KOTA KINABALU: Kelulusan lanjutan masa (EOT) yang diberikan kepada kontraktor berikutan kegagalan menyiapkan projek pembinaan infrastruktur untuk kepentingan rakyat mengikut jadual asal bukan lesen untuk melanjutkan kelewatan.
Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah, berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu melaksanakan pemantauan berkala dan berkesan bagi memastikan kontraktor memberikan prestasi kerja yang sewajarnya.
Beliau yang merujuk pemberian EOT kepada kontraktor projek Jambatan Sungai Pengarah di Kilometer 3.40, Jalan Ulu Sipitang-Sungai Bubus, Sipitang, berkata projek wajib disiapkan mengikut jadual baharu yang ditetapkan.
Katanya, berdasarkan laporan prestasi projek sehingga 25 Oktober 2026, kemajuan fizikal projek itu mencapai 75 peratus berbanding 79 peratus mengikut jadual, iaitu kelewatan sebanyak empat peratus atau bersamaan 26 hari.
“Tarikh siap asal pada 9 September 2026 telah dilanjutkan menerusi lanjutan masa (EOT) pertama selama 227 hari, menjadikan tarikh siap baharu pada 24 April 2027.
“Bagaimanapun, kelulusan lanjutan masa ini bukanlah lesen untuk melanjutkan kelewatan. Saya berharap pihak JKR melaksanakan pemantauan berkala dan berkesan serta memastikan kontraktor memberikan prestasi kerja yang sewajarnya,” katanya.
Beliau menyuarakan perkara itu dalam perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Kerja Raya (KKT) di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, pada Isnin.
Katanya, jambatan berkenaan amat penting bagi aktiviti ekonomi, pendidikan dan akses kepada kemudahan asas.
Berikutan itu, Matbali menggesa KKR memperketat pemantauan projek jambatan, jalan raya dan penyelenggaraan jalan di kawasan Sipitang bagi memastikan projek yang dilaksanakan siap mengikut jadual dan spesifikasi yang ditetapkan.
Beliau turut membangkitkan keperluan menyediakan peruntukan mencukupi bagi penyelenggaraan jalan raya sedia ada di Sipitang, termasuk Jalan Kampung Bukau menuju Simpang Kampung Lumadan dan Jalan Padas Valley.
Katanya, walaupun beberapa laluan berkenaan terbabit dalam pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB), tanggungjawab penyelenggaraan oleh pihak konsesi tetap perlu dilaksanakan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.
“Jalan berlubang, permukaan mendap dan tidak rata, bahu jalan terhakis serta sistem saliran tersumbat bukan sekadar kecacatan fizikal, tetapi boleh menjadi ancaman kepada keselamatan pengguna.
“Jangan tunggu jalan runtuh baru hendak bertindak dan jangan tunggu kemalangan berlaku baru hendak mencari punca. Penyelenggaraan yang baik ialah langkah pencegahan yang mampu menyelamatkan nyawa, masa dan wang rakyat,” katanya.
Dalam perbahasan sama, beliau turut membawa perhatian kepada keadaan jalan raya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan yang memerlukan kerja pembaikan dan penyelenggaraan secara menyeluruh.
Berdasarkan senarai kerosakan serta cadangan penyelenggaraan yang dikemukakan, katanya, kerja pembaikan melibatkan kira-kira 79.741 kilometer jalan raya merangkumi 33 segmen laluan, termasuk jalan di Kampung Bintuka, Kampung Suasa, Kampung Weston, Garama dan Bangkalalak.
Sehubungan itu, beliau berharap KKR memberikan perhatian serius terhadap senarai kerosakan berkenaan, khususnya dari segi penetapan keutamaan pelaksanaan, penyediaan peruntukan dan jadual penyelenggaraan yang jelas.
Matbali turut menggesa KKR menaik taraf Jalan Lintas-Luagan, Sipitang, sepanjang 1.55 kilometer daripada jalan batu kelikir kepada jalan berturap bagi meningkatkan keselesaan dan keselamatan penduduk setempat.
Beliau berkata laluan yang dibina sejak Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) itu menjadi penghubung penting bagi penduduk Kampung Luagan dan Kampung Batu 7 Pantai ke Pekan Sipitang. – Info X