KOTA MARUDU: Polis giat memburu lima lelaki yang dipercayai terbabit dalam dua kejadian pecah rumah di Taman T&G, di sini, termasuk kes yang tular di media sosial membabitkan sekumpulan lelaki dipercayai bersenjata.
Dalam perkembangan terbaharu, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard yang dilarikan suspek dari sebuah rumah di kawasan berkenaan berjaya ditemui semula di tepi Jalan Goshen, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pertama kira-kira jam 10.28 pagi Rabu lalu.
Katanya, siasatan awal mendapati lima lelaki dipercayai memasuki rumah berkenaan kira-kira jam 3.14 pagi sebelum mencuri barangan kemas dan sebuah konsol permainan Sony PlayStation 5.
“Suspek kemudian melarikan diri menggunakan Toyota Alphard milik pemilik rumah kira-kira jam 3.44 pagi.
“Bagaimanapun, hasil maklumat orang awam, kenderaan yang dicuri itu berjaya ditemukan semula kira-kira jam 1 petang hari sama di tepi Jalan Goshen,” katanya dalam kenyataan media, malam tadi.
Simiun berkata, polis turut menerima satu lagi laporan pada jam 1.32 tengah hari semalam membabitkan kejadian pecah rumah di kawasan perumahan sama.
Menurutnya, kejadian kedua dipercayai berlaku kira-kira jam 3.40 pagi Rabu lalu apabila empat lelaki memasuki sebuah rumah untuk mencuri.
“Bagaimanapun, kegiatan suspek disedari penghuni rumah sebelum mereka melarikan diri bersama sebuah Sony PlayStation 5.
“Siasatan kini dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Marudu bersama pasukan forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di kedua-dua lokasi kejadian,” katanya.
Beliau berkata, usaha mengesan semua suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457, 379A, 395 dan 397 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Romio Wong di talian 019-6851343 atau Bilik Gerakan IPD Kota Marudu di 019-2183708.
Simiun turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan polis.
Terdahulu, satu video tular di media sosial memaparkan beberapa lelaki berpakaian gelap dipercayai menceroboh sebuah rumah di Kota Marudu pada awal pagi, dengan seorang daripada mereka dilihat memegang objek dipercayai senjata. – Info X