Polis tahan dua remaja warga asing kes pukul, ugut lelaki

November 13, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Polis menahan dua remaja lelaki warga asing berusia 17 dan 18 tahun, semalam, selepas disyaki memukul serta mengugut seorang lelaki berusia 23 tahun dalam kejadian di Kampung Brumas, di sini.

Kedua-dua suspek ditahan kira-kira jam 2.30 petang di pekarangan Pondok Polis Brumas susulan kejadian yang berlaku pada 9 November lalu, kira-kira jam 9 malam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, kejadian bermula apabila mangsa terdengar sekumpulan lelaki tidak dikenali berbincang mengenai hasrat membakar motosikal miliknya.

Katanya, mangsa kemudian menghampiri kumpulan berkenaan untuk memaklumkan bahawa motosikal yang diperkatakan itu adalah miliknya.

“Bagaimanapun, tindakan mangsa menyebabkan dua lelaki daripada kumpulan terbabit tidak berpuas hati sebelum bertindak mencekik leher dan menumbuk mulutnya menggunakan tangan.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami luka di bahagian mulut serta kesakitan pada pipi selain menerima ugutan akan dipukul sekali lagi sekiranya terserempak dengan suspek di luar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rosdi berkata, susulan laporan diterima, anggota Balai Polis Bombalai dengan bantuan dua anggota Polis Bantuan Sabah Softwood Berhad berjaya mengesan dan menahan kedua-dua suspek.

Katanya, pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek adalah warga asing yang dipercayai memasuki dan tinggal di negara ini tanpa dokumen perjalanan sah.

“Kedua-dua suspek dibawa ke Balai Polis Tawau untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan melakukan ugutan jenayah,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri apabila berdepan sebarang ancaman, sebaliknya segera membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil. – Info X