Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

November 17, 2026

Info X Reporters

Margin simpanan elektrik Sabah kini 19 peratus – Masidi

KOTA KINABALU: Margin simpanan penjanaan tenaga elektrik di Sabah meningkat kepada 19 peratus setakat Ogos 2026, berbanding hanya lapan peratus pada 2024. Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata perkembangan itu mencerminkan kemajuan yang dicapai dalam usaha memperkukuh sektor tenaga negeri. Katanya, peningkatan itu adalah susulan daripada pengambilalihan kuasa kawal selia elektrik dan tenaga boleh baharu oleh kerajaan Sabah daripada kerajaan Persekutuan sejak Januari 2024. Beliau berkata, bekalan elektrik yang stabil dengan harga berpatutan adalah asas penting kepada pembangunan ekonomi, khususnya dalam usaha mempergiat perindustrian, menarik pelaburan bernilai tinggi dan mewujudkan peluang pekerjaan bergaji lebih baik. “Usaha mempergiat sektor perindustrian, menarik pelaburan bernilai tinggi serta mewujudkan peluang pekerjaan bergaji lebih baik memerlukan bekalan elektrik yang stabil, boleh dipercayai dan ditawarkan pada harga berpatutan,” katanya. Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan Workshop on Sabah Energy Investments and Regional Interconnections anjuran Asian Development Bank (ADB), di sini, pada Isnin. Masidi yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata pelaksanaan Sabah Energy Roadmap and Master Plan (SERMP) 2040 menjadi kerangka penting dalam meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik, memperluas elektrifikasi luar bandar serta mempelbagaikan sumber tenaga negeri. Beliau turut menekankan kepentingan projek Southern Link dalam memperkukuh rangkaian penghantaran elektrik di Sabah, khususnya bagi meningkatkan keupayaan penyaluran bekalan ke kawasan Pantai Timur. “Kerjasama sambungan grid elektrik di antara Sarawak dan Sabah yang mula membekalkan tenaga pada Disember tahun lalu membuktikan manfaat kerjasama dalam memperkukuh keselamatan bekalan tenaga,” katanya. Beliau berkata, Sabah juga mempunyai kedudukan strategik untuk meneroka peluang kerjasama tenaga serantau menerusi cadangan sambungan elektrik Kalimantan Utara-Sabah, Borneo Grid dan potensi sambungan Sabah-Filipina. Bagaimanapun, beliau menegaskan setiap kerjasama tenaga serantau perlu memberikan manfaat ekonomi yang jelas, meningkatkan keselamatan tenaga serta tidak menjejaskan keperluan bekalan elektrik domestik Sabah. Dalam pada itu, Masidi berkata Sabah turut mempunyai potensi besar dalam pembangunan tenaga boleh baharu termasuk solar, hidro, bioenergi dan geoterma, selain meneroka teknologi Ocean Thermal Energy Conversion (OTEC). Beliau turut mengalu-alukan penglibatan sektor swasta dan pendekatan pembiayaan inovatif bagi merealisasikan pembangunan infrastruktur tenaga, selain bergantung kepada sumber kewangan kerajaan. Katanya, pelaburan dalam sektor tenaga juga perlu membuka lebih banyak peluang kepada syarikat tempatan, di samping memperkukuh pembangunan kepakaran jurutera, juruteknik dan tenaga profesional Sabah. “Sabah tidak hanya mahu menjadi penghubung geografi dalam rangkaian grid tenaga serantau, sebaliknya mahu menjadi peserta aktif dalam ekonomi tenaga serantau,” katanya. Sehubungan itu, beliau berharap bengkel berkenaan dapat menghasilkan keutamaan yang jelas dan tindakan konkrit bagi memastikan setiap cadangan pembangunan tenaga mempunyai asas teknikal, daya maju komersial dan mekanisme pembiayaan yang sesuai. – Info X

November 17, 2026

Info X Reporters

Lanjutan masa bukan lesen lewatkan projek, KKR perlu ketatkan pemantauan – Matbali

KOTA KINABALU: Kelulusan lanjutan masa (EOT) yang diberikan kepada kontraktor berikutan kegagalan menyiapkan projek pembinaan infrastruktur untuk kepentingan rakyat mengikut jadual asal bukan lesen untuk melanjutkan kelewatan. Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah, berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu melaksanakan pemantauan berkala dan berkesan bagi memastikan kontraktor memberikan prestasi kerja yang sewajarnya. Beliau yang merujuk pemberian EOT kepada kontraktor projek Jambatan Sungai Pengarah di Kilometer 3.40, Jalan Ulu Sipitang-Sungai Bubus, Sipitang, berkata projek wajib disiapkan mengikut jadual baharu yang ditetapkan. Katanya, berdasarkan laporan prestasi projek sehingga 25 Oktober 2026, kemajuan fizikal projek itu mencapai 75 peratus berbanding 79 peratus mengikut jadual, iaitu kelewatan sebanyak empat peratus atau bersamaan 26 hari. “Tarikh siap asal pada 9 September 2026 telah dilanjutkan menerusi lanjutan masa (EOT) pertama selama 227 hari, menjadikan tarikh siap baharu pada 24 April 2027. “Bagaimanapun, kelulusan lanjutan masa ini bukanlah lesen untuk melanjutkan kelewatan. Saya berharap pihak JKR melaksanakan pemantauan berkala dan berkesan serta memastikan kontraktor memberikan prestasi kerja yang sewajarnya,” katanya. Beliau menyuarakan perkara itu dalam perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Kerja Raya (KKT) di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, pada Isnin. Katanya, jambatan berkenaan amat penting bagi aktiviti ekonomi, pendidikan dan akses kepada kemudahan asas. Berikutan itu, Matbali menggesa KKR memperketat pemantauan projek jambatan, jalan raya dan penyelenggaraan jalan di kawasan Sipitang bagi memastikan projek yang dilaksanakan siap mengikut jadual dan spesifikasi yang ditetapkan. Beliau turut membangkitkan keperluan menyediakan peruntukan mencukupi bagi penyelenggaraan jalan raya sedia ada di Sipitang, termasuk Jalan Kampung Bukau menuju Simpang Kampung Lumadan dan Jalan Padas Valley. Katanya, walaupun beberapa laluan berkenaan terbabit dalam pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB), tanggungjawab penyelenggaraan oleh pihak konsesi tetap perlu dilaksanakan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya. “Jalan berlubang, permukaan mendap dan tidak rata, bahu jalan terhakis serta sistem saliran tersumbat bukan sekadar kecacatan fizikal, tetapi boleh menjadi ancaman kepada keselamatan pengguna. “Jangan tunggu jalan runtuh baru hendak bertindak dan jangan tunggu kemalangan berlaku baru hendak mencari punca. Penyelenggaraan yang baik ialah langkah pencegahan yang mampu menyelamatkan nyawa, masa dan wang rakyat,” katanya. Dalam perbahasan sama, beliau turut membawa perhatian kepada keadaan jalan raya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan yang memerlukan kerja pembaikan dan penyelenggaraan secara menyeluruh. Berdasarkan senarai kerosakan serta cadangan penyelenggaraan yang dikemukakan, katanya, kerja pembaikan melibatkan kira-kira 79.741 kilometer jalan raya merangkumi 33 segmen laluan, termasuk jalan di Kampung Bintuka, Kampung Suasa, Kampung Weston, Garama dan Bangkalalak. Sehubungan itu, beliau berharap KKR memberikan perhatian serius terhadap senarai kerosakan berkenaan, khususnya dari segi penetapan keutamaan pelaksanaan, penyediaan peruntukan dan jadual penyelenggaraan yang jelas. Matbali turut menggesa KKR menaik taraf Jalan Lintas-Luagan, Sipitang, sepanjang 1.55 kilometer daripada jalan batu kelikir kepada jalan berturap bagi meningkatkan keselesaan dan keselamatan penduduk setempat. Beliau berkata laluan yang dibina sejak Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) itu menjadi penghubung penting bagi penduduk Kampung Luagan dan Kampung Batu 7 Pantai ke Pekan Sipitang. – Info X

November 17, 2026

Info X Reporters

PGA rampas rokok seludup lebih RM1.1 juta, pemandu van ditahan

TAWAU: Tindakan seorang lelaki membawa muatan rokok seludup menggunakan sebuah van membawa padah apabila ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam operasi di Jalan Tawau Lama, berhampiran Kampung Icebox Titingan, di sini, awal pagi semalam. Lelaki tempatan berusia 45 tahun itu ditahan selepas van Toyota Hiace berwarna putih dipandunya diperiksa dan ditemukan membawa pelbagai jenis rokok serta tembakau dipercayai diseludup. Pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan keseluruhan bernilai RM1.1 juta termasuk kenderaan yang digunakan untuk membawa barangan berkenaan. Komander Briged Sabah PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Nor Omar Sappi berkata, tangkapan dilakukan kira-kira jam 1 pagi menerusi Op Taring Alpha 1 hasil maklumat orang awam. Katanya, operasi dijalankan Tiger Platun Kompeni A, Batalion 14 PGA Tawau dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau. “Pasukan operasi berjaya menahan sebuah van Toyota Hiace yang dipandu lelaki tempatan sebelum pemeriksaan menemukan pelbagai jenis rokok dan tembakau dipercayai barangan seludup. “Susulan penemuan itu, pemandu terbabit ditahan manakala semua barangan berkenaan dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Nor Omar berkata, antara barangan dirampas ialah 276,000 batang rokok putih pelbagai jenama bernilai RM540,000 dan 216,000 batang rokok kretek bernilai RM422,400. Katanya, turut dirampas 880 bungkusan kecil tembakau seberat kira-kira 35.2 kilogram bernilai RM704 serta sebuah van Toyota Hiace dianggarkan bernilai RM140,000. “Nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan berjumlah RM1,103,104. “Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kenderaan digunakan juga tidak dikehendaki polis,” katanya. Beliau berkata, suspek bersama semua barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau untuk tindakan lanjut. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. “Polis akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan penyeludupan dan pengedaran rokok serta tembakau, khususnya di Sabah. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan berkenaan diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu tindakan penguatkuasaan,” katanya. TAMAT

November 16, 2026

Info X Reporters

Bakakuk kes remaja ditembak kerana disangka pelanduk ditemui

RANAU: Polis menemui selaras senapang buatan sendiri jenis bakakuk yang dipercayai digunakan dalam kejadian remaja perempuan ditembak selepas disangka pelanduk, Sabtu lalu. Senjata api berkenaan ditemui disandarkan pada sebatang pokok di kawasan hutan Kampung Rinangkatan, di sini, hari ini, selepas suspek menunjukkan lokasi senjata itu dibuang. Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, penemuan itu hasil siasatan susulan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ranau bersama pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah. Katanya, pemeriksaan awal di lokasi kejadian semalam gagal menemukan senjata api yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan. “Susulan itu, pasukan polis kembali ke kawasan hutan Kampung Rinangkatan dengan dipandu arah oleh suspek bagi mengesan senjata api terbabit. “Pasukan bergerak dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau kira-kira jam 12.40 tengah hari sebelum tiba di kawasan tempat letak kenderaan pada jam 3 petang. “Anggota polis kemudian terpaksa berjalan kaki kira-kira satu jam meredah kawasan hutan sebelum berjaya menemukan selaras bakakuk yang disandarkan pada sebatang pokok,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Mursalin berkata, pasukan forensik turut menjalankan pemeriksaan terhadap senjata api yang ditemukan bagi membantu siasatan lanjut. Katanya, semua barang bukti yang diperoleh akan digunakan bagi membantu siasatan lanjut berhubung kejadian itu. Terdahulu, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun terkena tembakan selepas dipercayai disangka pelanduk dalam kejadian di kawasan Kampung Rinangkatan, Sabtu lalu. Kes disiasat mengikut Seksyen 37 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960. – Info X

November 16, 2026

Info X Reporters

Laluan LPB Berungis-Bandar Sierra kurang lampu, bahaya kepada pengguna – Madius

KOTA KINABALU: Jajaran Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Berungis-Bandar Sierra yang masih dalam pembinaan berbahaya kepada pengguna berikutan kurang pencahayaan pada waktu malam. Berikutan itu, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau meminta Kementerian Kerja Raya (KKR) meningkatkan keselamatan di sepanjang jajaran berkenaan. Katanya, beberapa lokasi yang sedang dalam pembinaan tidak mempunyai pencahayaan mencukupi pada waktu malam, sedangkan kerja pembinaan masih dijalankan dan kenderaan terus menggunakan laluan berkenaan. “Keadaan ini boleh membahayakan pengguna jalan raya sekiranya lorong, lencongan dan halangan di hadapan tidak dapat dilihat dengan jelas,” katanya. Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2027 bagi KKR peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, pada Isnin. Sehubungan itu, beliau meminta kementerian mendapatkan rekod lengkap Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai jumlah kemalangan dan kematian yang berlaku di sepanjang jajaran berkenaan sejak pembinaan bermula. “Berapa kemalangan sudah berlaku dan berapa nyawa sudah terkorban sepanjang jajaran ini? Berapa kejadian berlaku pada waktu malam dan adakah kekurangan pencahayaan dikenal pasti sebagai faktor penyumbang,” katanya. Madius turut meminta kontraktor menyediakan pencahayaan sementara yang mencukupi, lampu amaran dan papan tanda yang jelas bagi memastikan keselamatan pengguna sepanjang tempoh pembinaan. “Jabatan Kerja Raya (JKR) juga perlu menjalankan pemeriksaan pada waktu malam supaya keadaan sebenar di tapak pembinaan dapat dinilai. “Pemotongan rumput yang tidak dilaksanakan secara berkala juga menghalang pandangan pengguna, khususnya di kawasan simpang, selekoh dan papan tanda,” katanya. Katanya, jadual pemotongan rumput perlu dipatuhi dan kerja-kerja berkenaan hendaklah diperiksa sebelum pembayaran kepada kontraktor diperakukan. “Jangan tunggu kemalangan seterusnya baru tindakan diambil,” katanya. Madius yang juga ADUN Tamparuli berkata keselamatan pengguna perlu menjadi keutamaan sepanjang pelaksanaan projek berkenaan kerana rakyat menggunakan laluan itu setiap hari untuk pelbagai urusan termasuk menghantar anak ke sekolah dan membawa hasil perusahaan. “Matlamat pembangunan infrastruktur bukan hanya menyiapkan jalan raya semata-mata, tetapi memastikan rakyat dapat bergerak dengan selamat,” kata.-Info X

November 16, 2026

Info X Reporters

Disangka pelanduk, remaja 15 tahun parah ditembak

RANAU: Disangka pelanduk ketika mencari katak di kawasan sungai, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun parah selepas terkena tembakan senjata api buatan sendiri atau ‘bakakuk’ di Kampung Tinanom, di sini, malam Sabtu lalu. Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa mengalami kira-kira 13 kesan kecederaan pada beberapa bahagian badan termasuk leher, dada, bahu, tangan dan lutut kanan. Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki berusia 40 tahun yang juga mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mangsa bagi membantu siasatan. Katanya, suspek yang bekerja sebagai petani ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ranau kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam. “Siasatan awal mendapati suspek keluar memburu seorang diri dengan membawa senjata api buatan sendiri sebelum menyusuri kawasan Sungai Keliu. “Ketika berada di kawasan berkenaan, suspek ternampak cahaya yang disangkanya mata pelanduk lalu melepaskan satu das tembakan. “Bagaimanapun, suspek kemudian terdengar jeritan kesakitan sebelum mendapati individu yang terkena tembakan sebenarnya remaja perempuan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Mursalin berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama seorang ahli keluarganya dan seorang lagi lelaki pergi ke kawasan sungai untuk menangkap ikan serta mencari katak. Katanya, mangsa yang cedera kemudian dibawa pulang ke kampung sebelum mendapatkan rawatan kecemasan di Klinik Kesihatan Paginatan. “Mangsa pada mulanya berada dalam keadaan sedar tetapi mengalami kesukaran bernafas sebelum dihantar ke Hospital Ranau untuk rawatan lanjut. “Pemeriksaan mendapati mangsa mengalami pelbagai kecederaan disyaki akibat tembakan termasuk patah pergelangan tangan kiri dan terpaksa ditidurkan,” katanya. Beliau berkata, mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, petang semalam bagi menjalani pemeriksaan lanjut dan pembedahan. Menurutnya, siasatan turut mendapati suspek dipercayai membuang senjata api berkenaan ke dalam hutan selepas kejadian. “Setakat ini, senjata api terbabit belum ditemukan dan usaha mengesannya sedang dijalankan dengan bantuan pasukan forensik serta Bahagian D10 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah. “Kes disiasat mengikut Seksyen 37 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, manakala permohonan reman terhadap suspek dibuat bagi membantu siasatan lanjut,” katanya. – Info X

November 16, 2026

Info X Reporters

Pampasan tanah LPB Sabah tinggi berbanding Sarawak, PAC perlu siasat – Shafie

KOTA KINABALU: Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah merekodkan jumlah pampasan tanah yang tinggi berbanding di Sarawak meskipun keluasan tanah yang terbabit di kedua-dua negeri hampir sama. Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata perbezaan ketara itu menimbulkan persoalan dan perlu disiasat oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam siasatan mereka terhadap kelemahan pelaksanaan projek lebuh raya berkenaan. “Laporan Audit merekodkan, Sabah: 6,513 pemilik tanah, 2,237.966 hektar diambil. Pampasan terlibat RM1.447 bilion, RM1.219 bilion telah dibayar (jumlah Fasa 1B belum muktamad). “Sarawak: 15,968 pemilik, 2,373.82 hektar diambil. Akaun pampasan tanah RM700 juta, RM681.13 juta telah dibelanjakan. “Keluasan tanah hampir sama. Angka kasarnya menunjukkan pampasan Sabah kira-kira RM545,000 (dibayar) hingga RM647,000 (terlibat) sehektar, berbanding kira-kira RM287,000 sehektar di Sarawak. Itu kira-kira dua kali ganda, beza sebesar ini perlu dijelaskan,” katanya. Berikutan itu, bekas Ketua Menteri itu menggesa PAC mendapatkan penjelasan perbezaan kaedah penilaian dan kadar pampasan Sabah dan Sarawak. Beliau juga meminta pendedahan penerima pampasan terbesar dan siapa pemilik tanah terbabit, termasuk sama ada ada tanah yang dibeli selepas jajaran diumumkan atau ada kaitan dengan pihak berkepentingan, mengikut prosedur PAC. – Info X

November 16, 2026

Info X Reporters

Siasat keseluruhan projek LPB, bukan hanya penamatan PDP – Warisan

KOTA KINABALU: Siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) terhadap isu berkaitan Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah tidak seharusnya tertumpu kepada aspek penamatan rakan penyampai projek (PDP) semata-mata. Ketua Penerangan Parti Warisan, Tham Yun Fook, berkata Warisan berpendirian siasatan pihak PAC tidak boleh mengabaikan persoalan yang lebih besar mengenai keseluruhan perjalanan projek LPB Sabah sejak awal pelaksanaannya. Katanya, ia adalah intipati gesaan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, supaya PAC menjalankan siasatan menyeluruh, merangkumi penubuhan dan pelantikan PDP pada 2016, struktur pemilikan syarikat, proses pemilihan kontraktor, prestasi pelaksanaan, pengurusan kewangan serta penggunaan wang awam. “Sekiranya PAC hanya menumpukan perhatian kepada keputusan penamatan PDP pada 2019, beberapa persoalan asas masih belum terjawab. “Antaranya, apakah asas dan justifikasi pelantikan PDP pada 2016? Bagaimanakah struktur pemilikan syarikat yang terlibat? Apakah proses dan kriteria pemilihan kontraktor? “Adakah prestasi semua pihak yang terlibat dipantau dengan sewajarnya? Berapakah jumlah wang awam yang telah dibelanjakan dan apakah pulangan serta hasil kerja yang diperoleh daripada pembayaran tersebut? “Persoalan-persoalan ini sama pentingnya dengan isu penamatan PDP dan tidak boleh diketepikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin. ADUN Likas itu, berkata Parti Warisan mengambil maklum kenyataan Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, yang menggesa PAC memperluaskan siasatan terhadap kelewatan pelaksanaan projek LPB, khususnya keputusan Kerajaan Persekutuan menamatkan model PDP pada 2019. “Kami mengalu-alukan bahawa keputusan menamatkan model PDP, proses peralihan kepada kaedah konvensional serta kesannya terhadap kontraktor, jadual pelaksanaan dan kos projek perlu disiasat secara telus. “Rakyat Sabah berhak mengetahui asas keputusan tersebut dan implikasinya terhadap projek infrastruktur yang amat penting kepada negeri ini. “Namun begitu, Warisan ingin menegaskan bahawa siasatan PAC tidak seharusnya tertumpu kepada isu penamatan PDP semata-mata sehingga mengabaikan persoalan yang lebih besar tentang keseluruhan perjalanan projek Pan Borneo Sabah sejak awal pelaksanaannya,” katanya. Katanya, Warisan juga berpandangan bahawa isu kelewatan projek tidak boleh dikaitkan secara mudah dengan pertukaran kerajaan pada 2018 atau penamatan model PDP pada 2019 tanpa penelitian terhadap keseluruhan fakta dan rekod pelaksanaan. Jelasnya, setiap keputusan, sama ada dibuat oleh pentadbiran kerajaan Persekutuan terdahulu atau semasa, perlu dinilai berdasarkan bukti dan dipertanggungjawabkan kepada pihak yang membuat keputusan berkenaan. “Kita tidak mahu siasatan ini menjadi medan saling menuding jari antara pihak politik. Sebaliknya, PAC perlu mengenal pasti punca sebenar kelewatan, kelemahan tadbir urus, implikasi kewangan serta pihak yang bertanggungjawab berdasarkan fakta dan dokumen. “Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Bilangan 2 Tahun 2026 juga telah membangkitkan pelbagai kelemahan dalam pelaksanaan projek. Penemuan tersebut tidak seharusnya berakhir sebagai laporan semata-mata tanpa penelitian lanjut dan tindakan susulan. “PAC perlu meneliti semua isu yang dibangkitkan supaya akauntabiliti terhadap penggunaan wang awam dapat ditegakkan. “Pendirian Warisan jelas, kita tidak menolak siasatan terhadap penamatan PDP, tetapi kita menolak sebarang usaha mengehadkan skop siasatan kepada isu tersebut sahaja. “Siasatan mesti merangkumi keseluruhan proses, daripada perancangan dan pelantikan PDP sehinggalah kepada pelaksanaan, pembayaran, penamatan serta kemajuan projek pada hari ini,” katanya. Tham berkata, rakyat Sabah sudah terlalu lama menunggu penyempurnaan Lebuhraya Pan Borneo kerana ia adalah projek untuk rakyat Sabah dan dibiayai menggunakan wang awam, bukannya milik mana-mana parti politik atau kerajaan tertentu. Tegasnya, Warisan mahu PAC menjalankan siasatan secara bebas, menyeluruh dan tidak memilih pihak. “Semua individu, syarikat dan pihak berkaitan yang mempunyai maklumat atau terlibat dalam keputusan pelaksanaan projek hendaklah dipanggil untuk memberikan keterangan. “Jangan hanya siasat mengapa PDP ditamatkan. Siasat juga bagaimana PDP dilantik, bagaimana projek dilaksanakan dan bagaimana wang rakyat dibelanjakan. “Demi rakyat Sabah, setiap keputusan dan setiap sen wang awam mesti dipertanggungjawabkan,” katanya. – Info X