Search

Jambatan ‘bubu’ mercu tanda baharu pekan Tuaran

November 11, 2026

Info X Reporters

TUARAN: Jambatan Tamu Tuaran yang dibina dengan reka bentuk unik berinspirasikan bubu ikan tradisional menjadi mercu tanda baharu pekan Tuaran, di sini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata jambatan itu turut memberi kemudahan sebagai penghubung komuniti seberang sungai dengan pekan Tuaran, selain memudahkan pergerakan penduduk, khususnya pejalan kaki.

“Reka bentuk jambatan ini mengambil inspirasi daripada bubu ikan tradisional, iaitu peralatan menangkap ikan yang cukup sinonim dengan kehidupan masyarakat tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Projek Pemuliharaan Sungai Tuaran dan Tapak Letak Kenderaan Baharu Pekan Tuaran, di sini, pada Rabu.

Jambatan pejalan kaki itu dibina menerusi projek berkenaan.

Hajiji yang juga ADUN Sulaman, berkata perasmian Projek Pemuliharaan Sungai Tuaran dan Tapak Letak Kenderaan Baharu Pekan Tuaran membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan agenda pembangunan dilaksanakan secara menyeluruh, sama ada dari sudut infrastruktur moden mahupun kelestarian alam sekitar.

Beliau berkata, Sungai Tuaran adalah antara khazanah alam yang penting kepada daerah ini kerana bukan sahaja mempunyai nilai dari sudut alam sekitar, tetapi turut menjadi sebahagian daripada kehidupan dan sejarah masyarakat setempat.

Katanya, cabaran perubahan iklim dan hakisan tebing menuntut tindakan proaktif kerajaan, justeru usaha memulihara sungai perlu dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh bagi memastikan kawasan itu sentiasa bersih, terpelihara dan tidak dicemari aktiviti yang boleh menjejaskan persekitarannya.

Mengenai tapak letak kenderaan baharu, beliau berkata, kemudahan itu disediakan bagi memenuhi keperluan pengunjung di Pekan Tuaran sejajar kepesatan pertumbuhan ekonomi dan aktiviti domestik yang berlaku di pekan ini.

Katanya, pertambahan kenderaan terutama pada hari tamu dan hujung minggu sering kali menimbulkan kesesakan, manakala pekan Tuaran turut menjadi tumpuan masyarakat untuk menjalankan urusan harian termasuk aktiviti perniagaan dan perdagangan.

Hajiji turut mahu setiap daerah di Sabah membangun dan mempromosikan produk serta pengalaman pelancongan yang mempunyai identiti sendiri sebagai persediaan rapi menyambut Tahun Melawat Sabah 2027.

Beliau berkata, Tuaran mempunyai pantai, pusat rekreasi, khazanah budaya dan alam sekitar yang menarik, selain kegiatan ekonomi, pertanian, perikanan dan pelancongan yang boleh terus dikembangkan. – Info X