Pampasan tanah LPB Sabah tinggi berbanding Sarawak, PAC perlu siasat – Shafie

November 16, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah merekodkan jumlah pampasan tanah yang tinggi berbanding di Sarawak meskipun keluasan tanah yang terbabit di kedua-dua negeri hampir sama.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata perbezaan ketara itu menimbulkan persoalan dan perlu disiasat oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam siasatan mereka terhadap kelemahan pelaksanaan projek lebuh raya berkenaan.

“Laporan Audit merekodkan, Sabah: 6,513 pemilik tanah, 2,237.966 hektar diambil. Pampasan terlibat RM1.447 bilion, RM1.219 bilion telah dibayar (jumlah Fasa 1B belum muktamad).

“Sarawak: 15,968 pemilik, 2,373.82 hektar diambil. Akaun pampasan tanah RM700 juta, RM681.13 juta telah dibelanjakan.

“Keluasan tanah hampir sama. Angka kasarnya menunjukkan pampasan Sabah kira-kira RM545,000 (dibayar) hingga RM647,000 (terlibat) sehektar, berbanding kira-kira RM287,000 sehektar di Sarawak. Itu kira-kira dua kali ganda, beza sebesar ini perlu dijelaskan,” katanya.

Berikutan itu, bekas Ketua Menteri itu menggesa PAC mendapatkan penjelasan perbezaan kaedah penilaian dan kadar pampasan Sabah dan Sarawak.

Beliau juga meminta pendedahan penerima pampasan terbesar dan siapa pemilik tanah terbabit, termasuk sama ada ada tanah yang dibeli selepas jajaran diumumkan atau ada kaitan dengan pihak berkepentingan, mengikut prosedur PAC. – Info X