yang berpotensi diketengahkan sebagai calon.
“Pastinya sebagai sayap pemuda, kita akan memberikan syor dan pandangan kepada kepimpinan bagaimana pemuda dan pemimpin muda dapat diberikan peluang dalam sistem pilihan raya hingga menjadi calon.
“Kita tidak berniat membebankan kepimpinan, syor kita akan diadakan secara matang dan berbincang dengan baik dan saya yakin dengan komitmen kepimpinan parti khususnya Presiden Gagasan Rakyat yang juga Pengerusi GRS, pemimpin muda berpotensi akan diketengahkan dan dicadangkan mewakili GRS pada PRU dan PRN akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pemuda Gagasan Rakyat di SICC, di sini, pada Sabtu lalu.
Azrul ditanya sama ada pemilihan calon dari kalangan pemimpin Pemuda Gagasan Rakyat sudah mula dibincang sebagai persiapan menghadapi PRU16 yang dijangka diadakan tahun depan.
Beliau bagaimanapun berkata, belum ada sasaran atau peratusan calon memewakili pemuda yang dibincangkan setakat ini.
“Peratusan atau target akan dibincangkan dengan kepimpinan terlebih dahulu untuk menetapkan segalanya secara tertib,” katanya.
Pada PRN17 Sabah tahun lalu, bekas Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Datuk Fairuz Renddan, bertanding calon bebas apabila tidak dicalonkan semula di kerusi DUN Pintasan yang disandangnya.
Walaupun hilang jawatan Ketua Pemuda dan keahlian dalam Gagasan Rakyat, Fairuz berjaya mengekalkan kerusi berkenaan setelah menewaskan pencabar terdekatnya, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang bertanding atas tiket GRS. – Info X