May 2, 2026
Info X Reporters
Kebakaran musnahkan lima rumah di Apin-Apin
KENINGAU: Sebanyak lima rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Apin-Apin, di sini, pagi tadi. Kejadian itu turut membabitkan enam kenderaan serta beberapa premis lain yang terjejas, sekali gus menyebabkan penduduk kehilangan harta benda dalam sekelip mata. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Severinus @ Mohd Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.06 pagi sebelum sepasukan 10 anggota bersama tiga jentera dikejarkan ke lokasi. “Setibanya di lokasi, didapati lima rumah tidak kekal sudah terbakar sepenuhnya, selain sebuah kedai runcit terbakar 50 peratus dan sebuah rumah separuh kekal terbakar 60 peratus. “Kebakaran turut melibatkan enam kenderaan iaitu dua kereta jenis Proton Wira dan Proton Persona serta empat motosikal yang semuanya musnah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang kira-kira 61 meter dengan dua pancutan, manakala sumber air diperoleh daripada tangki jentera dan pili bomba berhampiran. “Api berjaya dikawal pada jam 8.02 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.10 tengah hari selepas kerja-kerja memadam bara api selesai. “Tiada mangsa dilaporkan terlibat dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X
May 2, 2026
Info X Reporters
Suspek ‘wanted’ kes tipu kantoi hisap syabu
TAWAU: Cubaan seorang lelaki melarikan diri selepas terserempak polis ketika rondaan cegah jenayah membawa padah apabila dia bukan saja ditahan, malah terbongkar sebagai individu dikehendaki kes tipu di Putatan, semalam. Dalam kejadian di Kampung Kinabutan Batu 5, Jalan Apas, suspek warga tempatan berusia 34 tahun itu pada mulanya dilihat dalam keadaan mencurigakan oleh Strike Team Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau yang sedang membuat rondaan. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sebaik menyedari kehadiran polis, suspek bertindak melarikan diri namun berjaya diberkas semula selepas berlaku kejar-mengejar singkat. “Semakan rekod jenayah melalui nombor kad pengenalan menggunakan sistem MCAD mendapati lelaki itu adalah ‘wanted person’ bagi satu kes tipu yang sedang disiasat di daerah Putatan. “Suspek kemudian dibawa ke balai untuk siasatan lanjut. Ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati dia positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine,” katanya dalam kenyataan media. Menurutnya, semakan lanjut mendapati suspek mempunyai rekod lampau dan pernah disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 di negeri Selangor dan di daerah Tawau sendiri. Beliau berkata, suspek kini ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana kesalahan memasukkan dadah ke dalam badan. “Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi kesalahan menipu,” katanya. – Info X
May 1, 2026
Info X Reporters
Wanita koma di Vietnam selamat dibawa pulang ke Sabah
KOTA KINABALU: Seorang wanita Sabah yang sebelum ini dilaporkan koma ketika berada di Vietnam selamat tiba di tanah air, petang tadi, bagi meneruskan rawatan. Ruhana Joseph, 34, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada jam 6.20 petang bersama suaminya sebelum terus dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan lanjut. Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Datuk Azrul Ibrahim, berkata kepulangan mangsa berjaya dilaksanakan hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk Rumah Sabah, Yayasan Kebajikan Sabah, Kementerian Belia dan Sukan negeri serta Malaysia Airlines. “Kerajaan negeri bertindak pantas berkomunikasi dengan pesakit dan suaminya, dan dengan kerjasama semua pihak, mangsa berjaya dibawa pulang ke Sabah untuk meneruskan rawatan,” katanya ketika ditemui di sini. Beliau berkata kerajaan negeri akan terus memberi perhatian terhadap kebajikan rakyat Sabah, termasuk mereka yang berdepan kesulitan di luar negara. “Kes seperti ini boleh berlaku di dalam atau luar negara dan kerajaan negeri melalui jabatan berkaitan akan terus membantu rakyat Sabah yang memerlukan,” katanya. Sebelum ini, Ruhana dilaporkan menerima rawatan di Hospital Nhan Dan Gia Dinh, Vietnam dalam keadaan koma serta memerlukan pemantauan rapi. Kes berkenaan turut tular di media sosial sehingga mendapat perhatian Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang kemudian mengarahkan Yayasan Kebajikan Sabah menyalurkan bantuan segera. Difahamkan, usaha membawa pulang mangsa turut melibatkan pasukan perubatan yang mengiringi penerbangan bagi memastikan keadaannya kekal stabil sepanjang perjalanan. – Info X
May 1, 2026
Info X Reporters
Gelvia Vanessa dinobat Unduk Ngadau Papar 2026
PAPAR: Gelvia Vanessa dinobatkan sebagai juara Unduk Ngadau Papar 2026 dalam pertandingan yang berlangsung meriah sempena sambutan Pesta Kaamatan di daerah ini. Tempat kedua disandang oleh Camilla Grimaldi sebagai naib juara, manakala tempat ketiga menjadi milik Cora Jean Cantwell. Pertandingan berprestij itu menjadi antara acara kemuncak sambutan Kaamatan di Papar, dengan penyertaan peserta yang menampilkan keanggunan, keyakinan serta penghayatan terhadap warisan budaya masyarakat Kadazandusun. Kejayaan Gelvia bukan sahaja mencerminkan keperibadian dan karisma, malah memperlihatkan penghayatan mendalam terhadap nilai tradisi yang terus dipelihara dalam kalangan generasi muda. Sambutan meriah daripada pengunjung turut menambahkan lagi kemeriahan acara, sekali gus memperkukuh semangat perpaduan dan kebudayaan dalam kalangan masyarakat setempat. Kredit foto: David Aramaitii
May 1, 2026
Info X Reporters
Lebih 30,000 meriahkan pelancaran Pesta Kaamatan di Papar
PAPAR: Lebih 30,000 pengunjung membanjiri Dewan Masyarakat Papar bagi memeriahkan Majlis Pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah, hari ini. Majlis yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor itu menjadi titik permulaan sambutan Pesta Kaamatan di seluruh Sabah, termasuk penganjuran di beberapa lokasi di Semenanjung dan Sarawak. Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, berkata beliau bersyukur dengan sambutan luar biasa yang ditunjukkan masyarakat terhadap majlis pelancaran berkenaan. “Saya amat bersyukur kerana kehadiran hari ini begitu ramai. Tahniah kepada Pegawai Daerah serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Datuk Juil Nuantim selaku pengerusi pelaksana yang berjaya menjayakan majlis ini,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis pelancaran Pesta Kaamatan peringkat negeri Sabah di sini. Joachim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Kaamatan negeri berkata, kemuncak sambutan akan berlangsung pada 30 dan 31 Mei ini di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di Penampang. Katanya, pelbagai acara kebudayaan telah disusun sepanjang bulan Kaamatan bagi memeriahkan lagi sambutan tahunan itu. Mengulas lanjut, beliau berkata tema Kaamatan tahun ini, “Kaamatan Menuai Perpaduan, Merayakan Keharmonian”, mencerminkan semangat sebenar perayaan berkenaan. “Kita mahu Kaamatan menjadi wadah untuk seluruh masyarakat di Sabah bersatu padu dan hidup harmoni walaupun berbeza dari segi etnik dan kepercayaan. “Inilah nilai yang ingin kita semai bukan sahaja sepanjang bulan Kaamatan, tetapi sepanjang masa,” katanya. Beliau turut berharap sambutan tahun ini akan terus memperkukuh perpaduan rakyat serta memelihara keharmonian negeri Sabah yang berbilang kaum dan budaya. – Info X
May 1, 2026
Info X Reporters
RM559.85 juta perkukuh keterjaminan makanan Sabah
PAPAR: Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM559.85 juta kepada Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) tahun ini bagi memperkukuh keterjaminan makanan serta meningkatkan Kadar Sara Diri (SSR) Sabah. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pelbagai usaha telah dan sedang dilaksanakan, termasuk penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sabah serta pembangunan jelapang padi di beberapa daerah seperti Papar, Membakut, Beaufort dan Kuala Penyu. Beliau berkata, sektor pertanian kekal sebagai antara tiga tonggak utama yang memacu pertumbuhan ekonomi negeri di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0). “Sesuai dengan semangat Pesta Kaamatan yang menghargai hasil tuaian, sektor pertanian terus menjadi fokus kerajaan dalam memastikan sekuriti makanan negeri kekal kukuh, khususnya dalam suasana ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik dunia ketika ini,” katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Dewan Masyarakat Papar, di sini, hariini. Hajiji turut menggalakkan rakyat Sabah untuk terus menyokong produk tempatan, khususnya hasil pertanian negeri ini sebagai langkah memperkukuh ekonomi domestik. Pada masa sama, beliau menegaskan kemajuan yang dicapai tidak bermakna tanpa perpaduan dan kerjasama erat dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri ini. “Oleh itu, saya menyeru seluruh rakyat Sabah untuk terus berganding bahu bersama kerajaan dalam menjayakan setiap agenda, khususnya Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0,” katanya. Beliau berkata, kerajaan negeri juga komited meneruskan pelbagai inisiatif bantuan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat, termasuk dalam aspek pendidikan, pembangunan modal insan dan kesejahteraan masyarakat. Mengulas lanjut, Hajiji berkata daerah Papar kini menunjukkan perkembangan pesat menerusi pelaksanaan beberapa projek pembangunan infrastruktur dan komersial, termasuk di Benoni dan Kinarut. Katanya, apabila projek Lebuhraya Pan Borneo siap sepenuhnya, Papar berpotensi menjadi lokasi persinggahan utama pelawat dari Brunei dan Sarawak. “Dengan adanya kemudahan seperti Borneo Cultural Village dan Sekolah Adat Anak Negeri Sabah, Papar mampu muncul sebagai daerah progresif dan berdaya saing,” katanya. Beliau berkata pemilihan Papar sebagai tuan rumah pelancaran Pesta Kaamatan tahun ini amat bertepatan memandangkan daerah itu terkenal sebagai antara kawasan jelapang padi utama di Sabah. “Papar bukan sahaja kaya dengan hasil pertanian, malah memiliki nilai budaya dan semangat perpaduan masyarakat berbilang kaum yang hidup dalam suasana aman dan harmoni,” katanya. Beliau berkata tema Kaamatan tahun ini, “Kaamatan: Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian”, mencerminkan kepentingan perpaduan dalam kalangan rakyat Sabah. Sehubungan itu, beliau mengingatkan generasi muda agar memahami, menghormati dan menerima kepelbagaian sebagai asas kepada keharmonian dan kekuatan perpaduan. Dalam pada itu, Hajiji turut mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi pembinaan gelanggang futsal berbumbung lengkap dengan grandstand di daerah ini sebagai usaha meningkatkan kemudahan sukan untuk masyarakat setempat. – Info X
May 1, 2026
Info X Reporters
Deretan kedai di Timbua musnah
RANAU: Satu deretan kedai runcit di Kampung Timbua, di sini, musnah sepenuhnya dalam kebakaran petang tadi. Dalam kejadian jam 5.50 petang itu, kebakaran membabitkan barisan premis jenis separuh kekal dengan keluasan keseluruhan dianggarkan kira-kira 1,226 meter persegi. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, PPgB Rantey Fred berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira 36 kilometer dari balai. “Setibanya di lokasi pada jam 6.40 petang, didapati kebakaran sudah marak dan memusnahkan keseluruhan deretan kedai berkenaan. “Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang kira-kira 61 meter dengan tiga pancutan, manakala sumber air diperoleh daripada tangki jentera dan pili bomba,” katanya ketika dihubungi hari ini. Menurutnya, api berjaya dikawal pada jam 7.06 malam dan setakat ini tiada mangsa dilaporkan terlibat. Katanya, setiap unit premis di deretan itu dianggarkan berkeluasan kira-kira 20 x 66 kaki (sekitar 123 meter persegi) dan keseluruhannya musnah dalam kebakaran berkenaan. “Operasi pemadaman masih diteruskan bagi memastikan tiada sisa api yang boleh mencetuskan kebakaran semula. “Punca kejadian masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya. – Info X
May 1, 2026
Info X Reporters
Penunggang motosikal maut dirempuh pikap
TAWAU: Tindakan memotong kenderaan tanpa memastikan laluan selamat mengundang padah apabila seorang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan sebuah pikap dan motosikal di Jalan Tawau – Bombalai, awal pagi tadi. Dalam kejadian jam 5.35 pagi itu, mangsa berusia 34 tahun yang menunggang motosikal jenis SYM BX110 disahkan meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Polis Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 6.20 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi. Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah Toyota Hilux yang dipandu lelaki tempatan berusia 39 tahun dengan motosikal ditunggang mangsa. “Pemandu pikap dalam perjalanan dari arah bandar Tawau menuju ke Benta Wawasan, manakala mangsa datang dari arah Kampung Haji Matahir menuju ke Kompleks Sukan Tawau. “Sebaik tiba di satu laluan lurus, pemandu pikap dipercayai memotong kenderaan di hadapannya sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal dari arah hadapan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Katanya, akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). “Manakala pemandu pikap tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut. “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan,” katanya. Sementara itu, Jasmin berkata orang ramai dinasihatkan supaya tidak memotong kenderaan tanpa memastikan laluan benar-benar selamat dan bebas daripada kenderaan dari arah bertentangan. “Tindakan cuai dan berbahaya di jalan raya akan dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi,” katanya. – Info X