Search

Curi tembaga, miliki senapang angin, lelaki dipenjara 22 bulan

November 11, 2026

Info X Reporters

KOTA MARUDU: Padah mencuri tembaga di tapak kolam udang selain memiliki senapang angin tanpa lesen, seorang lelaki dijatuhi dua hukuman penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Tertuduh, Ahmad Azdi Halim, 36, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan di hadapan Majistret Ferhanshah Farene Mohd Ferdaus.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan bagi kesalahan mencuri mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan 12 bulan penjara bagi kesalahan memiliki senapang angin tanpa lesen mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Mengikut fakta kes, pada 4 November lalu, kira-kira jam 2 pagi, polis menerima maklumat mengenai kegiatan mencuri tembaga di tapak kolam udang Kampung Kuyuh, Pitas.

Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu menjalankan serbuan sebelum berjaya menahan tertuduh.

Hasil pemeriksaan menemukan sebuah beg sandang mengandungi plastik berisi hablur jernih disyaki syabu seberat 40.44 gram.

Pemeriksaan lanjut terhadap sebuah pacuan empat roda turut menemukan selaras senapang angin bersama enam kotak peluru timah yang disembunyikan di dalam kenderaan berkenaan.

Polis turut menemukan sisa tembaga di bahagian belakang kenderaan itu.

Tertuduh bersama barang rampasan kemudian dibawa ke IPD Kota Marudu untuk tindakan lanjut, manakala ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki berkenaan positif dadah.

Kertas siasatan seterusnya dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara sebelum arahan pendakwaan diterima.

Sementara itu, siasatan berkaitan penemuan dadah masih diteruskan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 sementara menunggu keputusan analisis Jabatan Kimia.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin ketika mengulas kes itu menegaskan pihaknya akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan bagi membendung kegiatan jenayah.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah kepada polis bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.-Info X