Lelaki maut ditikam di dada, suspek diburu polis

November 14, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas ditikam di dada dalam pergaduhan dengan individu yang dipercayai dikenalinya di tingkat satu sebuah bangunan di Sulaman Sentral, Manggatal, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, mangsa warga tempatan berusia lingkungan 30-an mengalami kecederaan akibat tikaman berkenaan.

Mangsa yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas oleh abangnya untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 6 pagi ketika berada di hospital berkenaan.

Susulan kejadian itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bergegas ke lokasi bagi menjalankan siasatan.

Turut berada di lokasi ialah Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bagi menjalankan pemeriksaan dan mengumpul bahan bukti.

Difahamkan, suspek yang dipercayai mengenali mangsa melarikan diri sejurus selepas kejadian.

Polis kini giat menjalankan usaha mengesan dan memburu suspek bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk usaha mengesan suspek terbabit. – Info X