Pekerja pelabuhan cedera jatuh dari ketinggian tiga tingkat kontena

November 14, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Seorang pekerja pelabuhan cedera selepas terjatuh dari ketinggian tiga tingkat kontena ketika menjalankan tugas di Pelabuhan Tawau, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12.50 tengah malam itu, mangsa berusia 25 tahun dipercayai terjatuh selepas tangga yang dinaikinya bergerak secara tiba-tiba sehingga menyebabkan dia hilang kawalan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.51 tengah malam menerusi talian kecemasan.

Katanya, sepasukan enam anggota bersama jentera dari BBP Tawau dikejarkan ke lokasi dan tiba tiga minit kemudian.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati mangsa yang juga pekerja pelabuhan terjatuh dari ketinggian tiga tingkat kontena ketika melakukan kerja di kawasan berkenaan.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila tangga yang dinaiki mangsa bergerak, menyebabkan mangsa hilang kawalan sebelum terjatuh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pasukan bomba memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum mengangkatnya menggunakan lif kontena pelabuhan ke kawasan selamat.

“Mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.

“Pemeriksaan pihak KKM mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala, bahu kanan dan pinggul,” katanya.

Menurutnya, operasi membabitkan berkenaan ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.10 pagi selepas keadaan di lokasi disahkan selamat. – Info X