TAWAU: Tindakan memotong kenderaan tanpa memastikan laluan selamat mengundang padah apabila seorang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan sebuah pikap dan motosikal di Jalan Tawau – Bombalai, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 5.35 pagi itu, mangsa berusia 34 tahun yang menunggang motosikal jenis SYM BX110 disahkan meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Polis Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 6.20 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah Toyota Hilux yang dipandu lelaki tempatan berusia 39 tahun dengan motosikal ditunggang mangsa.
“Pemandu pikap dalam perjalanan dari arah bandar Tawau menuju ke Benta Wawasan, manakala mangsa datang dari arah Kampung Haji Matahir menuju ke Kompleks Sukan Tawau.
“Sebaik tiba di satu laluan lurus, pemandu pikap dipercayai memotong kenderaan di hadapannya sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal dari arah hadapan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Manakala pemandu pikap tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan,” katanya.
Sementara itu, Jasmin berkata orang ramai dinasihatkan supaya tidak memotong kenderaan tanpa memastikan laluan benar-benar selamat dan bebas daripada kenderaan dari arah bertentangan.
“Tindakan cuai dan berbahaya di jalan raya akan dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi,” katanya. – Info X