Search

Konflik Asia Barat: Industri pelancongan Sabah kekal berdaya tahan – KM

May 4, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sektor pelancongan negeri kekal berdaya bertahan meskipun berdepan cabaran berikutan konflik semasa yang berlaku di Asia Barat.

Menyuarakan keyakinan itu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, bagaimanapun mengakui banyak perniagaan perlu mengambil tindakan berani dan tegas untuk menangani ketidakpastian akibat konflik di wilayah berkenaan.

“Krisis ini akan mengubah secara asas cara kita beroperasi. Setiap sektor akan terkesan, yang bermakna kita mesti menyesuaikan diri dan berinovasi dalam amalan perniagaan kita.

“Namun, masa depan tetap cerah. Walaupun terdapat cabaran ini, saya berasa gembira melihat keyakinan pelabur yang kukuh terhadap sektor pelancongan Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian hotel Sheraton Kota Kinabalu, di sini, pada Isnin.

Hajiji berkata, sebagai maklum balas terhadap cabaran industri yang muncul akibt konflik di Asia Barat, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri secara proaktif menyusun semula strategi bagi memastikan Sabah kekal sebagai destinasi utama, berdaya tahan dan menarik di peringkat global kepada pelancong dari seluruh dunia.

Bagi memastikan pengalaman pelawat yang lancar, Ketua Menteri berkata Kerajaan Negeri sedang mengukuhkan keupayaan Sabah untuk bersaing melalui pelbagai inisiatif strategik.

Katanya, inisiatif tersebut termasuk menjalin kerjasama dengan syarikat penerbangan global bagi meningkatkan jaringan perhubungan, membangunkan produk pelancongan premium, meningkatkan standard perkhidmatan ke aras antarabangsa dan menganjurkan acara bernilai tinggi.

“Melalui usaha ini, kita akan meletakkan Sabah sebagai destinasi percutian utama dan juga hab perniagaan yang dinamik,” katanya.

Hajiji berkata, selain Sheraton Kota Kinabalu, beberapa lagi hotel lain kini sedang dalam pembinaan termasuk Avani dan Fairfield by Marriott; Grandis di The Peninsula, Kota Kinabalu; Club Med di Kuala Penyu; InterContinental di Papar dan Wyndham di Semporna, antara lain.

Pembangunan hotel terbabit, katanya bakal menambah sebanyak 2,740 bilik kepada jumlah inventori sedia ada di Sabah.

Katanya, ia membuktikan daya tahan dan keyakinan rakan kongsi industri pelancongan Sabah walaupun dalam keadaan tidak menentu.

Hajiji berkata impak ekonomi daripada pembangunan hotel-hotel terbabit tidak boleh dipandang ringan.

“Kita menjangkakan ratusan peluang pekerjaan, bukan saja dalam hotel itu sendiri, tetapi juga merentasi rantaian bekalan, perkhidmatan dan perniagaan berkaitan.

“Pembekal tempatan, restoran dan tarikan pelancongan akan mendapat manfaat yang besar.

“Selain manfaat ekonomi, pembangunan hotel baharu ini akan meningkatkan profil Sabah sebagai destinasi utama.

“Ia akan menarik persidangan, acara korporat serta pelancong yang ingin menikmati yang terbaik kita tawarkan, sekali gus mengukuhkan ekonomi kita melalui hasil pelancongan yang mampan,” katanya.

Beliau berkata, pembukaan Sheraton Kota Kinabalu yang menelan kos lebih daripada RM300 juta menandakan satu pencapaian penting ketika Sabah ingin memanfaatkan peluang sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Momentum ini akan diteruskan hingga ke penghujung tahun 2027 dan menjadi pemangkin kepada persiapan berterusan Sabah bagi Tahun Melawat Sabah 2027,”
katanya.

Beliau yakin Sheraton Kota Kinabalu akan memainkan peranannya dalam menyerlahkan budaya, warisan dan layanan mesra Sabah.

“Ia juga menyampaikan mesej yang jelas bahawa Sabah terbuka untuk perniagaan serta bersedia bersaing di pentas global,” katanya. – Info X