May 4, 2026
Info X Reporters
Usul ADUN Kapayan bersifat politik, tidak mahu Warisan ‘tinggal kapal’ – Armizan
KOTA KINABALU: Usul persendirian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Chin Tek Ming mengenai tuntutan 40 peratus Sabah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu lalu lebih bermotif politik. Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, menyifatkan usul itu yang ditolak Speaker DUN mahu memposisikan Warisan supaya tidak ‘tinggal kapal’ dalam perjuangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Tegasnya, kerajaan negeri pada asasnya sentiasa komited dan bergerak secara agresif menuntut hak Sabah, termasuk hasil bersih 40 peratus yang dikutip kerajaan Persekutuan dari negeri ini. “Jelas usul ADUN Kapayan lebih kepada bermotif politik dengan; Pertama, mahu memposisikan Warisan supaya tidak ‘tinggal kapal’ dalam pencapaian perjuangan MA63. Maka dicipta naratif kalau DUN atau ADUN tolak, maka perjuangan 40 peratus ditolak dan Warisan adalah pejuang tegar. “Kerajaan Negeri sedang bergerak dengan agresif menuntut hak, tidak masuk akal bagi ADUN-ADUN Kerajaan diminta menyokong usul peribadi ADUN Kapayan yang perjuangan mereka sekadar tegar mengelirukan rakyat,” katanya. Armizan yang juga Timbalan Setiausaha Agung GRS, berkata tindakan ADUN Kapayan itu adalah cubaan untuk memadamkan kesilapan besar yang dilakukan Kerajaan Negeri Warisan pada 2019. “Apa dia kesilapan besar itu? Pertama, Kerajaan Warisan di DUN pada Ogos 2019 menyebut tidak wajar membawa perjuangan menuntut MA63 termasuk 40 peratus terhadap Kerajaan Persekutuan ke mahkamah dan hari ini seolah-olah merekalah lebih konsisten berbanding SLS dan Kerajaan Negeri. “Kedua, Kerajaan Warisan atas kelulusan Kabinet Negeri diketuainya telah mengeluarkan surat rasmi kepada Kementerian Kewangan Malaysia pada Oktober 2019 yang telah bersetuju dengan semakan kadar Pemberian Khas (Special Grant) di bawah Perkara 112 (C) Perlembagaan Persekutuan hanya pada jumlah RM53.4 juta. Satu tindakan amat cuai membelakangkan kepentingan negeri,” katanya. Tegasnya, penolakan usul persendirian di DUN bukan bermakna DUN dan Kerajaan Negeri menolak perjuangan 40 peratus. Katanya, persepsi itu perlu dibetulkan dan menegaskan kerajaan Negeri konsisten dalam menuntut hak 40 peratus sama ada di dalam atau di luar DUN, termasuk di mahkamah. “Boleh rujuk afidavit balasan dan penghujahan Pejabat Peguam Besar Negeri Sabah yang mewakili Kerajaan Negeri, dalam kes antara Sabah Law Society (SLS) dan Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Negeri tegas, hak 40 peratus adalah hak berperlembagaan yang wajib ditunaikan. “Malah dalam Sidang DUN yang terkini juga pendirian dan tindakan Kerajaan Negeri dijelaskan, termasuk oleh YB Menteri Kewangan Sabah yang menjelaskan perkembangan rundingan, antara lain, kadar pertambahan ‘special grant’ itu berdasarkan kepada data pungutan cukai. “Kerajaan Negeri mensasarkan pertambahan sekurang-kurangnya dari RM600 juta (kadar semasa) kepada RM3 bilion setahun, bagi peringkat awal ini. Bukan tahun depan, tapi Sabah mahu dilaksana segera,” katanya. Armizan berkata, jika kadar semakan pemberian khas belum dilaksana Kerajaan Persekutuan sehingga tiba tempoh Sidang DUN yang akan datang, beliau akan berbincang dengan ADUN-ADUN Penyokong Kerajaan yang diketuai Datuk Masiung Banah (ADUN Kuamat) untuk membawa usul ke DUN berkaitan hak 40 peratus. “Selain menegaskan semula pendirian dan tuntutan, penting untuk direkodkan secara rasmi dalam DUN akan kedua-dua tindakan Warisan pada tahun 2019 tersebut. Ini termasuk membentangkan secara rasmi minit Mesyuarat Kabinet Negeri Warisan dan surat-surat antara Kerajaan Warisan dan Kerajaan Persekutuan pada tahun 2019 yang membawa kepada persetujuan pada kadar hanya RM53.4 juta tersebut (dokumen-dokumen ini tersimpan rapi). “Biar kekhilafan tindakan tersebut menjadi rekod yang terpahat dalam hansard DUN untuk tatapan rakyat dan generasi akan datang,” katanya. Armizan berkata, beliau yakin Kerajaan Persekutuan akan mengambil perhatian serius terhadap permintaan Kerajaan Negeri Sabah. – Info X
May 4, 2026
Info X Reporters
Isytihar barangan minuman, rupanya syabu 305kg bernilai RM15.28 juta
KOTA KINABALU: Helah sindiket mengikrarkan dadah sebagai barangan minuman ‘drink stuff’ terbongkar apabila Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah menumpaskan cubaan pengedaran syabu bernilai lebih RM15 juta melalui kontena laut di Pelabuhan Sepanggar. Rampasan pada 22 April lalu itu membabitkan dadah jenis methamphetamine seberat 305.722 kilogram dengan nilai pasaran dianggarkan RM15,286,100. Pengarah JKDM Sabah, Dr Ahmad Taufik Sulaiman, berkata kejayaan itu hasil pemeriksaan ke atas sebuah kontena berukuran kira-kira 12 meter (40 kaki) yang tiba dari Pelabuhan Klang. “Pemeriksaan dijalankan kira-kira jam 11.30 pagi pada 22 April lalu oleh pasukan Cawangan Narkotik, Bahagian Penguatkuasaan Negeri Sabah bersama Cawangan Import Eksport, Pelabuhan Sepanggar di kawasan pemeriksaan Kastam. “Hasil pemeriksaan menemui 15 kotak yang disyaki mengandungi dadah berbahaya jenis methamphetamine dengan berat kasar 305.722 kilogram,” katanya dalam sidang media, hari ini. Beliau berkata, kontena berkenaan diikrarkan sebagai ‘drink stuff’ dalam dokumen penghantaran (Bill of Lading), namun pemeriksaan lanjut mendapati ia sebenarnya mengandungi dadah. Menurutnya, taktik pengisytiharan sebagai barangan minuman dipercayai digunakan sindiket bagi mengelirukan pihak berkuasa dan mengelak daripada dikesan dalam pemeriksaan awal. “Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan,” katanya. Tambahnya, JKDM Sabah akan terus memperketat kawalan di pintu masuk negara khususnya di pelabuhan bagi mengekang aktiviti penyeludupan yang semakin licik. Sehubungan itu, beliau berkata orang ramai digesa menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam berhampiran, dengan jaminan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan. – Info X
May 4, 2026
Info X Reporters
Konflik Asia Barat: Industri pelancongan Sabah kekal berdaya tahan – KM
KOTA KINABALU: Sektor pelancongan negeri kekal berdaya bertahan meskipun berdepan cabaran berikutan konflik semasa yang berlaku di Asia Barat. Menyuarakan keyakinan itu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, bagaimanapun mengakui banyak perniagaan perlu mengambil tindakan berani dan tegas untuk menangani ketidakpastian akibat konflik di wilayah berkenaan. “Krisis ini akan mengubah secara asas cara kita beroperasi. Setiap sektor akan terkesan, yang bermakna kita mesti menyesuaikan diri dan berinovasi dalam amalan perniagaan kita. “Namun, masa depan tetap cerah. Walaupun terdapat cabaran ini, saya berasa gembira melihat keyakinan pelabur yang kukuh terhadap sektor pelancongan Sabah,” katanya. Beliau berkata demikian pada majlis perasmian hotel Sheraton Kota Kinabalu, di sini, pada Isnin. Hajiji berkata, sebagai maklum balas terhadap cabaran industri yang muncul akibt konflik di Asia Barat, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri secara proaktif menyusun semula strategi bagi memastikan Sabah kekal sebagai destinasi utama, berdaya tahan dan menarik di peringkat global kepada pelancong dari seluruh dunia. Bagi memastikan pengalaman pelawat yang lancar, Ketua Menteri berkata Kerajaan Negeri sedang mengukuhkan keupayaan Sabah untuk bersaing melalui pelbagai inisiatif strategik. Katanya, inisiatif tersebut termasuk menjalin kerjasama dengan syarikat penerbangan global bagi meningkatkan jaringan perhubungan, membangunkan produk pelancongan premium, meningkatkan standard perkhidmatan ke aras antarabangsa dan menganjurkan acara bernilai tinggi. “Melalui usaha ini, kita akan meletakkan Sabah sebagai destinasi percutian utama dan juga hab perniagaan yang dinamik,” katanya. Hajiji berkata, selain Sheraton Kota Kinabalu, beberapa lagi hotel lain kini sedang dalam pembinaan termasuk Avani dan Fairfield by Marriott; Grandis di The Peninsula, Kota Kinabalu; Club Med di Kuala Penyu; InterContinental di Papar dan Wyndham di Semporna, antara lain. Pembangunan hotel terbabit, katanya bakal menambah sebanyak 2,740 bilik kepada jumlah inventori sedia ada di Sabah. Katanya, ia membuktikan daya tahan dan keyakinan rakan kongsi industri pelancongan Sabah walaupun dalam keadaan tidak menentu. Hajiji berkata impak ekonomi daripada pembangunan hotel-hotel terbabit tidak boleh dipandang ringan. “Kita menjangkakan ratusan peluang pekerjaan, bukan saja dalam hotel itu sendiri, tetapi juga merentasi rantaian bekalan, perkhidmatan dan perniagaan berkaitan. “Pembekal tempatan, restoran dan tarikan pelancongan akan mendapat manfaat yang besar. “Selain manfaat ekonomi, pembangunan hotel baharu ini akan meningkatkan profil Sabah sebagai destinasi utama. “Ia akan menarik persidangan, acara korporat serta pelancong yang ingin menikmati yang terbaik kita tawarkan, sekali gus mengukuhkan ekonomi kita melalui hasil pelancongan yang mampan,” katanya. Beliau berkata, pembukaan Sheraton Kota Kinabalu yang menelan kos lebih daripada RM300 juta menandakan satu pencapaian penting ketika Sabah ingin memanfaatkan peluang sempena Tahun Melawat Malaysia 2026. “Momentum ini akan diteruskan hingga ke penghujung tahun 2027 dan menjadi pemangkin kepada persiapan berterusan Sabah bagi Tahun Melawat Sabah 2027,”katanya. Beliau yakin Sheraton Kota Kinabalu akan memainkan peranannya dalam menyerlahkan budaya, warisan dan layanan mesra Sabah. “Ia juga menyampaikan mesej yang jelas bahawa Sabah terbuka untuk perniagaan serta bersedia bersaing di pentas global,” katanya. – Info X
May 3, 2026
Info X Reporters
Lelaki ditahan bersama 480 liter petrol di perairan Semporna
SEMPORNA: Seorang lelaki tempatan ditahan selepas disyaki memiliki dan menyimpan petrol tanpa kebenaran dalam operasi di perairan Kampung Simunul, di sini, semalam. Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah, lelaki berusia 40 tahun itu ditahan kira-kira jam 10 malam oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 22 Kunak menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu). Katanya, suspek gagal mengemukakan sebarang kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan untuk memiliki bahan kawalan berkenaan. “Hasil pemeriksaan lanjut menemui sebanyak 24 jeriken berisi petrol dianggarkan 480 liter. “Turut dirampas sebuah bot kayu, enjin sangkut Yamaha Enduro 40 kuasa kuda serta beberapa barangan lain yang dipercayai digunakan bagi tujuan pengangkutan bahan tersebut,” menurut kenyataannya hari ini. Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM4,705.60. “Kes berkenaan diserahkan kepada KPDN Cawangan Semporna dan satu kertas siasatan dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya Dalam pada itu, KPDN memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat agar sentiasa mematuhi perundangan yang ditetapkan. “Tindakan tegas boleh dikenakan termasuk denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun bagi individu, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM2 juta jika sabit kesalahan. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan boleh menyalurkan aduan melalui talian 1-800-886-800, WhatsApp 019-848 8000, e-mel atau aplikasi Ez ADU KPDN,” katanya. – Info X
May 3, 2026
Info X Reporters
KREATIF Sabah sah berdaftar, satukan persatuan seni pacu ekonomi kreatif
KOTA KINABALU: Industri kreatif Sabah melakar sejarah baharu apabila Pertubuhan Gabungan Persatuan Kreatif Sabah (KREATIF Sabah) kini sah berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), sekali gus menjadi platform penyatuan utama penggiat seni dan kreatif di negeri ini. Penubuhan gabungan itu merupakan hasil inisiatif kolektif sembilan persatuan seni dan kreatif tempatan yang komited memperkasakan ekosistem industri berkenaan secara lebih tersusun dan berdaya saing. Antara persatuan yang terlibat ialah Persatuan Filem dan Visual Sabah (SAFVA), Persatuan Artis Tempatan Sabah (PERTISA), Persatuan Komposer Penulis Lirik Artis Nasyid Sabah (KOPAN), Kelab Orkestra Kinabalu Sabah (KOKiS), Persatuan Penggerak Kreatif dan Inovasi Sabah (SCREIMO) serta beberapa lagi organisasi seni di Sabah. Pengerusi Penaja KREATIF Sabah, Chester Pang, berkata penubuhan gabungan itu menjadi simbol kejayaan penggiat seni selepas lebih sedekad usaha berterusan memperjuangkan platform rasmi bagi industri kreatif di Sabah. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, atas inisiatif mewujudkan portfolio seni kreatif di bawah Kementerian Kemajuan Sukan, Pembangunan Belia dan Ekonomi Kreatif (MYSPACE), yang disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuh sektor berkenaan. “KREATIF Sabah bersedia menjadi rakan strategik kepada MYSPACE bagi memacu agenda ekonomi kreatif yang dilihat kritikal kepada pertumbuhan negeri,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, penubuhan KREATIF Sabah juga dilihat sebagai satu suara rasmi komuniti kreatif tempatan, khususnya dalam usaha merangka dasar kesenian dan kreatif yang lebih jelas, memandangkan Sabah masih belum mempunyai polisi menyeluruh dalam bidang itu berbanding negeri lain. Katanya, gabungan itu akan berperanan sebagai penyelaras dasar dengan membantu kerajaan negeri merangka serta melaksanakan dasar ekonomi kreatif yang memenuhi keperluan industri. Dalam masa sama, KREATIF Sabah akan memperkukuh kolaborasi strategik bersama pelbagai pemegang taruh termasuk persatuan seni budaya, institusi kreatif serta agensi kerajaan negeri dan Persekutuan. Langkah itu turut mengambil kira kedudukan strategik Sabah dari segi geografi, logistik dan hubungan antarabangsa, selain potensi besar dalam menarik pelancong melalui penjenamaan Sabah dan Borneo sebagai destinasi kreatif dan budaya. Sehubungan itu, satu memorandum bersama akan dirangka dan dikemukakan kepada kerajaan negeri serta agensi Persekutuan berkaitan sebagai rujukan rasmi suara industri kreatif tempatan. KREATIF Sabah juga menetapkan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pertama pada 18 Julai ini, selain membuka keahlian kepada semua persatuan kreatif di seluruh Sabah bagi memperkukuh lagi kesatuan dan suara industri. Penubuhan gabungan itu diharap menjadi pemangkin kepada pembangunan industri kreatif Sabah secara lebih menyeluruh, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri. – Info X
May 3, 2026
Info X Reporters
Latihan kebakaran hospital diuji, ERT HUMS ‘turun padang’
KOTA KINABALU: Kecekapan bertindak dalam situasi kecemasan diuji apabila pasukan Emergency Response Team (ERT) Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) menjalani latihan pemantapan serta simulasi kebakaran selama dua hari, baru-baru ini. Program yang berlangsung pada 28 hingga 29 April itu dianjurkan Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) HUMS dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu. Perasmian latihan disempurnakan Pengarah HUMS, Malehah Mohd Noh yang menekankan kepentingan kesiapsiagaan warga hospital dalam menghadapi sebarang insiden kecemasan. Sepanjang latihan, peserta didedahkan dengan teori serta latihan amali dikendalikan pasukan bomba diketuai Penguasa Bomba Kimiremmy Zikol yang turut berkongsi pengalaman sebenar operasi di lapangan. Peserta terdiri daripada ahli ERT melibatkan pelbagai unit termasuk Pusat Perubatan Primer (PCC), Transitional Care Unit (TCU), Creche/Staff Recreation serta kakitangan syarikat konsesi. Latihan itu bertujuan memperkukuh pemahaman serta meningkatkan kemahiran anggota ERT sebagai barisan hadapan (first responder) dalam mengendalikan insiden seperti kebakaran di persekitaran hospital. Selesai latihan, sesi penilaian selepas tindakan (AAR) bersama pihak bomba mendapati tahap kesiapsiagaan peserta berada pada tahap memuaskan, namun penambahbaikan akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa. Pengurusan HUMS turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat yang menjayakan latihan berkenaan dalam usaha memastikan keselamatan warga hospital sentiasa terpelihara. – Info X
May 3, 2026
Info X Reporters
Hak Sabah perlu diperjuang bersama tanpa mengira parti politik
TENOM: Tuntutan hak Sabah termasuk pengembalian 40 peratus hasil negeri perlu diperjuangkan secara bersama oleh semua pihak tanpa mengira fahaman politik, kata Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick. Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, UPKO menyokong pelbagai pendekatan dan platform dalam usaha mengangkat isu berkenaan. Katanya, usaha itu boleh dilaksanakan melalui saluran rasmi seperti Kabinet, Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri (DUN), selain gerakan rakyat termasuk penganjuran bengkel, forum serta perhimpunan kesedaran. “Saya ingin menegaskan bahawa hak Sabah adalah hak seluruh rakyat negeri ini, bukan milik segelintir pihak. Oleh itu, semua pemimpin dan rakyat Sabah perlu bersatu dalam memperjuangkannya,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan sambutan Pesta Kaamatan UPKO Tenom di Padang Bandaran Tenom, di sini, pada Ahad. Ewon berkata, UPKO kekal konsisten memperjuangkan kepentingan Sabah sejak penubuhannya yang berlandaskan 17 tujuan dan matlamat dalam perlembagaan parti. Katanya, antara matlamat utama itu adalah menuntut pelaksanaan hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). “Sehubungan itu, kita merakamkan penghargaan kepada pimpinan Kerajaan Sabah di bawah Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor serta Kerajaan Persekutuan atas usaha mengembalikan hak Sabah melalui pelaksanaan 13 perkara setakat ini,” katanya. Beliau turut memaklumkan bahawa satu Rang Undang-Undang berkaitan pengurusan alam sekitar dan sisa pepejal dijangka dibentangkan pada sidang DUN tahun ini. Mengulas lanjut, Ewon berkata usaha menuntut 40 peratus hasil negeri telah dimulakan lebih awal, termasuk cadangan yang dikemukakan kepada kerajaan. “Pada Januari 2023, saya telah menyuarakan bahawa tuntutan ini perlu dimulakan sekurang-kurangnya melalui hasil yang jelas seperti kutipan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Jabatan Kastam. “Cadangan ini merupakan antara syor UPKO yang telah saya kemukakan kepada Perdana Menteri dan Ketua Menteri ketika itu,” katanya. Beliau berkata, perkara itu kini telah dimaklumkan di peringkat DUN sebagai pendirian rasmi Kerajaan Sabah dan turut dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MA63 di Parlimen pada Mac lalu. “Walaupun masih terdapat perkara yang dipertikaikan termasuk keengganan Kerajaan Persekutuan berkongsi data hasil petroleum atas alasan perundangan tertentu, kita tidak bersetuju dan akan terus memperjuangkannya melalui saluran kerajaan dengan kerajaan,” katanya. Sementara itu, mengulas sambutan Pesta Kaamatan, beliau berkata penganjuran program berkenaan merupakan tradisi UPKO dalam memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum. Katanya, selain Kaamatan, parti itu turut menganjurkan sambutan perayaan lain seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Krismas sebagai usaha memperkukuh keharmonian rakyat. “Saya gembira melihat kehadiran ramai rakyat Sabah khususnya dari daerah Keningau dan kawasan sekitarnya yang datang bersama-sama meraikan sambutan ini,” katanya. Beliau berharap penganjuran program seumpama itu akan terus diperkasakan bagi mengukuhkan semangat kerjasama dalam kalangan rakyat demi pembangunan Sabah. – Info X
May 3, 2026
Info X Reporters
KDCA Semenanjung digesa perkasa promosi pelancongan domestik Sabah
MELAKA: Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) di Semenanjung Malaysia digesa memainkan peranan lebih aktif dalam menyokong usaha agresif Sabah mempromosikan pelancongan domestik, khususnya dalam suasana ketidaktentuan global termasuk konflik di Timur Tengah. Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Joniston Bangkuai, berkata pendekatan itu penting dengan memanfaatkan keunikan budaya dan tradisi Sabah sebagai tarikan utama negeri berkenaan. Beliau berkata, dalam situasi semasa, pengukuhan pelancongan domestik perlu diberi keutamaan dengan mengetengahkan kekuatan Sabah yang berasaskan kepelbagaian budaya, tradisi serta warisan kulinari. “Dalam situasi ini, kita perlu memperkukuh pelancongan domestik dengan mengetengahkan kekuatan Sabah yang berasaskan kepelbagaian budaya, tradisi serta warisan kulinari kita,” katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Kaamatan anjuran KDCA Melaka, di sini, pada Sabtu. Yang turut hadir, Ahli Jawatankuasa Kerja KDCA Pusat, Stanis Buandi; Pengerusi Majlis Wanita KDCA Pusat, Datuk Joanna Kitingan; Pengerusi KDCA Melaka, Scholistica Chin; serta Pengerusi KDCA Johor, Hendrrick Utoi. Sambutan Kaamatan berkenaan bukan sahaja menghimpunkan masyarakat Sabah di Melaka, malah turut disertai masyarakat tempatan melalui pelbagai acara kebudayaan yang diketengahkan. Joniston berkata, Sabah mempunyai kelebihan tersendiri yang mampu menarik pelancong dari seluruh negara, termasuk kepelbagaian etnik, keindahan alam semula jadi serta pengalaman budaya yang autentik. Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Presiden KDCA, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, telah merakamkan klip video khas bagi mempromosikan Pesta Kaamatan ke peringkat antarabangsa, selari dengan usaha memperkenalkan perayaan itu sebagai produk pelancongan budaya yang unik. Katanya, STB akan terus bekerjasama rapat dengan pelbagai pihak termasuk komuniti budaya bagi memastikan sektor pelancongan Sabah kekal berdaya tahan dan kompetitif. Sehubungan itu, beliau menyeru tujuh cawangan KDCA di Semenanjung iaitu Putrajaya, Lembah Klang, Johor, Perak, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan supaya berperanan sebagai duta kecil dalam memperluaskan promosi Sabah. “Jaringan komuniti ini boleh membantu memperluaskan capaian promosi dan menarik lebih ramai pelancong domestik ke Sabah,” katanya. Beliau turut menekankan bahawa tema Kaamatan tahun ini, “Kaamatan Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian”, selari dengan usaha merapatkan hubungan antara komuniti pelbagai kaum melalui platform budaya. Katanya, KDCA di Semenanjung digalakkan untuk terus memperluaskan jemputan kepada masyarakat setempat daripada pelbagai latar belakang bagi memeriahkan sambutan Kaamatan. “Pendekatan ini bukan sahaja memperkenalkan budaya Sabah dengan lebih meluas, tetapi juga memperkukuhkan semangat perpaduan dan keharmonian, selaras dengan tema yang diangkat,” katanya. Beliau turut menyeru masyarakat Sabah di perantauan agar terus menyokong serta menghadiri acara kebudayaan anjuran komuniti lain sebagai tanda hormat, keterbukaan dan semangat kebersamaan. – Info X