September 20, 2026
Info X Reporters
Dua penjawat awam ditahan kemuka dokumen palsu tuntutan RM30,000
LAHAD DATU: Dua penjawat awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah selepas disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu bagi memperoleh tuntutan elaun berjumlah kira-kira RM30,000. Tuntutan itu membabitkan elaun tugasan rondaan keselamatan dan pemantauan bencana yang dipercayai dilakukan antara 2022 hingga 2023. Kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 30-an dan 40-an ditahan kira-kira jam 10 pagi, 17 September lalu ketika hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM cawangan Lahad Datu. Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan berkenaan. Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan. “Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. “Kedua-dua suspek akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Tawau pada 24 September ini,” katanya. – Info X
September 19, 2026
Info X Reporters
Viva hitam ingkar arahan berhenti, lima notis dikeluarkan
KOTA KINABALU: Lima notis dikeluarkan terhadap sebuah Perodua Viva hitam selepas pemandunya didakwa ingkar arahan berhenti ketika cuba diperiksa anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Jalan Tuaran, hari ini. Kesalahan dikesan membabitkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL), gagal berhenti serta memandu secara melulu dan membahayakan. JPJ Sabah menerusi kenyataan di Facebook rasminya berkata, notis temu siasat mengikut Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987 turut dikeluarkan bagi menjalankan siasatan lanjut. “Kenderaan itu dikesan lagi, tindakan penyitaan akan dilakukan selain tindakan diambil terhadap pemandu dan pemilik kenderaan,” menurut kenyataan itu. JPJ memberi amaran keras supaya pengguna tidak menjadikan jalan raya sebagai tempat menguji keberanian dengan melakukan pemanduan agresif atau melulu sehingga membahayakan nyawa orang lain. “Satu tindakan pemanduan tidak bertanggungjawab boleh mengakibatkan kemalangan, kecederaan malah kehilangan nyawa. “Jangan memandu secara melulu, mempertaruhkan nyawa pengguna lain atau menganggap kesalahan lalu lintas sebagai perkara kecil,” katanya. Sementara itu, JPJ turut mengingatkan pengguna supaya memastikan LKM, perlindungan insurans dan lesen memandu masih berkuat kuasa sebelum memulakan perjalanan. Terdahulu, berdasarkan video tular, Perodua Viva hitam berkenaan didakwa melarikan diri ketika cuba diperiksa anggota JPJ. – Info X
September 19, 2026
BERNAMA
Loke tawar diri letak jawatan Menteri Pengangkutan
KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menawarkan diri meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan, sebagai respons parti itu terhadap isu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang diberi pengampunan bersyarat untuk jalani baki hukuman secara tahanan di rumah. Beliau berkata surat peletakan jawatan itu akan dihantar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat. “Keputusan ini dicapai selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang berlangsung selama tiga jam bagi membincangkan perkembangan berkenaan. “Saya mengemukakan cadangan ini kepada CEC dan kita membuat keputusan bahawa saya meletakkan jawatan sebagai reaksi parti terhadap apa yang telah berlaku,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat DAP di sini hari ini. Beliau berkata peletakan jawatan tersebut hanya melibatkan dirinya selaku ahli Jemaah Menteri, manakala menteri dan timbalan menteri lain daripada DAP akan kekal dalam kerajaan bagi memastikan kestabilan politik negara terus terjamin. “Yang lain, walaupun mereka juga bersedia, sanggup melepaskan jawatan pada mana-mana waktu, pada apa-apa ketika, tetapi CEC telah membuat keputusan sementara waktu ini, mereka akan kekal berada dalam jawatan untuk memastikan kestabilan politik masih terjamin. “Ini satu tindakan yang kita rasa bertanggungjawab, kerana kita tidak mahu apa-apa tindakan politik kita ini menyebabkan ketidakstabilan politik,” katanya. Beliau berkata sekiranya pemimpin-pemimpin DAP yang lain melepaskan jawatan dalam Kabinet, hal itu berisiko menjejaskan kestabilan politik sekali gus meruntuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri. “DAP amat menyedari permainan politik pihak-pihak tertentu dan harapan mereka untuk kita membuat satu keputusan bagi membolehkan mereka mencapai cita-cita politik mereka. Kita tidak memberi ruang kepada mereka dalam perkara ini,” katanya. Selain itu, beliau berkata perancangan dan projek di bawah Kementerian Pengangkutan diteruskan seperti biasa dan tidak akan menjejaskan operasi kementerian susulan peletakan jawatannya. Loke turut mengulangi pendirian parti itu menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong dan tidak boleh dipertikaikan. Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Jumaat memperkenan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta. Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri memaklumkan perintah itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan di Istana Negara semalam.– BERNAMA
September 19, 2026
Info X Reporters
RM4.065 bilion nilai 83 projek BALB, hanya RM143 juta dibelanja tahun ini – Azrul
KOTA KINABALU: Peruntukan besar RM4.065 bilion untuk 83 projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) yang diluluskan di Sabah pada tahun ini tidak menggambarkan jumlah sebenar peruntukan semasa yang disalurkan kerajaan Persekutuan kepada negeri ini. Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim, mendedahkan daripada jumlah besar itu, hanya RM143 juta dibelanjakan untuk melaksanakan projek BALB terbabit bagi tahun ini. Katanya, RM4.065 bilion adalah nilai keseluruhan projek dan bukannya jumlah peruntukan yang disalurkan kepada Sabah untuk melaksanakan semua projek BALB terbabit pada tahun ini. “Maknanya, RM4.065 bilion bukanlah wang yang telah dibelanjakan dalam satu tahun. Ia merupakan nilai keseluruhan projek yang pelaksanaannya dibuat mengikut tempoh dan kemajuan projek,” katanya menerusi hantaran di Facebook. Kenyataan beliau sebagai maklum balas terhadap persoalan ditimbulkan pihak tertentu yang mempersoalkan ke mana perginya peruntukan besar disalurkan kepada Sabah untuk menyelesaikan masalah bekalan air yang sehingga kini belum selesai. Azrul berkata, kuasa pelaksanaan 83 projek BALB itu diserahkan kepada Kerajaan Negeri Sabah pada April 2026, namun nilai keseluruhan RM4.065 bilion tidak bermaksud jumlah berkenaan telah disalurkan atau dibelanjakan pada tahun ini. Katanya, sebahagian projek masih berada pada peringkat pra-pelaksanaan, manakala sebahagian yang lain sedang dalam pembinaan atau sudah siap. Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan sendiri mengakui sebahagian projek BALB berdepan kelewatan sejak Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11). “Jadi apabila ada pihak mengambil angka RM4 bilion lalu bertanya, ‘Ke mana duit itu pergi?’, rakyat perlu diberikan gambaran yang sebenar. Kalau projek belum berjalan, kita perlu tahu mengapa. “Kalau berlaku kelewatan, kita perlu tahu puncanya. Kalau terdapat masalah pelaksanaan, ia perlu diselesaikan,” katanya. Beliau berkata, projek pembangunan mempunyai tempoh perancangan dan pelaksanaan yang berbeza, termasuk berdepan isu tanah, perolehan, reka bentuk, kelulusan, pelantikan perunding, kontraktor serta penyelarasan antara agensi. “Rekod masa lalu perlu dilihat sebagai konteks, bukan alasan. Pentadbiran hari ini tetap mempunyai tanggungjawab untuk memastikan projek yang telah diluluskan bergerak dan memberi hasil kepada rakyat,” katanya. Azrul berkata, rakyat tidak seharusnya dikelirukan dengan angka besar peruntukan pembangunan tanpa melihat perbezaan antara nilai keseluruhan projek, peruntukan tahunan, jumlah disalurkan dan perbelanjaan sebenar. Beliau berkata, apabila disebut sesuatu projek bernilai berbilion ringgit, ia tidak bermaksud wang berbilion itu dibelanjakan dalam satu tahun, sebaliknya pelaksanaan projek dibuat mengikut tempoh dan kemajuan masing-masing. “Lebih penting, tanggungjawab pelaksanaan sesuatu projek perlu dilihat berdasarkan siapa yang memegang kuasa pada setiap peringkat projek, bukan semata-mata berdasarkan jumlah keseluruhan yang diumumkan,” katanya. Dalam pada itu, Azrul berkata, rekod peruntukan pembangunan luar bandar sebelum ini juga perlu dilihat dalam konteks pelaksanaan, termasuk rekod Parlimen yang menunjukkan RM8.01 bilion diluluskan bagi tempoh 2010 hingga 2016 untuk tiga kategori utama pembangunan luar bandar Sabah iaitu RM3 bilion bagi Bekalan Elektrik Luar Bandar, RM2.08 bilion bagi BALB dan RM2.93 bilion bagi Jalan Luar Bandar. Katanya, jumlah peruntukan semata-mata bukan ukuran tunggal kejayaan pembangunan, sebaliknya yang lebih penting ialah pelaksanaan dan hasil yang dapat dinikmati rakyat. “Sebab itu Kerajaan Negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus menuntut hasil, bukan sekadar angka. Kerajaan tidak mengatakan Kerajaan Persekutuan tidak memberikan peruntukan. Sebaliknya, pendirian kerajaan jelas, kalau sudah diperuntukkan, mesti dilaksanakan, kalau projek sudah diluluskan, pastikan ia bergerak,” katanya. Azrul berkata, jika berlaku kelewatan, puncanya perlu dikenal pasti, manakala jika peruntukan tidak mencukupi, perkara itu perlu dibawa untuk penyelesaian dan sekiranya memerlukan penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri, kedua-dua pihak perlu duduk bersama mencari jalan. “Ini kerana Kerajaan Negeri bukan mahu sekadar melihat angka besar dalam dokumen belanjawan. Kerajaan mahu melihat hasilnya di lapangan. “Rakyat Sabah tidak perlukan angka semata-mata, rakyat perlukan hasil. Dan itulah yang akan terus kita tuntut dan perjuangkan bersama,” katanya. – Info X
September 19, 2026
Info X Reporters
Kunci tambahan elak motosikal ‘lesap’
KOTA KINABALU: Pemilik motosikal digalakkan menggunakan kunci tambahan sebagai langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko kenderaan mereka dicuri. Kesedaran itu diterapkan menerusi Kempen Kunci Tambahan, Keselamatan Terjamin dan Bersama Mencegah Jenayah Kecurian Motosikal di perkarangan utama One Borneo Hypermall, hari ini. Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, penggunaan kunci tambahan mampu meningkatkan tahap keselamatan motosikal dan menyukarkan penjenayah melarikan kenderaan berkenaan. “Pemilik motosikal perlu mengambil langkah pencegahan dan tidak hanya bergantung kepada sistem kunci sedia ada. “Langkah mudah seperti memasang kunci tambahan boleh membantu mengurangkan risiko motosikal dicuri,” katanya ketika merasmikan kempen berkenaan. Menurutnya, kempen itu dilaksanakan menerusi pendekatan pendidikan, hebahan dan interaksi bersama komuniti bagi meningkatkan kesedaran tentang jenayah kecurian motosikal. Antara pengisian program ialah ceramah dan taklimat pencegahan jenayah, sesi ‘Talk To Us’ bersama Ketua Polis Balai Alamesra, pameran PDRM serta hebahan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP). Kunci mangga keselamatan turut diserahkan kepada wakil penunggang FoodPanda dan orang awam bagi menggalakkan penggunaan kunci tambahan. Program disertai kira-kira 100 peserta serta dihadiri ketua bahagian dan ketua polis balai IPD Kota Kinabalu bersama wakil One Borneo Hypermall, Silariang Motorsport dan FoodPanda Logistic. – Info X
September 19, 2026
BERNAMA
Kem badminton Malaysia berdepan laluan sukar di Aichi-Nagoya 2026
Oleh Muhammad Afiff Md Adnan NAGOYA: Skuad badminton Malaysia berdepan laluan yang mencabar dalam acara berpasukan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 bagi pasukan lelaki dan wanita yang akan memulakan aksi bermula esok. Menerusi undian dikeluarkan hari ini, skuad lelaki akan memulakan kempen menentang Mongolia pada pusingan pertama Isnin depan, yang akan berlangsung di Ichinomiya City Municipal Gymnasium. Jika melepasi halangan awal itu, Malaysia dijadualkan berdepan pilihan utama, Indonesia, pada peringkat suku akhir yang pastinya menuntut persembahan konsisten untuk mara ke peringkat seterusnya. Pada bahagian sama, China sebagai pilihan kedua mendapat laluan terus ke suku akhir untuk menentang Hong Kong atau Korea Selatan, sekali gus berpotensi berada dalam laluan Malaysia sekiranya berjaya ke separuh akhir. Sementara itu, skuad wanita yang akan beraksi esok turut mempunyai laluan tersendiri berdasarkan undian dikeluarkan apabila berada bersama Hong Kong pada pusingan awal. Pada bahagian sama, Korea Selatan selaku pilihan ketiga yang mendapat bye berpotensi menentang Malaysia seandainya pasukan negara mara ke suku akhir. Acara berpasukan badminton berlangsung dari 20 hingga 24 Sept, sebelum saingan individu bermula pada 25 Sept.– BERNAMA
September 19, 2026
BERNAMA
Prabowo sambut baik tawaran bantuan Malaysia tangani kebakaran hutan
Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil JAKARTA: Presiden Indonesia Prabowo Subianto menyambut baik tawaran Malaysia untuk membantu menangani kebakaran hutan di negara itu, termasuk menerusi sokongan aset dan kepakaran. Beliau berkata tawaran berkenaan melibatkan sebuah pesawat, tiga helikopter serta pasukan pemadam kebakaran. Prabowo berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di kediaman Presiden di Hambalang, Bogor, pada Jumaat. “Ini merupakan isu alam sekitar yang memberi kesan kepada banyak pihak. Walaupun kebakaran berlaku di Indonesia, kesannya turut dirasai negara jiran. Mereka mahu membantu kita dan kita menyambut baik bantuan itu,” kata beliau. Kenyataan itu dibuat menerusi rakaman video yang dimuat naik di media sosial Sekretariat Presiden Indonesia dan turut dikongsi Ahmad Zahid menerusi media sosialnya pada Sabtu. Prabowo berkata Indonesia turut menerima tawaran bantuan daripada beberapa negara lain termasuk Jepun dalam usaha memadam kebakaran hutan yang berpanjangan, khususnya di Kalimantan. Indonesia juga sedang merangka langkah pencegahan secara menyeluruh bagi memastikan keadaan sama tidak terus berulang setiap beberapa tahun, katanya. Sebelum ini, Ahmad Zahid yang kini dalam rangka lawatan empat hari ke Jakarta turut menyampaikan tawaran bantuan itu kepada Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka pada Rabu. Tawaran Malaysia melibatkan sebuah pesawat Bombardier CL-415MP, tiga helikopter serta 52 pegawai dan anggota daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia. Dalam pada itu, Prabowo turut menekankan kepentingan hubungan Malaysia-Indonesia untuk terus dipelihara dan diperkukuh. Beliau berkata pertemuan itu turut membincangkan beberapa perkara lain termasuk kerjasama dalam industri halal.– BERNAMA
September 19, 2026
BERNAMA
Polis bantuan rakan strategik, jadi mata dan telinga PDRM
KUALA LUMPUR: Anggota polis bantuan merupakan rakan strategik utama yang bertindak sebagai mata serta telinga bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memelihara keselamatan dan ketenteraman awam. Timbalan Pengarah (Operasi Pencegahan/Koordinasi Sumber Sokongan) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata peranan itu amat penting bagi menyalurkan maklumat dalam menghadapi cabaran keselamatan yang semakin kompleks. “Setiap anggota (polis bantuan) bukan sekadar bertugas sebagai penguasa dalaman di tempat kerja, malah turut melindungi pelbagai premis serta aset penting negara. “Dengan itu jagalah tingkah laku, tutur bicara dan keterampilan diri pada setiap masa kerana anda membawa imej agensi masing-masing dan pada masa yang sama turut membawa imej institusi polis bantuan serta PDRM,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Penutupan Pembarisan Tamat Latihan Kursus Asas Polis Bantuan Siri 7 Tahun 2026 di Dataran Kawad, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur hari ini. Sebanyak 206 peserta terdiri daripada sembilan Pegawai Kanan Polis Bantuan dan 197 Pegawai Rendah Polis Bantuan daripada 26 agensi berjaya menamatkan latihan tersebut. Kesemua peserta menjalani latihan asas selama 63 hari di PULAPOL Kuala Lumpur bermula 19 Julai lepas. Sementara itu, Nik Ros Azhan turut memberi amaran berkaitan isu integriti dengan mengingatkan anggota agar tidak menyalahgunakan kuasa, menerima rasuah atau melanggar undang-undang. Beliau menegaskan integriti bukanlah sekadar slogan sebaliknya mesti diterjemahkan melalui tindakan, memandangkan penglibatan dalam masalah disiplin atau jenayah akan menjejaskan nama baik agensi serta PDRM. “Ingatlah, sekali kepercayaan masyarakat hilang, amat sukar untuk diperolehi kembali,” tegasnya.– BERNAMA