Search

Harumkan nama Sabah di Pentas Antarabangsa, Emmabell terima insentif RM5,000

April 30, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Atlet Muaythai Sabah, Emmabell Cassandra, menerima insentif kerajaan negeri sebanyak RM5,000 sebagai pengiktirafan terhadap kejayaan cemerlangnya di pentas antarabangsa.

Insentif itu disampaikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, pada Khamis.

Hajiji turut merakamkan ucapan tahniah serta menyatakan rasa bangga atas pencapaian atlet berkenaan yang berjaya mengharumkan nama Sabah dan negara.

Emmabell sebelum ini muncul juara kategori wanita dalam kejohanan Byon Combat Showbiz 7 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Jumaat lalu.

Ketua Menteri berkata, kejayaan itu membuktikan keupayaan atlet Sabah untuk bersaing dan menyerlah di peringkat antarabangsa.

“Pencapaian ini bukan sahaja membanggakan negeri, malah mampu menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk menceburi bidang sukan dan mencapai kecemerlangan,” katanya.

Majlis penyerahan insentif itu turut dihadiri Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan; Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Juil Nuatim; serta Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Asun. – Info X