TAWAU: Kegiatan seorang wanita warga asing yang disyaki aktif mengedar dadah di Pulau Sebatik terbongkar selepas polis menyerbu sebuah rumah dan menemukan 25 tiub plastik berisi syabu seberat 58.60 gram, awal pagi tadi.
Wanita berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira jam 4 pagi dalam serbuan di Kampung Pisak-Pisak oleh sepasukan anggota Balai Polis Bergosong hasil maklumat mengenai kegiatan dadah di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, serbuan diketuai Ketua Polis Balai Bergosong, Sub Inspektor Dayang Siti Sainon Abdullah.

Katanya, pemeriksaan di bilik suspek menemukan sebuah botol plastik lutsinar yang mengandungi beg berzip.
“Pemeriksaan lanjut terhadap beg berkenaan yang diserahkan suspek menemukan 25 tiub plastik pelbagai saiz berisi hablur jernih disyaki syabu dengan anggaran berat 58.60 gram.
“Suspek bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Rosdi berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau menegaskan, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah dan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan dadah diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras jenayah berkenaan,” katanya. – Info X