TENOM: Tuntutan hak Sabah termasuk pengembalian 40 peratus hasil negeri perlu diperjuangkan secara bersama oleh semua pihak tanpa mengira fahaman politik, kata Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, UPKO menyokong pelbagai pendekatan dan platform dalam usaha mengangkat isu berkenaan.
Katanya, usaha itu boleh dilaksanakan melalui saluran rasmi seperti Kabinet, Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri (DUN), selain gerakan rakyat termasuk penganjuran bengkel, forum serta perhimpunan kesedaran.
“Saya ingin menegaskan bahawa hak Sabah adalah hak seluruh rakyat negeri ini, bukan milik segelintir pihak. Oleh itu, semua pemimpin dan rakyat Sabah perlu bersatu dalam memperjuangkannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan sambutan Pesta Kaamatan UPKO Tenom di Padang Bandaran Tenom, di sini, pada Ahad.
Ewon berkata, UPKO kekal konsisten memperjuangkan kepentingan Sabah sejak penubuhannya yang berlandaskan 17 tujuan dan matlamat dalam perlembagaan parti.
Katanya, antara matlamat utama itu adalah menuntut pelaksanaan hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Sehubungan itu, kita merakamkan penghargaan kepada pimpinan Kerajaan Sabah di bawah Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor serta Kerajaan Persekutuan atas usaha mengembalikan hak Sabah melalui pelaksanaan 13 perkara setakat ini,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa satu Rang Undang-Undang berkaitan pengurusan alam sekitar dan sisa pepejal dijangka dibentangkan pada sidang DUN tahun ini.
Mengulas lanjut, Ewon berkata usaha menuntut 40 peratus hasil negeri telah dimulakan lebih awal, termasuk cadangan yang dikemukakan kepada kerajaan.
“Pada Januari 2023, saya telah menyuarakan bahawa tuntutan ini perlu dimulakan sekurang-kurangnya melalui hasil yang jelas seperti kutipan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Jabatan Kastam.
“Cadangan ini merupakan antara syor UPKO yang telah saya kemukakan kepada Perdana Menteri dan Ketua Menteri ketika itu,” katanya.
Beliau berkata, perkara itu kini telah dimaklumkan di peringkat DUN sebagai pendirian rasmi Kerajaan Sabah dan turut dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MA63 di Parlimen pada Mac lalu.
“Walaupun masih terdapat perkara yang dipertikaikan termasuk keengganan Kerajaan Persekutuan berkongsi data hasil petroleum atas alasan perundangan tertentu, kita tidak bersetuju dan akan terus memperjuangkannya melalui saluran kerajaan dengan kerajaan,” katanya.
Sementara itu, mengulas sambutan Pesta Kaamatan, beliau berkata penganjuran program berkenaan merupakan tradisi UPKO dalam memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.
Katanya, selain Kaamatan, parti itu turut menganjurkan sambutan perayaan lain seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Krismas sebagai usaha memperkukuh keharmonian rakyat.
“Saya gembira melihat kehadiran ramai rakyat Sabah khususnya dari daerah Keningau dan kawasan sekitarnya yang datang bersama-sama meraikan sambutan ini,” katanya.
Beliau berharap penganjuran program seumpama itu akan terus diperkasakan bagi mengukuhkan semangat kerjasama dalam kalangan rakyat demi pembangunan Sabah. – Info X