Search

Lelaki ditahan bersama 480 liter petrol di perairan Semporna

May 3, 2026

Info X Reporters

SEMPORNA: Seorang lelaki tempatan ditahan selepas disyaki memiliki dan menyimpan petrol tanpa kebenaran dalam operasi di perairan Kampung Simunul, di sini, semalam.

Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah, lelaki berusia 40 tahun itu ditahan kira-kira jam 10 malam oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 22 Kunak menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu).

Katanya, suspek gagal mengemukakan sebarang kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan untuk memiliki bahan kawalan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemui sebanyak 24 jeriken berisi petrol dianggarkan 480 liter.

“Turut dirampas sebuah bot kayu, enjin sangkut Yamaha Enduro 40 kuasa kuda serta beberapa barangan lain yang dipercayai digunakan bagi tujuan pengangkutan bahan tersebut,” menurut kenyataannya hari ini.

Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM4,705.60.

“Kes berkenaan diserahkan kepada KPDN Cawangan Semporna dan satu kertas siasatan dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya

Dalam pada itu, KPDN memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat agar sentiasa mematuhi perundangan yang ditetapkan.

“Tindakan tegas boleh dikenakan termasuk denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun bagi individu, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM2 juta jika sabit kesalahan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan boleh menyalurkan aduan melalui talian 1-800-886-800, WhatsApp 019-848 8000, e-mel atau aplikasi Ez ADU KPDN,” katanya. – Info X