November 14, 2026
Info X Reporters
Lelaki dihanyutkan arus sungai disahkan meninggal dunia
TUARAN: Lelaki yang dihanyutkan arus sungai ketika melakukan aktiviti mandi-manda di Kiulu, petang tadi, disahkan meninggal dunia. Mangsa berusia 28 tahun ditemukan orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian. Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.15 petang. Menurutnya, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 25 kilometer dari balai. “Ketika tiba di lokasi pada jam 4.46 petang, pasukan bomba mendapati mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas ditemukan orang awam. “Pasukan bomba kemudian memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dalam usaha menyelamatkan mangsa,” katanya ketika dihubungi. Bagaimanapun, katanya mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada jam 5.11 petang. “Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tuaran menggunakan ambulans untuk tindakan lanjut,” katanya. Operasi yang turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.21 petang. – Info X
November 14, 2026
Info X Reporters
16 pakej 1B Lebuhraya Pan Borneo Sabah dahului jadual di bawah GRS – Azrul
KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menafikan dakwaan kegagalan kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memastikan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dilaksanakan mengikut jadual. Ketuanya, Datuk Azrul Ibrahim, sebaliknya berkata sebanyak 16 daripada 19 pakej kerja bagi Fasa 1B dilaporkan mendahului jadual sejak dimulakan pada 2024 berikutan komitmen kerajaan GRS memastikan projek itu dilaksanakan dengan lancar. Katanya, adalah tidak adil untuk menuduh kerajaan GRS gagal memastikan kelancaran projek itu berdasarkan kelewatan projek Fasa 1A yang membabitkan 16 pakej dengan hanya empat pakej dilapor siap sepenuhnya sejak dimulakan kira-kira 10 tahun lalu. Beliau berkata, pembinaan Fasa 1A bermula di bawah kerajaan terdahulu, termasuk ketika penamatan kaedah Rakan Penyampai Projek (PDP) pada 2018 sebelum pelaksanaannya dilakukan secara konvensional sehingga sekarang. “Untuk rekod, dalam pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah bagi Fasa 1B (Fasa 1A berlaku lebih awal), kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor memastikan ia berjalan bermula pada 2024 dan 16 pakej mendahului jadual, ini adalah rekod Kerajaan GRS. “Jika ada isu kelewatan, kita juga perlu adil melihat dalam konteks pelaksanaan Pan Borneo ini di bawah Kerajaan GRS, di mana banyak pakej Fasa 1B mendahului jadual,” katanya. Beliau menjelaskan perkara itu pada sidang media selepas Mesyuarat EXCO dan Ketua-Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, di sini, pada Sabtu. Mengulas mengenai persoalan kenapa Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak berjalan lancar dan kini siap sepenuhnya berbanding di Sabah walaupun sama-sama menamatkan kaedah PDP, Azrul berkata perkara itu perlu dijawab oleh pemimpin dalam kerajaan terdahulu yang terbabit dalam penamatan kaedah itu. “Kita mendengar ada pemimpin tertentu yang mempersoalkan pelaksanaan PDP Sabah dan Sarawak batal untuk Pan Borneo tetapi Sarawak diteruskan dan kini berada pada progres yang positif, manakala di Sabah batal dan tidak dapat disiapkan lebih awal. “Soalan ini wajar dipulangkan kembali kepada mereka kerana pada masa PDP itu dibatalkan, mereka berkuasa. Mereka yang wajar memberikan penerangan mengapa mereka gagal memastikan Pan Borneo diteruskan walaupun kaedah pelaksanaan PDP ditamatkan dan digantikan dengan kaedah konvensional,” katanya. Beliau berkata, apa yang diharapkan ketika ini ialah memastikan kontraktor projek itu dapat mengejar jadual yang ditetapkan bagi memastikan jalan raya di Sabah dalam keadaan selamat dan efisien untuk dilalui.-Info X
November 14, 2026
Info X Reporters
Azrul perjelas isu peruntukan besar RM18.7 bilion kepada Sabah
KOTA KINABALU: Persoalan mengenai peruntukan besar RM18.7 bilion kepada Sabah yang disebut dalam Belanjawan 2027 perlu difahami dengan betul berdasarkan realiti sebenar yang berlaku. Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Datuk Azrul Ibrahim, berkata jumlah itu menjadi besar disebabkan pengiraan peruntukan keseluruhan yang dibuat kerajaan Persekutuan untuk dibentangkan dalam belanjawan tahunan, berbanding hanya peruntukan pembangunan yang disebut sebelum ini. “Beberapa tahun kebelakangan ini, sekitar tiga empat tahun lalu, pengumuman dalam belanjawan tahunan di peringkat Persekutuan memasukkan jumlah keseluruhan peruntukan kepada Sabah. “Kalau sebelum ini hanya dimasukkan peruntukan untuk pembangunan. Sebelum 2022, diumum peruntukan kepada Sabah hanya RM4 bilion, RM5 bilion, RM6 bilion, itu khusus kepada pembangunan. “Tapi dalam empat ke tiga tahun kebelakangan ini, peruntukan pembangunan termasuk peruntukan mengurus dan hal-hal lain juga dimasukkan dalam peruntukan itu, sebab itu nampak besar seperti untuk 2027 sebanyak RN18.7 bilion,” katanya. Beliau menjelaskan perkara itu pada sidang media selepas Mesyuarat EXCO dan Ketua-Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, di sini, pada Sabtu. Azrul berkata, berdasarkan semakan dan pengiraan pihaknya, bukan semua peruntukan itu diserahkan kepada negeri, sebaliknya diuruskan oleh kementerian dan agensi Persekutuan yang ada di Sabah. Katanya, perkara itu perlu dijelaskan bagi membetulkan kekeliruan rakyat negeri ini mengenai dakwaan peruntukan yang besar kepada Sabah dalam belanjawan tahunan, namun masih banyak masalah berkaitan infrastruktur asas tidak selesai. Azrul berkata, kekeliruan itu yang ditimbulkan pemimpin pembangkang perlu dijelaskan dengan betul, termasuk mengenai peruntukan pembangunan yang sebenarnya hanya sekitar RM6 bilion dan bukan RM18.7 bilion. “Peruntukan pembangunan yang berjumlah sekitar RM6 bilion bukan semua projek baharu, tapi lebih banyak dana adalah untuk meneruskan projek sedia ada termasuk pembinaan Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 2027, pembinaan sekolah, projek air luar bandar dan jalan luar bandar. “Jadi kita mahu rakyat Sabah jelas bahawa peruntukan Persekutuan yang diberikan setiap tahun dan dalam konteks tahun 2027 sebanyak RM18.7 bilion itu adalah agihan kepada peruntukan pembangunan, peruntukan mengurus dan belanja lain oleh kementerian dan agensi Persekutuan di Sabah,” katanya.-Info X
November 14, 2026
Info X Reporters
Cuba selamatkan orang lain punca lelaki maut ditikam
KOTA KINABALU: Lelaki yang maut ditikam di tangga bersebelahan sebuah premis perniagaan di Sulaman Sentral, Kuala Manggatal, di sini, awal pagi tadi dipercayai menjadi mangsa selepas cuba menghalang suspek daripada mengejar seorang penjual makanan. Mangsa berusia 31 tahun dipercayai cuba membantu penjual makanan berkenaan yang sebelum itu bertengkar dengan suspek berusia 38 tahun akibat perselisihan faham berkaitan perniagaan. Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman berkata, siasatan awal mendapati suspek pada mulanya bertengkar dengan penjual makanan terbabit sebelum cuba menikamnya menggunakan sebilah pisau lipat. Bagaimanapun, katanya, penjual makanan berkenaan sempat mengelak dan melarikan diri sebelum dikejar suspek. “Mangsa warga tempatan yang ketika itu berada di sebuah pusat snuker bersama rakannya dipercayai cuba menghalang suspek daripada terus mengejar penjual makanan terbabit. “Suspek kemudian dipercayai mengambil sebilah pisau pemotong daging sebelum terserempak dengan mangsa di kawasan tangga tingkat satu berhampiran sebuah premis perniagaan. “Suspek dipercayai menikam mangsa di bahagian dada kanan sebelum mangsa cuba melarikan diri, namun rebah di kawasan parkir berhampiran,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, ahli keluarga mangsa kemudian bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan memaklumkan kejadian itu. Katanya, mangsa yang berada dalam keadaan kritikal kemudian dibawa oleh ahli keluarganya ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, Likas, untuk mendapatkan rawatan kecemasan. “Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 6.44 pagi selepas usaha menyelamatkannya oleh pasukan perubatan gagal,” katanya. Mengulas lanjut, beliau berkata, motif kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap penjual makanan terbabit berhubung kegiatan perniagaan di kafe berkenaan. “Pasukan polis sedang giat menjalankan usaha mengesan dan menangkap suspek, manakala usaha mengesan saksi lain yang berada di sekitar lokasi turut diteruskan,” katanya. Beliau berkata, pemeriksaan pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah turut menemukan beberapa barang kes untuk analisis lanjut. “Mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) bagi tujuan bedah siasat yang dijadualkan esok. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini termasuk lokasi suspek, diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Hotline IPD Kota Kinabalu di talian 088-529222 atau mana-mana balai polis berhampiran. “Polis juga menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan,” katanya. Terdahulu, seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia selepas ditikam dalam pergaduhan di kawasan premis perniagaan berkenaan, manakala suspek melarikan diri selepas kejadian. – Info X
November 14, 2026
Info X Reporters
Lelaki dihanyutkan arus ketika mandi sungai
TUARAN: Seorang lelaki ditemukan tidak sedarkan diri selepas dihanyutkan arus ketika mandi-manda di sungai di Kiulu, dekat sini, petang ini. Mangsa berusia 28 tahun ditemukan orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian bagi memberikan bantuan kecemasan. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Timbalan Penguasa Bomba II Kurong AK Beki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 4.15 petang. Katanya, sepasukan enam anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 25 kilometer dari balai. “Ketika dalam perjalanan ke lokasi, pihak kami menerima panggilan kedua daripada orang awam memaklumkan mangsa sudah ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri. “Pasukan bomba yang tiba pada jam 4.46 petang mendapati mangsa masih tidak sedarkan diri sebelum segera memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR),” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, mangsa masih dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika pasukan bomba berada di lokasi kejadian. “Tindakan lanjut kemudian diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berada di lokasi,” katanya. Operasi berkenaan membabitkan enam anggota BBP Tuaran termasuk dua anggota pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS). – Info X
November 14, 2026
Info X Reporters
50 penduduk Kampung Inderasabah ditauliah Bomba Komuniti
TAWAU: Seramai 50 penduduk Kampung Inderasabah, di sini, ditauliah sebagai ahli Pasukan Bomba Komuniti dalam usaha memperkukuh kesiapsiagaan masyarakat menghadapi kebakaran dan kecemasan. Pentauliahan itu diadakan sempena Program Kempen Sehari Bersama Bomba Komuniti, Skuad Bomba, S.U.R.I. dan Majlis Pentauliahan Pasukan Bomba Komuniti Kampung Inderasabah yang berlangsung selama dua hari bermula semalam. Majlis kemuncak hari ini disempurnakan Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan. Turut hadir Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Pisar Aziz. Selain pentauliahan Bomba Komuniti, program berkenaan turut memberi pendedahan mengenai keselamatan kebakaran kepada 30 wanita dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu 8, Tawau menerusi Program S.U.R.I. Seramai 10 guru Madrasah Wadi An Nur, Kampung Balung Kokos turut ditauliah sebagai ahli Skuad Bomba, manakala 30 kanak-kanak menyertai aktiviti Kelab Bomba Cilik. Program itu turut mendapat penyertaan enam pasukan Bomba Komuniti dari Lahad Datu, Kunak dan Semporna bagi memperkukuh kerjasama serta perkongsian pengetahuan berkaitan keselamatan kebakaran. Dalam pada itu, JBPM Sabah turut melaksanakan Program Fire Point melalui penempatan alat pemadam api mudah alih di lokasi strategik bagi membolehkan tindakan awal diambil sekiranya berlaku kebakaran. Mohd Pisar berkata, penglibatan aktif masyarakat amat penting dalam membantu pihak bomba mencegah kebakaran, khususnya di kawasan yang mempunyai risiko tinggi. Katanya, masyarakat perlu mempunyai pengetahuan asas mengenai pencegahan kebakaran selain bersedia mengambil tindakan awal sebelum ketibaan pasukan penyelamat. “Setiap isi rumah digalakkan menyediakan sekurang-kurangnya satu alat pemadam api mudah alih sebagai langkah keselamatan awal. “Pada masa sama, aspek keselamatan penggunaan elektrik dan peralatan memasak juga perlu sentiasa diberi perhatian bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya. Beliau berkata, pelaksanaan program berkenaan selaras dengan aspirasi Pelan Strategik Jabatan (PSJ) 2026 – 2030 yang memberi penekanan terhadap pencegahan kebakaran dan penglibatan komuniti. Katanya, JBPM Sabah akan terus memperkasakan masyarakat sebagai rakan strategik jabatan dalam membentuk komuniti yang lebih berpengetahuan, berkemahiran dan bersedia menghadapi sebarang kecemasan. “Usaha ini diharap dapat memupuk budaya keselamatan kebakaran dalam kalangan masyarakat sekali gus mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda,” katanya. – Info X
November 14, 2026
Info X Reporters
Parkir sementara, ruang simpan kontena tangani isu parking haram, kesesakan di SBCP
KOTA KINABALU: Seluas 14 ekar ruang penyimpanan kontena dan lebih satu ekar parkir lori dan treler disediakan bagi menangani isu parkir di bahu jalan dan kesesakan di Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar (SBCP), di sini. Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick, berkata parkir sementara seluas lebih satu ekar disediakan Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), manakala kawasan penyimpanan kontena tambahan seluas 14 ekar akan dibangunkan Sabah Ports Sdn Bhd (SPSB). Katanya, kedua-dua kemudahan itu adalah sebahagian daripada 10 Pelan Tindakan Sementara yang diperakukan Kabinet Negeri. Jelasnya, penyediaan kawasan parkir sementara bagi menangani kekurangan tempat meletak treler kontena, terutama apabila depo di KKIP penuh atau tidak lagi menerima kontena selepas waktu operasi. “Isu yang timbul selama ini adalah ketiadaan kawasan letak treler kontena sementara, terutama selepas depo-depo di KKIP sudah penuh atau tidak lagi menerima kontena selepas waktu operasi. “Sebab itu, KKIP mengambil langkah proaktif menyediakan kawasan parkir sementara yang kini sudah mulai digunakan syarikat perkhidmatan lori treler sejak bulan lalu,” katanya. Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat khas membincangkan penyelarasan penguatkuasaan larangan meletakkan treler kontena di bahu jalan sepanjang Jalan Pelabuhan Sepanggar, di sini, pada Jumaat. Mesyuarat itu membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), SPSB dan KKIP. Ewon yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan negeri, berkata langkah jangka pendek, sementara dan jangka panjang sudah dikenal pasti, dengan diselaraskan kementeriannya. “Saya dimaklumkan LPKP Sabah telah mengambil lebih 3,000 tindakan penguatkuasaan sepanjang tempoh 2024 hingga 2026, termasuk mengeluarkan 2,085 notis pelanggaran syarat lesen, 846 surat amaran dan 82 surat penggantungan serta membatalkan 16 permit bagi treler yang melanggar peraturan, termasuk meletak kenderaan di bahu jalan,” katanya. Beliau yang juga Pengerusi KKIP turut membangkitkan aspek penguatkuasaan syarat wajib pemilikan depo sendiri bagi setiap syarikat pengangkutan yang memohon atau memperbaharui permit treler masing-masing. Selepas mesyuarat itu, Ewon melawat kawasan parkir sementara untuk lori dan treler kontena yang boleh memuatkan maksimum 50 treler pada satu-satu masa. “Kapasiti ini boleh ditambah mengikut keperluan pengguna kerana tanah KKIP adalah tersedia,” katanya. Katanya, DBKK akan membantu KKIP mewartakan penggunaan sementara kawasan berkenaan sebagai tapak depo atau parkir sementara lori treler, selaras dengan keputusan Kabinet Negeri. Langkah itu, katanya membolehkan syarikat perkhidmatan treler menggunakan kawasan berkenaan sebagai kawasan depo ketika memperbaharui permit tahunan. Beliau berkata, beberapa syarikat sudah mula menggunakan kemudahan itu dan agensi penguatkuasaan akan membantu memastikan syarikat berkaitan memanfaatkan kawasan parkir berkenaan. Sementara itu, Ewon berkata, pemantauan mingguan pihak berkuasa mendapati lebih 200 treler diletakkan di bahu jalan ketika ini. “Satu kompaun yang dikeluarkan agensi penguatkuasaan bagi treler yang diletakkan di bahu jalan adalah sebanyak RM300 dan jumlah ini sebenarnya sudah boleh membiayai kadar sewa di parkir sementara treler ini untuk tempoh hampir sebulan,” katanya. Beliau berkata, penyediaan kemudahan parkir sementara itu sudah dimaklumkan lebih awal kepada persatuan logistik dan pengangkutan yang beroperasi dengan SBCP. Ewon turut meninjau tapak seluas 14 ekar bersebelahan SBCP yang akan dibangunkan SPSB sebagai kawasan penyimpanan kontena tambahan. Katanya, kemudahan itu akan membantu memenuhi keperluan syarikat kilang besar di KKIP, khususnya yang beroperasi 24 jam dan mempunyai keperluan eksport serta import melalui SBCP sepanjang masa. Kawasan itu juga, katanya akan menjadi tempat penyimpanan sementara produk berasaskan kayu oleh Sabah Timber Industries Association (STIA). “Kesemua 10 Pelan Tindakan yang dilaksanakan akan berkuat kuasa sehingga projek pembesaran SBCP yang sedang berjalan siap sepenuhnya,” katanya. Bagi jangka panjang, beliau berkata, keseluruhan kawasan pelabuhan di Teluk Sepanggar akan dibangunkan sebagai pelabuhan bersepadu moden, bermula dengan penyiapan projek pembesaran semasa sebelum disusuli pembesaran seterusnya. “Kementerian akan terus memperkasa inisiatif-inisiatif yang bersesuaian supaya aktiviti perindustrian dapat dijalankan tanpa mengabaikan aspek keselamatan. Ini memerlukan kerjasama dan komitmen semua pihak termasuk syarikat-syarikat perkhidmatan lori treler. “Selagi diberi mandat dan tanggungjawab, saya akan terus bersama pelbagai pihak dan pemegang taruh bagi memastikan pelabuhan-pelabuhan di Sabah menyumbang dengan lebih baik kepada pembangunan perindustrian dan keusahawanan di Sabah,” katanya. Beliau turut menyatakan akan membawa beberapa perkara berkaitan ekosistem pelabuhan untuk dibincangkan dengan kementerian berkaitan di peringkat Kerajaan Persekutuan. – Info X
November 14, 2026
Info X Reporters
Pekerja pelabuhan cedera jatuh dari ketinggian tiga tingkat kontena
TAWAU: Seorang pekerja pelabuhan cedera selepas terjatuh dari ketinggian tiga tingkat kontena ketika menjalankan tugas di Pelabuhan Tawau, di sini, tengah malam tadi. Dalam kejadian jam 12.50 tengah malam itu, mangsa berusia 25 tahun dipercayai terjatuh selepas tangga yang dinaikinya bergerak secara tiba-tiba sehingga menyebabkan dia hilang kawalan. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.51 tengah malam menerusi talian kecemasan. Katanya, sepasukan enam anggota bersama jentera dari BBP Tawau dikejarkan ke lokasi dan tiba tiga minit kemudian. “Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati mangsa yang juga pekerja pelabuhan terjatuh dari ketinggian tiga tingkat kontena ketika melakukan kerja di kawasan berkenaan. “Kejadian dipercayai berlaku apabila tangga yang dinaiki mangsa bergerak, menyebabkan mangsa hilang kawalan sebelum terjatuh,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Beliau berkata, pasukan bomba memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum mengangkatnya menggunakan lif kontena pelabuhan ke kawasan selamat. “Mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut. “Pemeriksaan pihak KKM mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala, bahu kanan dan pinggul,” katanya. Menurutnya, operasi membabitkan berkenaan ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.10 pagi selepas keadaan di lokasi disahkan selamat. – Info X