Search

Malim Gunung Kinabalu gegar Himalaya, takluk tiga lokasi ekstrem

November 11, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kehebatan dan ketahanan fizikal Malim Gunung Kinabalu sekali lagi terbukti apabila mereka bersama peserta ekspedisi dari Sabah berjaya menawan tiga lokasi mencabar di banjaran Himalaya, Nepal, dalam tempoh tiga hari berturut-turut.

Lebih membanggakan, dua Malim Gunung Kinabalu berjaya menjejakkan kaki ke Kala Patthar pada ketinggian 5,545 meter dalam suhu ekstrem mencecah negatif 30 darjah Celsius, semalam.

Kejayaan itu dicatat Augustine Bulangai, 42, dan Cornelius Sanan, 45, yang menjadi satu-satunya dua peserta daripada pasukan ekspedisi berkenaan berjaya sampai ke lokasi terbabit.

Ekspedisi anjuran Mount Kinabalu Adventure & Travel Sdn Bhd (MKA) itu turut menyaksikan kejayaan peserta Sabah menawan Everest Base Camp (EBC) dan Thorong La Pass dalam misi membawa semangat pendakian dari Borneo ke Himalaya.

Pada Isnin lalu, seramai 11 peserta termasuk lima Malim Gunung Kinabalu berjaya tiba di EBC kira-kira jam 1.30 petang waktu Nepal selepas mengharungi laluan mencabar, kesejukan dan keletihan akibat altitud tinggi.

Agustine dan Cornelius yang berjaya mencapai Kala Patthar.

Lima malim gunung terbabit ialah Augustine, Cornelius, Syakirin Sumail, 26, Ewon Binidek, 30, dan Fredie Binidek, 34.

Enam peserta lain ialah Noorazalina Hamzah, 40, Mohamad Nizam Kamisan, 34, Jaliah Benjee, 41, Ealdy Cenno Donald, 31, Fenny Lisa, 28, dan Ricks Padayao Enrikue, 32.

Sementara itu, dalam ekspedisi berasingan pada Ahad lalu, tiga lagi peserta berjaya menawan Thorong La Pass di laluan Annapurna Circuit Trek pada ketinggian 5,416 meter.

Mereka ialah Roslyn, 37, Preshilla, 36, dan Malim Gunung Kinabalu, Juani Bigul, 40, yang tiba di lokasi berkenaan kira-kira jam 10.50 pagi waktu Nepal.

Ketiga-tiga peserta terpaksa mengharungi suhu serendah negatif 23 darjah Celsius sebelum berjaya menyempurnakan pendakian dan turun dengan selamat.

Kejayaan di ketiga-tiga lokasi itu bukan sahaja menguji kekuatan fizikal dan mental peserta, malah membuktikan kemampuan Malim Gunung Kinabalu menyesuaikan diri dengan cabaran pendakian di kawasan pergunungan beraltitud tinggi.

11 peserta pasukan Mount Kinabalu Adventure & Travel Sdn Bdn mencapai Everest Base Camp (EBC).

Pencapaian berkenaan turut menjadi kebanggaan kepada keluarga, rakan serta komuniti malim gunung Sabah yang selama ini sinonim dengan kepakaran membimbing pendaki di Gunung Kinabalu.

Menerusi semangat ‘Dari Sabah Borneo ke Himalaya Ku Daki’, ekspedisi MKA itu menjadi satu lagi pencapaian bermakna buat peserta Sabah dalam mencipta pengalaman pendakian di pentas antarabangsa. – Info X