Azrul perjelas isu peruntukan besar RM18.7 bilion kepada Sabah

November 14, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Persoalan mengenai peruntukan besar RM18.7 bilion kepada Sabah yang disebut dalam Belanjawan 2027 perlu difahami dengan betul berdasarkan realiti sebenar yang berlaku.

Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Datuk Azrul Ibrahim, berkata jumlah itu menjadi besar disebabkan pengiraan peruntukan keseluruhan yang dibuat kerajaan Persekutuan untuk dibentangkan dalam belanjawan tahunan, berbanding hanya peruntukan pembangunan yang disebut sebelum ini.

“Beberapa tahun kebelakangan ini, sekitar tiga empat tahun lalu, pengumuman dalam belanjawan tahunan di peringkat Persekutuan memasukkan jumlah keseluruhan peruntukan kepada Sabah.

“Kalau sebelum ini hanya dimasukkan peruntukan untuk pembangunan. Sebelum 2022, diumum peruntukan kepada Sabah hanya RM4 bilion, RM5 bilion, RM6 bilion, itu khusus kepada pembangunan.

“Tapi dalam empat ke tiga tahun kebelakangan ini, peruntukan pembangunan termasuk peruntukan mengurus dan hal-hal lain juga dimasukkan dalam peruntukan itu, sebab itu nampak besar seperti untuk 2027 sebanyak RN18.7 bilion,” katanya.

Beliau menjelaskan perkara itu pada sidang media selepas Mesyuarat EXCO dan Ketua-Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, di sini, pada Sabtu.

Azrul berkata, berdasarkan semakan dan pengiraan pihaknya, bukan semua peruntukan itu diserahkan kepada negeri, sebaliknya diuruskan oleh kementerian dan agensi Persekutuan yang ada di Sabah.

Katanya, perkara itu perlu dijelaskan bagi membetulkan kekeliruan rakyat negeri ini mengenai dakwaan peruntukan yang besar kepada Sabah dalam belanjawan tahunan, namun masih banyak masalah berkaitan infrastruktur asas tidak selesai.

Azrul berkata, kekeliruan itu yang ditimbulkan pemimpin pembangkang perlu dijelaskan dengan betul, termasuk mengenai peruntukan pembangunan yang sebenarnya hanya sekitar RM6 bilion dan bukan RM18.7 bilion.

“Peruntukan pembangunan yang berjumlah sekitar RM6 bilion bukan semua projek baharu, tapi lebih banyak dana adalah untuk meneruskan projek sedia ada termasuk pembinaan Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 2027, pembinaan sekolah, projek air luar bandar dan jalan luar bandar.

“Jadi kita mahu rakyat Sabah jelas bahawa peruntukan Persekutuan yang diberikan setiap tahun dan dalam konteks tahun 2027 sebanyak RM18.7 bilion itu adalah agihan kepada peruntukan pembangunan, peruntukan mengurus dan belanja lain oleh kementerian dan agensi Persekutuan di Sabah,” katanya.-Info X