Dua lelaki cabut lari, tinggal motosikal curi

November 13, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Dua lelaki bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis sehingga meninggalkan sebuah motosikal curi bersama dua kotak besar berisi pelbagai barangan disyaki hasil jenayah di tengah jalan, awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 3.30 pagi di Jalan Tanjung Batu Laut itu berlaku ketika anggota Strike Team Balai Polis Tawau menjalankan rondaan cegah jenayah.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, kedua-dua suspek menaiki motosikal Honda Wave tanpa nombor pendaftaran sebelum melarikan diri apabila terserempak dengan polis.

“Semakan mendapati motosikal berkenaan dilaporkan dicuri pada 9 Oktober lalu, manakala pemeriksaan dua kotak yang ditinggalkan menemukan pelbagai barangan disyaki hasil curi.

“Antaranya tujuh kampit beras, 12 paket gula, 12 botol kicap, minyak masak serta sebuah amplifier tuner,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rosdi berkata, semua barangan dirampas untuk siasatan lanjut, manakala polis giat mengesan kedua-dua suspek serta menyiasat kemungkinan mereka terbabit dalam kes jenayah lain.

Beliau turut meminta orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah kepada pihak polis. – Info X