KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Jabatan Perpustakaan dengan kerjasama Majlis Ketua Pustakawan Universiti Awam (MKPUA) menganjurkan Program Eksplorasi Ilmu @ Sekolah Kebangsaan (SK) Petagas sebagai sebahagian inisiatif Baca@Borneo 2026 bagi memperkasa literasi ilmu dan pendidikan STEM dalam kalangan komuniti sekolah.
Majlis perasmian program itu disempurnakan Naib Canselor UMS Datuk Dr Kasim Haji Mansor yang diwakili Ketua Pustakawan UMS, Zawawi Tiyunin.
Dalam ucapan beliau yang dibacakan wakil, Kasim berkata universiti berperanan sebagai agen perubahan dalam menyebarluaskan ilmu kepada masyarakat serta memperkukuh budaya pembelajaran sepanjang hayat.
“Universiti bukan sekadar institusi akademik, tetapi turut berperanan sebagai pemacu perubahan yang membawa ilmu terus kepada masyarakat, selaras dengan aspirasi UMS sebagai ‘The Brain of Borneo’,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama strategik bersama MKPUA, Perpustakaan UMS dan U-Science membuka ruang lebih luas dalam memperkukuh ekosistem pendidikan komuniti secara inklusif dan berimpak tinggi.
“Pendekatan kolaboratif ini membolehkan ilmu disampaikan dengan lebih meluas, khususnya kepada pelajar di peringkat sekolah yang memerlukan pendedahan awal terhadap pembelajaran berasaskan sains dan teknologi,” katanya.

Menurutnya, pembudayaan ilmu sejak usia muda amat penting dalam membentuk generasi yang berpengetahuan, kritis dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran masa depan.
Program yang melibatkan kira-kira 500 peserta itu menampilkan pelbagai pengisian menarik termasuk pameran STEM, bengkel roket air, pengaturcaraan Scratch, aktiviti DIY STEM Kit, galakan membaca serta saringan kesihatan.
Selain itu, inisiatif penambahbaikan Pusat Sumber SK Petagas turut dilaksanakan bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan mesra pelajar.

Penglibatan U-Science UMS serta pelaksanaan program Professor@School melalui Zaleha Abd. Aziz yang juga alumni SK Petagas, turut memberi inspirasi kepada murid untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik.
UMS berharap program seumpama ini dapat diperluaskan ke lebih banyak sekolah pada masa hadapan sebagai usaha berterusan memperkukuh ekosistem pendidikan serta melahirkan generasi berilmu, inovatif dan berdaya saing. – Info X