May 1, 2026
Info X Reporters
Deretan kedai di Timbua musnah
RANAU: Satu deretan kedai runcit di Kampung Timbua, di sini, musnah sepenuhnya dalam kebakaran petang tadi. Dalam kejadian jam 5.50 petang itu, kebakaran membabitkan barisan premis jenis separuh kekal dengan keluasan keseluruhan dianggarkan kira-kira 1,226 meter persegi. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, PPgB Rantey Fred berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira 36 kilometer dari balai. “Setibanya di lokasi pada jam 6.40 petang, didapati kebakaran sudah marak dan memusnahkan keseluruhan deretan kedai berkenaan. “Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang kira-kira 61 meter dengan tiga pancutan, manakala sumber air diperoleh daripada tangki jentera dan pili bomba,” katanya ketika dihubungi hari ini. Menurutnya, api berjaya dikawal pada jam 7.06 malam dan setakat ini tiada mangsa dilaporkan terlibat. Katanya, setiap unit premis di deretan itu dianggarkan berkeluasan kira-kira 20 x 66 kaki (sekitar 123 meter persegi) dan keseluruhannya musnah dalam kebakaran berkenaan. “Operasi pemadaman masih diteruskan bagi memastikan tiada sisa api yang boleh mencetuskan kebakaran semula. “Punca kejadian masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya. – Info X
May 1, 2026
Info X Reporters
Penunggang motosikal maut dirempuh pikap
TAWAU: Tindakan memotong kenderaan tanpa memastikan laluan selamat mengundang padah apabila seorang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan sebuah pikap dan motosikal di Jalan Tawau – Bombalai, awal pagi tadi. Dalam kejadian jam 5.35 pagi itu, mangsa berusia 34 tahun yang menunggang motosikal jenis SYM BX110 disahkan meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Polis Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 6.20 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi. Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah Toyota Hilux yang dipandu lelaki tempatan berusia 39 tahun dengan motosikal ditunggang mangsa. “Pemandu pikap dalam perjalanan dari arah bandar Tawau menuju ke Benta Wawasan, manakala mangsa datang dari arah Kampung Haji Matahir menuju ke Kompleks Sukan Tawau. “Sebaik tiba di satu laluan lurus, pemandu pikap dipercayai memotong kenderaan di hadapannya sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal dari arah hadapan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Katanya, akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). “Manakala pemandu pikap tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut. “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan,” katanya. Sementara itu, Jasmin berkata orang ramai dinasihatkan supaya tidak memotong kenderaan tanpa memastikan laluan benar-benar selamat dan bebas daripada kenderaan dari arah bertentangan. “Tindakan cuai dan berbahaya di jalan raya akan dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi,” katanya. – Info X
May 1, 2026
Info X Reporters
Hampir tujuh jam bertarung nyawa, pemandu van meninggal dunia
RANAU: Pemandu van yang cedera parah dalam kemalangan tiga kenderaan di Kilometer 6, Jalan Ranau – Telupid, petang semalam, disahkan meninggal dunia selepas hampir tujuh jam bertarung nyawa. Mangsa lelaki berusia 51 tahun menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 11.15 malam tadi ketika menerima rawatan di Hospital Ranau. Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.57 petang semalam itu, kemalangan membabitkan sebuah van, lori dan Toyota Veloz. “Siasatan awal di lokasi mendapati van dipandu mangsa dari arah Telupid dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung secara hadapan dengan sebuah lori dari arah Ranau. “Akibat perlanggaran itu, van berkenaan mengundur lalu melanggar sebuah Toyota Veloz yang berada di belakangnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, pemandu lori berusia 31 tahun dan pemandu Veloz berusia 59 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan. “Mangsa mengalami kecederaan serius pada kedua-dua kaki sebelum dikejarkan ke Hospital Ranau untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia pada malam tadi,” katanya. Beliau berkata, bedah siasat akan dijalankan di Unit Forensik Hospital Ranau, hari ini bagi mengenal pasti punca kematian. “Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. Sementara itu, beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu, mematuhi had laju ditetapkan serta memastikan kenderaan berada di lorong yang betul bagi mengelak kejadian tidak diingini, terutama di laluan dua hala yang sibuk. “Selain itu, pemandu diingatkan agar tidak memandu dalam keadaan letih atau hilang tumpuan kerana ia boleh mengundang risiko kemalangan serius serta disaran berhenti berehat jika menempuh perjalanan jauh,” katanya. – Info X
April 30, 2026
Info X Reporters
Harumkan nama Sabah di Pentas Antarabangsa, Emmabell terima insentif RM5,000
KOTA KINABALU: Atlet Muaythai Sabah, Emmabell Cassandra, menerima insentif kerajaan negeri sebanyak RM5,000 sebagai pengiktirafan terhadap kejayaan cemerlangnya di pentas antarabangsa. Insentif itu disampaikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, pada Khamis. Hajiji turut merakamkan ucapan tahniah serta menyatakan rasa bangga atas pencapaian atlet berkenaan yang berjaya mengharumkan nama Sabah dan negara. Emmabell sebelum ini muncul juara kategori wanita dalam kejohanan Byon Combat Showbiz 7 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Jumaat lalu. Ketua Menteri berkata, kejayaan itu membuktikan keupayaan atlet Sabah untuk bersaing dan menyerlah di peringkat antarabangsa. “Pencapaian ini bukan sahaja membanggakan negeri, malah mampu menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk menceburi bidang sukan dan mencapai kecemerlangan,” katanya. Majlis penyerahan insentif itu turut dihadiri Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan; Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Juil Nuatim; serta Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Asun. – Info X
April 30, 2026
Info X Reporters
Enam ditahan dalam kontena, syabu dirampas
TAWAU: Lima lelaki dan seorang wanita ditahan selepas disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah dalam serbuan di kawasan penyimpanan kontena di Taman Anson, di sini, tengah malam tadi. Dalam operasi susulan aduan orang awam itu, sepasukan polis Strike Team Balai Polis Tawau menjalankan rondaan cegah jenayah sebelum memeriksa sebuah kontena dalam keadaan mencurigakan, kira-kira jam 12.40 tengah malam. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pemeriksaan lanjut menemukan enam individu termasuk seorang wanita berada di dalam kontena berkenaan. “Pemeriksaan di dalam kontena itu membawa kepada penemuan empat paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 0.92 gram. “Kesemua suspek yang ditahan terdiri daripada warga tempatan dan warga asing berusia antara 26 hingga 42 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, semua suspek dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952. Katanya, polis turut mengingatkan orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat bagi membantu membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah di daerah ini. – Info X
April 30, 2026
Info X Reporters
UMS, MKPUA perkasa literasi dan STEM melalui Program Eksplorasi Ilmu di sekolah
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Jabatan Perpustakaan dengan kerjasama Majlis Ketua Pustakawan Universiti Awam (MKPUA) menganjurkan Program Eksplorasi Ilmu @ Sekolah Kebangsaan (SK) Petagas sebagai sebahagian inisiatif Baca@Borneo 2026 bagi memperkasa literasi ilmu dan pendidikan STEM dalam kalangan komuniti sekolah. Majlis perasmian program itu disempurnakan Naib Canselor UMS Datuk Dr Kasim Haji Mansor yang diwakili Ketua Pustakawan UMS, Zawawi Tiyunin. Dalam ucapan beliau yang dibacakan wakil, Kasim berkata universiti berperanan sebagai agen perubahan dalam menyebarluaskan ilmu kepada masyarakat serta memperkukuh budaya pembelajaran sepanjang hayat. “Universiti bukan sekadar institusi akademik, tetapi turut berperanan sebagai pemacu perubahan yang membawa ilmu terus kepada masyarakat, selaras dengan aspirasi UMS sebagai ‘The Brain of Borneo’,” katanya. Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama strategik bersama MKPUA, Perpustakaan UMS dan U-Science membuka ruang lebih luas dalam memperkukuh ekosistem pendidikan komuniti secara inklusif dan berimpak tinggi. “Pendekatan kolaboratif ini membolehkan ilmu disampaikan dengan lebih meluas, khususnya kepada pelajar di peringkat sekolah yang memerlukan pendedahan awal terhadap pembelajaran berasaskan sains dan teknologi,” katanya. Menurutnya, pembudayaan ilmu sejak usia muda amat penting dalam membentuk generasi yang berpengetahuan, kritis dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran masa depan. Program yang melibatkan kira-kira 500 peserta itu menampilkan pelbagai pengisian menarik termasuk pameran STEM, bengkel roket air, pengaturcaraan Scratch, aktiviti DIY STEM Kit, galakan membaca serta saringan kesihatan. Selain itu, inisiatif penambahbaikan Pusat Sumber SK Petagas turut dilaksanakan bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan mesra pelajar. Penglibatan U-Science UMS serta pelaksanaan program Professor@School melalui Zaleha Abd. Aziz yang juga alumni SK Petagas, turut memberi inspirasi kepada murid untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik. UMS berharap program seumpama ini dapat diperluaskan ke lebih banyak sekolah pada masa hadapan sebagai usaha berterusan memperkukuh ekosistem pendidikan serta melahirkan generasi berilmu, inovatif dan berdaya saing. – Info X
April 30, 2026
Info X Reporters
Cuti terapung tingkat fleksibiliti, produktiviti pekerja Sabah
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri disaran mempertimbangkan pelaksanaan konsep ‘cuti terapung’ bagi memberi fleksibiliti kepada rakyat Sabah memilih hari kelepasan yang lebih bermakna mengikut keperluan budaya, keagamaan dan peribadi masing-masing. Cadangan itu dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Enakmen Hari Kelepasan (Pindaan) 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini. Beliau yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata, pengenalan satu atau dua hari cuti terapung setahun bukan sekadar satu dasar pentadbiran, malah mencerminkan pengiktirafan terhadap kepelbagaian etnik dan budaya yang menjadi asas keharmonian di Sabah. “Sabah bukan wilayah satu wajah. Kita adalah kisah yang pelbagai dan harmoni. Namun realitinya, tidak semua hari kelepasan yang ditetapkan ketika ini membawa makna yang sama kepada semua rakyat. “Mengapa kita tidak memberi rakyat satu hak asas, iaitu memilih hari yang paling bermakna dalam kehidupan mereka?” katanya. Menurut beliau, cadangan itu relevan terutama bagi pekerja dari kawasan luar bandar yang sering berdepan dilema antara memenuhi komitmen kerja atau pulang menyambut perayaan tradisi bersama keluarga, termasuk sambutan Tadau Kaamatan. Mengulas kebimbangan terhadap kemungkinan gangguan produktiviti, beliau menegaskan bahawa fleksibiliti yang diurus secara sistematik tidak akan menjejaskan operasi organisasi, malah berpotensi meningkatkan motivasi serta kesetiaan pekerja. “Fleksibiliti yang diurus dengan baik bukan melemahkan sistem, sebaliknya menguatkannya. Pekerja yang dihargai akan memberi lebih, manakala pekerja yang didengari akan lebih setia kepada organisasi,” katanya. Beliau turut mencadangkan agar pelaksanaan cuti terapung disertakan dengan garis panduan jelas seperti permohonan awal serta had satu atau dua hari setahun bagi memastikan kelancaran operasi sektor awam dan swasta. Tambahnya, langkah itu berupaya meletakkan Sabah sebagai negeri yang progresif dalam menyesuaikan dunia pekerjaan dengan realiti masyarakat majmuk serta keperluan semasa yang lebih inklusif. Sehubungan itu, beliau menyatakan sokongan terhadap RUU Enakmen Hari Kelepasan (Pindaan) 2026, namun berpandangan penambahbaikan melalui konsep cuti terapung akan menjadikan undang-undang berkenaan lebih adil, seimbang dan “manusiawi” untuk seluruh rakyat negeri ini. – Info X
April 30, 2026
Info X Reporters
Penunggang maut terbabas masuk parit
PENAMPANG: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam parit di Jalan Kobusak berhampiran Lido Plaza, di sini, awal pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa lelaki tempatan berusia 32 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal dari arah Nosoob menuju ke lampu isyarat Kobusak. “Bagaimanapun, setibanya di lokasi, motosikal itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan terjatuh ke dalam parit berhampiran selekoh. “Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu untuk bedah siasat. “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik selain memandu dengan berhati-hati. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Penampang atau pegawai penyiasat kes, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-809 5133,” katanya. – Info X