KOTA KINABALU: Kerajaan negeri disaran mempertimbangkan pelaksanaan konsep ‘cuti terapung’ bagi memberi fleksibiliti kepada rakyat Sabah memilih hari kelepasan yang lebih bermakna mengikut keperluan budaya, keagamaan dan peribadi masing-masing.
Cadangan itu dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Enakmen Hari Kelepasan (Pindaan) 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata, pengenalan satu atau dua hari cuti terapung setahun bukan sekadar satu dasar pentadbiran, malah mencerminkan pengiktirafan terhadap kepelbagaian etnik dan budaya yang menjadi asas keharmonian di Sabah.
“Sabah bukan wilayah satu wajah. Kita adalah kisah yang pelbagai dan harmoni. Namun realitinya, tidak semua hari kelepasan yang ditetapkan ketika ini membawa makna yang sama kepada semua rakyat.
“Mengapa kita tidak memberi rakyat satu hak asas, iaitu memilih hari yang paling bermakna dalam kehidupan mereka?” katanya.
Menurut beliau, cadangan itu relevan terutama bagi pekerja dari kawasan luar bandar yang sering berdepan dilema antara memenuhi komitmen kerja atau pulang menyambut perayaan tradisi bersama keluarga, termasuk sambutan Tadau Kaamatan.
Mengulas kebimbangan terhadap kemungkinan gangguan produktiviti, beliau menegaskan bahawa fleksibiliti yang diurus secara sistematik tidak akan menjejaskan operasi organisasi, malah berpotensi meningkatkan motivasi serta kesetiaan pekerja.
“Fleksibiliti yang diurus dengan baik bukan melemahkan sistem, sebaliknya menguatkannya. Pekerja yang dihargai akan memberi lebih, manakala pekerja yang didengari akan lebih setia kepada organisasi,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar pelaksanaan cuti terapung disertakan dengan garis panduan jelas seperti permohonan awal serta had satu atau dua hari setahun bagi memastikan kelancaran operasi sektor awam dan swasta.
Tambahnya, langkah itu berupaya meletakkan Sabah sebagai negeri yang progresif dalam menyesuaikan dunia pekerjaan dengan realiti masyarakat majmuk serta keperluan semasa yang lebih inklusif.
Sehubungan itu, beliau menyatakan sokongan terhadap RUU Enakmen Hari Kelepasan (Pindaan) 2026, namun berpandangan penambahbaikan melalui konsep cuti terapung akan menjadikan undang-undang berkenaan lebih adil, seimbang dan “manusiawi” untuk seluruh rakyat negeri ini. – Info X