TUARAN: Lelaki yang dihanyutkan arus sungai ketika melakukan aktiviti mandi-manda di Kiulu, petang tadi, disahkan meninggal dunia.
Mangsa berusia 28 tahun ditemukan orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.15 petang.
Menurutnya, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 25 kilometer dari balai.
“Ketika tiba di lokasi pada jam 4.46 petang, pasukan bomba mendapati mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas ditemukan orang awam.
“Pasukan bomba kemudian memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dalam usaha menyelamatkan mangsa,” katanya ketika dihubungi.
Bagaimanapun, katanya mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada jam 5.11 petang.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tuaran menggunakan ambulans untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi yang turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.21 petang. – Info X