Search

Segerakan pelan tindakan kemarau, Sabah berisiko terjejas akibat El Nino – Madius

November 11, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau menggesa supaya kerajaan mempercepatkan pelaksanaan Pelan Tindakan Kemarau Negara dan memastikan persediaan menghadapi fenomena El Niño dilaksanakan sehingga ke peringkat daerah dan kampung.

Katanya, persediaan itu penting, khususnya di Sabah yang dijangka mengalami pengurangan taburan hujan sehingga 40 peratus antara Januari hingga Mac 2027.

Beliau berkata unjuran El Niño yang dijangka mencapai tahap sangat kuat antara November 2026 hingga Januari 2027 perlu diberikan perhatian serius memandangkan Sabah masih berdepan masalah bekalan air di beberapa kawasan.

“Amaran awal mengenai fenomena itu perlu disusuli tindakan konkrit, termasuk penetapan tanggungjawab agensi yang terlibat serta mekanisme pemantauan bagi memastikan setiap langkah kesiapsiagaan benar-benar dilaksanakan.

“Apabila amaran dikeluarkan, siapa yang mesti bertindak dan siapa yang memastikan tindakan itu benar-benar dibuat? Persediaan tidak boleh terhenti di peringkat kementerian sahaja, tetapi mesti sampai ke daerah dan kampung,” katanya.

Beliau membangkitkan perkara itu ketika membahaskan Belanjawan 2027 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada Rabu.

Madius turut meminta kerajaan menjelaskan status cadangan Pelan Tindakan Kemarau yang sebelum ini dimaklumkan akan dibawa ke Majlis Pengurusan Bencana Negara.

Beliau mahu kerajaan membentangkan pelan persediaan sekiranya kemarau berlarutan sehingga tiga bulan, termasuk mengenal pasti kawasan paling berisiko di Sabah, sumber air alternatif serta tempoh bekalan tersebut mampu bertahan.

Katanya, persediaan bekalan air untuk kampung, sekolah dan klinik perlu dirancang lebih awal supaya penduduk tidak terpaksa berhadapan dengan krisis bekalan apabila keadaan menjadi semakin serius.

Selain itu, beliau meminta penjelasan mengenai hasil Kajian Sumber Air Tanah Negara di bawah Butiran 11900, khususnya lokasi di Sabah yang telah dikenal pasti sesuai untuk pembangunan sumber air bawah tanah.

“Selepas kajian dilaksanakan, apakah tindakan susulan bersama PETRA dan kerajaan negeri untuk menyediakan bekalan air daripada sumber ini? Penduduk perlu tahu bila sumber tersebut boleh digunakan,” katanya.

Madius menegaskan masalah bekalan air sedia ada tidak seharusnya dibiarkan berlarutan dan kemudian dikaitkan dengan fenomena El Niño.

“Kita tidak boleh mengawal cuaca, tetapi kita boleh membuat persediaan lebih awal. Jangan tunggu sungai surut dan rakyat berdepan kesukaran, barulah tindakan diambil,” katanya. – Info X