KOTA KINABALU: Helah sindiket mengikrarkan dadah sebagai barangan minuman ‘drink stuff’ terbongkar apabila Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah menumpaskan cubaan pengedaran syabu bernilai lebih RM15 juta melalui kontena laut di Pelabuhan Sepanggar.
Rampasan pada 22 April lalu itu membabitkan dadah jenis methamphetamine seberat 305.722 kilogram dengan nilai pasaran dianggarkan RM15,286,100.
Pengarah JKDM Sabah, Dr Ahmad Taufik Sulaiman, berkata kejayaan itu hasil pemeriksaan ke atas sebuah kontena berukuran kira-kira 12 meter (40 kaki) yang tiba dari Pelabuhan Klang.

“Pemeriksaan dijalankan kira-kira jam 11.30 pagi pada 22 April lalu oleh pasukan Cawangan Narkotik, Bahagian Penguatkuasaan Negeri Sabah bersama Cawangan Import Eksport, Pelabuhan Sepanggar di kawasan pemeriksaan Kastam.
“Hasil pemeriksaan menemui 15 kotak yang disyaki mengandungi dadah berbahaya jenis methamphetamine dengan berat kasar 305.722 kilogram,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Beliau berkata, kontena berkenaan diikrarkan sebagai ‘drink stuff’ dalam dokumen penghantaran (Bill of Lading), namun pemeriksaan lanjut mendapati ia sebenarnya mengandungi dadah.

Menurutnya, taktik pengisytiharan sebagai barangan minuman dipercayai digunakan sindiket bagi mengelirukan pihak berkuasa dan mengelak daripada dikesan dalam pemeriksaan awal.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan,” katanya.
Tambahnya, JKDM Sabah akan terus memperketat kawalan di pintu masuk negara khususnya di pelabuhan bagi mengekang aktiviti penyeludupan yang semakin licik.
Sehubungan itu, beliau berkata orang ramai digesa menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam berhampiran, dengan jaminan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan. – Info X