Laluan LPB Berungis-Bandar Sierra kurang lampu, bahaya kepada pengguna – Madius

November 16, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jajaran Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Berungis-Bandar Sierra yang masih dalam pembinaan berbahaya kepada pengguna berikutan kurang pencahayaan pada waktu malam.

Berikutan itu, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau meminta Kementerian Kerja Raya (KKR) meningkatkan keselamatan di sepanjang jajaran berkenaan.

Katanya, beberapa lokasi yang sedang dalam pembinaan tidak mempunyai pencahayaan mencukupi pada waktu malam, sedangkan kerja pembinaan masih dijalankan dan kenderaan terus menggunakan laluan berkenaan.

“Keadaan ini boleh membahayakan pengguna jalan raya sekiranya lorong, lencongan dan halangan di hadapan tidak dapat dilihat dengan jelas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2027 bagi KKR peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, pada Isnin.

Sehubungan itu, beliau meminta kementerian mendapatkan rekod lengkap Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai jumlah kemalangan dan kematian yang berlaku di sepanjang jajaran berkenaan sejak pembinaan bermula.

“Berapa kemalangan sudah berlaku dan berapa nyawa sudah terkorban sepanjang jajaran ini? Berapa kejadian berlaku pada waktu malam dan adakah kekurangan pencahayaan dikenal pasti sebagai faktor penyumbang,” katanya.

Madius turut meminta kontraktor menyediakan pencahayaan sementara yang mencukupi, lampu amaran dan papan tanda yang jelas bagi memastikan keselamatan pengguna sepanjang tempoh pembinaan.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) juga perlu menjalankan pemeriksaan pada waktu malam supaya keadaan sebenar di tapak pembinaan dapat dinilai.

“Pemotongan rumput yang tidak dilaksanakan secara berkala juga menghalang pandangan pengguna, khususnya di kawasan simpang, selekoh dan papan tanda,” katanya.

Katanya, jadual pemotongan rumput perlu dipatuhi dan kerja-kerja berkenaan hendaklah diperiksa sebelum pembayaran kepada kontraktor diperakukan.

“Jangan tunggu kemalangan seterusnya baru tindakan diambil,” katanya.

Madius yang juga ADUN Tamparuli berkata keselamatan pengguna perlu menjadi keutamaan sepanjang pelaksanaan projek berkenaan kerana rakyat menggunakan laluan itu setiap hari untuk pelbagai urusan termasuk menghantar anak ke sekolah dan membawa hasil perusahaan.

“Matlamat pembangunan infrastruktur bukan hanya menyiapkan jalan raya semata-mata, tetapi memastikan rakyat dapat bergerak dengan selamat,” kata.-Info X