Search

Kanak-kanak dibaham buaya ketika memancing bersama abang

November 11, 2026

Info X Reporters

KUDAT: Aktiviti memancing dua beradik bertukar tragedi apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun dibaham buaya di Sungai Semayan, Pulau Banggi, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa yang juga murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Semayan dipercayai disambar buaya ketika turun ke sungai untuk melepaskan mata kail pancingnya yang tersangkut.

Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian daripada seorang guru sekolah berkenaan kira-kira jam 4.30 petang.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa pergi memancing bersama abangnya di sungai terbabit sebelum kejadian berlaku.

Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Ibrahim.

“Mangsa dipercayai turun ke sungai untuk melepaskan mata kail pancingnya yang tersangkut sebelum disambar seekor buaya.

“Susulan kejadian itu, operasi mencari dijalankan polis bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, selepas beberapa jam pencarian, mangsa ditemui meninggal dunia di bawah jambatan Sungai Semayan, tidak jauh dari lokasi kejadian.

Katanya, pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala.

“Mayat mangsa dibawa ke Balai Polis Karakit sebelum dihantar ke Hospital Kudat untuk tindakan lanjut.

“Bedah siasat akan dijalankan selepas mendapat pengesahan pihak forensik Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu,” katanya.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). – Info X