KUNAK: Enam lelaki ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) kerana disyaki berpakaian atau berpenampilan menyerupai wanita dalam operasi penguatkuasaan di sekitar daerah ini, hari ini.
Kesemua mereka ditahan menerusi Operasi Penguatkuasaan Seksyen 92 yang dijalankan JHEAINS Daerah Kunak bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah hari.
JHEAINS Daerah Kunak dalam kenyataan hari ini memaklumkan, operasi berkenaan dilaksanakan bagi mengesan individu yang disyaki melakukan kesalahan mengikut peruntukan undang-undang syariah.
Menurutnya, hasil operasi selama dua jam itu, seramai enam lelaki ditahan kerana disyaki berpakaian atau berpenampilan menyerupai wanita.
“Kesemua individu terbabit dibawa ke Pejabat JHEAINS Daerah Kunak bagi tujuan pemeriksaan, dokumentasi dan tindakan susulan.
“Tindakan susulan turut merangkumi sesi kaunseling serta pemberian nasihat keagamaan kepada individu berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Operasi berkenaan dilaksanakan mengikut Seksyen 92 yang memperuntukkan kesalahan berkaitan lelaki berpakaian menyerupai wanita atau sebaliknya.
JHEAINS Daerah Kunak turut menekankan pendekatan penguatkuasaan dan bimbingan keagamaan sebagai usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pematuhan undang-undang syariah.
Usaha berkenaan selaras dengan prinsip jabatan itu iaitu ‘Mencegah Kemungkaran, Memelihara Kesejahteraan Ummah’. – Info X